April 25, 2024

Malaysia U22 : Filipina bukan ujian sebenar.

3 min read

Bagus ke pasukan Malaysia U22 main bola malam tadi? Jang akan ulas sedikit bersama bekas Kapten Malaysia yang solid, Khairul Anuar Baharom yang sudi duduk berbual dengan Jang sepanjang perlawanan di Paroi malam tadi.

Jang tak siasat kenapa Stadium Paroi dipilih untuk perlawanan persahabatan Malaysia U22 dan akan datang Stadium Hang Jebat pula untuk skuad senior, tetapi langkah ini sangat baik. Takkan asal Malaysia main saja, stadium Bukit Jalil atau stadium Shah Alam mesti menjadi venue. Setakat game persahabatan, atau lawan dengan pasukan lemah, lebih sesuai dibuat di stadium yang berkapasiti kecil saja. Beri peluang stadium atau negeri lain menjadi host juga sebab kualiti rumput stadium kami pun bagus, malah lebih baik dari Shah Alam! Lagipun skuad Malaysia ini kan untuk semua rakyat Malaysia, bukan untuk rakyat Selangor dan KL saja. Jangan lupa buat di stadium Sabah dan Sarawak sebab kene jaga juga hal ‘penggabungan Malaysia!’

Tapi ada yang mempertikaikan harga tiket RM20 sebagai mahal untuk perlawanan persahabatan. Bagi Jang dia jadi mahal sebab memang perlawanan ini untuk buat duit. Lebih terasa mahal sebab ada stesen TV buat siaran langsung. Kalau takda siaran langsung, kau mungkin tak kisah nak bayar RM20 untuk bolasepak. Nak Jang detailkan ke RM20 ini dengan passion dan sukan bolasepak? Hari tu masa Piala FA, AirAsia lawan Selangor di Paroi juga tiket dijual berharga RM20 untuk semua tempat duduk.

Permainan Malaysia bagi Jang tidak la berapa istemewa sangat. Banyak kesalahan basic berlaku. Kalau dah 4,5 kali one by one bola melambung ke langit, jangan la kau pertikai Jang kata ‘kesalahan basic’ ni. Kalau pemain lawan membawa bola dalam kotak penalti kau tackle dari belakang untuk penalti, jangan la kau kata tak tahu apa yang boleh dan tidak boleh pemain pertahanan lakukan.

Jang tau la sebab bekas kapten Malaysia, Khairul Anuar Baharom, duduk sebelah Jang dan terangkan semua tu.

Jang tidak berniat untuk menghentam pemain kebangsaan atau pasukan Malaysia, belum lagi. Memaki pemain tempatan adalah perkara terakhir Jang akan buat selepas makan burger stadium. Tiada seorang pemain pun Jang nak marah atau maki sebab kebanyakannya Jang tak kenal pun dan mereka kelihatan cuba bermain mengikut kehendak jurulatih. Sesekali mereka membuat thru ball yang terlalu kedalam atau keluar, takpa, Jang boleh abaikan. Kesilapan membuat hantaran juga Jang lelap mata. Ini pasukan Malaysia muda..orang muda memang selalu buat kesilapan. Tapi apabila Jang lihat ramai pemain keletihan dan kejang otot, Jang tak boleh terima sangat. 20 minit terakhir permainan, mereka kelihatan sudah kehabisan tenaga. Apabila gagal meyudahkan peluang, pemain terbaring lama, kemudian duduk sementara bola sudah dimainkan dibahagian tengah. Ini tidak manis untuk anak muda Malaysia dan Frank Bernhardt mesti melihat perkara ini.

Sebut tentang Frank Bernhardt, Jang ada juga tanya kapten kita beberapa hal penting seperti; bagaimana persiapan pemain/pasukan yang hanya dapat berkumpul beberapa hari sebelum perlawanan, siapa jurulatih paling best, baguskah jurulatih import berbanding jurulatih tempatan, kenapa bermain long ball dan sebagainya berdasarkan pengalaman beliau bersama beberapa pasukan negeri dan Malaysia. Jawapannya sangat menarik! tapi Jang tak boleh kongsi disini sebab tidak mendapat kebenarannya. Off the record bak kata orang Kuala Pilah.

Tetapi kapten menerangkan beberapa perkara.

1. Frank Bernhardt mesti dibantu oleh jurulatih tempatan kerana jika dia mengambil keseluruhan staff bangsa J (Jerman), bila jurulatih kita nak belajar dari dia.

2. Jika FAM membenarkan Frank Bernhardt mengambil 100% staff bangsa J (Jerman) dan Malaysia masih kalah dan tidak menang piala, ada kemungkinan mereka akan menyalahkan pemain kita sebagai punca kegagalan.

3. Kebanyakan jurulatih dari Jerman adalah betul kecuali Klopp.

4. Jurulatih import bagus kerana dia tidak faham budaya kita, jadi pemain akan lebih berdisplin dan tidak naik lemak. (nampak?)

Ada banyak lagi la perkongsian menarik Jang dapat sedut dari kapten Khairul Anuar Baharom. Hal disiplin, pemakanan, sejarah, Karl Heinz Weigang, gossip, bagaimana mahu menjadi pemain pertahan yang baik dan sebagainya. Mungkin diperjumpaan akan datang akan buat temubual eksklusif.

Apapun kami bersetuju, Filipina adalah pasukan yang lemah dan ini bagus untuk menaikkan spirit pemain Malaysia U22 sebagai perlawanan pertama. Sepatutnya mereka menggunakan peluang dengan menjaringkan lebih banyak gol kerana bak kata kapten kita;

“bagaimana jika dikelayakan Sukan Sea nanti, perbezaan jaringan gol memainkan peranan?”

Jang mengangguk-angguk faham bagaikan burung Balam ditengah sawah. Oklah, kita tunggu perlawanan kedua Malaysia U22 di Paroi Ahad ini.

Malaysia!!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.