April 20, 2024

LP21 | Negeri Sembilan dikenakan tahanan reman di Paroi

3 min read

Sebagaimana selalu Jang dakwahkan kepada kau semua, bola sepak adalah tentang harapan. Harapan untuk menang, harapan untuk perbaiki kedudukan dalam liga, harapan melihat pasukan lawan kalah dan seribu bentuk harapan lagi. Hari ini Jang nak tambah, datang sekali bersama harapan adalah kehancuran, kekecewaan dan putus harap. Tak perlulah Jang nak terangkan lebih mendalam, kerana kau semua sedia maklum dan lebih arif.

Kita terus ke hal dalam padang dulu. Malam tadi keseluruhan pasukan Negeri Sembilan bermain dibawah prestasi sebenar jika mahu dibandingkan semasa membenam JDTII minggu lepas. Mungkin kerana tekanan? Mungkin kerana jumlah penyokong yang tiba-tiba ramai, jadi mereka gugup? Atau mungkin kerana keletihan kerana setiap minggu dipaksa bekerja keras untuk menang. Apapun, kesemua elemen ini; tekanan, gugup dan keletihan akan datang sekali bila kita lakukan semua benda last minit. Macam kau nak periksa SPM la, 8 bulan kau rileks, tinggal lagi sebulan baru kau nak menggelabah nak study. Masa tu la perut kau sakit, masa tu juga kau nak kena berjaga malam, masa tu jugak la mengantuk datang.

Maksud Jang, jika kita awal-awal dah berusaha keras mengumpul mata, kita mungkin lebih rileks dihujung musim, tak perlu bersaing sangat, macam Sabah.

Ketiadaan Ferris Daniel kerana kecederaan hamstring begitu terasa dan kita tumpul dibahagian serangan. Separuh masa pertama, kita langsung tidak membuat percubaan ke gawang PDRM. Kosong! Kita juga langsung tidak mendapat tendangan sudut. Almir Nelto terus digasak dan dirantai bek PDRM kerana mereka tahu adaah satu kesilapan membiarkan Almir Nelto bebas. Jika ada Ferris, Almir Nelto akan sedikit bebas kerana pertahanan lawan akan kucar kacir dengan kepantasan Ferris menceroboh benteng lawan. Igor Luiz..bagi Jang, beliau bukanlah seorang striker yang lengkap.

Gol Negeri Sembilan terhasil pada minit 31, itupun selepas sepakan percuma Dzulfahmi tertampan masuk oleh pertahanan PDRM. Belum reda kegembiraan penyokong Negeri Sembilan (yang turun ke Paroi selepas dirayu), PDRM menyamakan kedudukan pada minit ke 34, selepas tandukan yang tidak dicabar Uche Agba gagal diselamatkan penjaga gawang kita, Kahar.

Pada separuh masa kedua, kita terus menggasak kubu PDRM, tetapi pihak Pulis takkan menyerah kalah! Negeri Sembilan mendapat tendangan percuma diluar kotak penalti PDRM, tendangan lencong Sunsuke Nakatake berjaya ditampan penjaga gawang PDRM dan kemudian pemain tempatan Ridzuan Abdunloh mendapat peluang terbuka, beliau hanya perlu menanduk bola masuk kedalam gawang terbuka, namun beliau lelap mata dan bola tandukannya menyimpang Malaikat 44.

Itulah yang Jang kata pada artikel lepas, PEMAIN KITA MASIH BELUM LAYAK MENEMPA NAMA SEBAGAI PENJARING GOL KERANA KELEMAHAN SENDIRI. Betapa kecewa seluruh penyokong yang datang (selepas dirayu) untuk melihat pasukan menang lalu naik ke liga Super. Dzulfahmi sekali lagi mendapat peluang untuk menambah jaringan, selepas membuat gerakan 1-2 bersama Igor namun tendangannya melepasi palang gol. Thierry Henry, jika mendapat peluang serupa Dzulfahmi, akan membuat chip atau meleretkan bola kesudut tiang gol diluar jangkauan penjaga gawang. Rasanya Thierry Henry tidak menendang sekuat hati untuk menewaskan penjaga gawang. Lihat Youtube beliau jika tak percaya cakap Jang. Memang tak adil kalau nak pemian kita sehebat Henry tapi itulah kualiti seorang penyerang. Membunuh tanpa bersusah payah menggunakan tenaga.

Apapun, Jang puji barisan pertahanan yang sudah berusaha dengan baik mengekang asakan PDRM. Matheus Vila dan Osman dan kedua bek kiri dan kanan dipaksa bekerja keras termasuk Kaharuddin. Kesilapan boleh berlaku dan akibatnya PDRM berjaya menambah 2 jaringan untuk menutup selera kita. Kredit kepada PDRM juga kerana mereka bermain begitu bersungguh-sungguh dan kekuatan mereka seimbang disemua posisi. Untuk rekod, PDRM adalah pasukan yang sedang dalam momentum sedap dan menang. Kita akur kekuatan mereka dan kita kalah kepada pasukan yang mantap.

Adakah kita masih berpeluang naik liga Super?

Jujur Jang tak kisah dimana pun  kita bermain, tapi liga Super lebih sedap lah. Jang juga tak mahu buat perkiraan jika UITM kalah, kita seri, PDRM kalah, Penang mari, atau PKNS diserap Selangor dan liga Super kurang satu team, feeder club tak naik atau UITM takda duit dan blablabla. Itu semua drama. Jang cuma suka kalau pasukan kita menang, bermain dengan baik, kualiti pemain tempatan meningkat dan PBNS tidak merayu penyokong hadir waktu nak pakai sahaja. Sepatutnya PBNS buat kempen merayu penyokong datang disemua perlawanan. 

Takkan itu pun Jang nak kena beri tunjuk ajar. Musim depan, kita dah takda siaran langsung dan jumlah penyokong menjadi penentu kewangan pasukan. Jika PBNS tidak ambil langkah proaktif, pasukan kita akan jatuh miskin.

Jang,
Maulana Bola sepak Besiktas

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.