/Mampukah Azraai Khor kembalikan zaman kegemilangan Negeri Sembilan?

Mampukah Azraai Khor kembalikan zaman kegemilangan Negeri Sembilan?

Tamat sudah spekulasi siapa ketua jurulatih baru Nismilan. Selepas lebih semusim bersama dengan Nismilan, kami mengucapkan selamat maju jaya dan danke kepada Jorg Steinnebrunner!

 

Coach Azraai sah dilantik sebagai ketua jurulatih baru skuad Jang (bukan Jang sorang, tapi kita semua). Den bukan tak nak khabarkan dari awal perkara ni tapi nanti tak manis dipandang. Takkan den nak mendahului PBNS pulak. Buatnya tiba-tiba tak jadi Coach Azraai nak sertai Nismilan macam mana? Punah lah kredibiliti den.

 

Rata-rata penyokong den lihat menyambut baik pelantikan ini. Ramai yang mengimbas kembali kejayaan Coach Azraai membimbing Nismilan menjuarai Piala Malaysia pada 2011 dan Piala Sumbangsih 2012. Sukar dinafikan bahawa tahun 2009 sehingga 2011 merupakan era kegemilangan Nismilan dalam bola sepak moden. Berbalik kepada tajuk kita, mampukah Coach Azraai mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi 7 tahun lalu? Mampukah Nismilan mendapat semula magis mereka seperti pada awal dekad ini?

 

Hubungan baik Coach Azraai dengan penyokong juga sangat baik. Beliau mengamalkan sifat terbuka dengan para penyokong. Boleh dikatakan bukanlah kejutan apabila ramai yang bersetuju beliau dilantik menggantikan Jorg.

 

Satu perkara yang pasti mengenai corak permainan digemari Coach Azraai ialah long ball dengan target man yang mampu memegang bola. Contohnya Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan juga Effa Owona. Ketika menang double treble bersama Kedah, Marlon merupakan penyerang yang langsung gagal dikekang pihak lawan. Jadi, dengan ketiadaan target man dalam pasukan Nismilan musim ini, mampukah Coach Azraai menggunakan taktik yang sama? Adakah dia akan mengubah corak permainannya mengikut keupayaan pasukan?

 

Buapak bola sepak kita telah mendedahkan dalam rancangan Scoreboard bahawa dia menjangkakan Nismilan mampu berada di kelompok 5 teratas sebaik tamat saingan Liga Super. Takkan kita nak lawan buapak? Takut ketulahan pulak nanti. Den memang sependapat dengan buapak kita. Walaupun Nismilan berada di tangga kedua tercorot buat masa ini, namun dengan kemampuan yang ada pada pemain kita dan ramuan corak permainan yang tepat, target ini amat boleh dicapai. Jadi, kami mencabar Coach Azraai untuk turut meletakkan sasaran berada di kelompok 5 teratas di penghujung musim. Berbekalkan pengalamannya dan track record beliau, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Takkanlah kita naik ke Liga Super ni sekadar sebagai pasukan pelengkap jadual? Kita nak biarkan ramalan FourFourTwo yang mengatakan Nismilan akan turun semula ke kancah Liga Perdana musim depan menjadi realiti? Den tak sanggup!

 

Kemasukan Coach Azraai juga boleh dikatakan sedikit tidak bernasib baik. Ia ekoran kecederaan yang dialami Nicolas Velez dan juga Fakrul Aiman. Ya, kedua-dua pemain ini merupakan penyerang Nismilan. Dan gol-gol Nismilan setakat ini adalah sumbangan mereka. Maka den jangkakan Coach Azraai akan hadapi sedikit masalah pada permulaannya untuk membimbing skuad ini. Tapi, tanpa dugaan dan pancaroba, takkan dapat dirasai kemanisan kejayaan. Betul tak? Berani lah kau semua tak setuju dengan den!

 

Aksi pertama Coach Azraai ialah aksi liga menentang Pahang di Darul Makmur. Manakala Asri akan mengendali skuad ini buat sementara waktu apabila menentang Kedah dalam saingan Piala FA. Sejujurnya, den cadangkan tidak harus kita fokus kepada saingan Piala FA ini. Kerana apa yang lebih penting ialah untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan. Benda ini den dah pernah cakap banyak kali. Tapi kau semua degil dan tamakkan piala. Maka musim ini, sekali ini sahaja, cuba dengar dan ikut nasihat den. Fokus kepada satu dahulu. Kekal di Liga Super. Bila skuad kita dah seampuh JDT, jangankan Piala FA, Liga juara-juara Eropah, Piala Dunia, dan Piala Planet Namek pun kita kena bertanding!

 

Pelantikan Coach Azraai ini adalah turning point pertama Nismilan musim ini. Sama ada ianya positif atau tidak, kita harus tunggu. Jadi den nak bagi situasi kepada kau semua :

 

Sekarang kita bersorak sebab Coach Azraai akan kembali membimbing Nismilan. Den faham beliau terlibat dengan era kegemilangan bola sepak moden Nismilan. Tapi, seandainya prestasi pasukan tetap di takuk yang sama selepas ini, adakah kau semua akan salahkan persatuan? Bukankah kita semua setuju dengan pelantikan Coach Azraai? Bukan mengipas mana-mana pihak, den sekadar memberi pandangan dan persoalan dari sudut realiti. Sudut yang jarang ingin kita lihat. Kerana sudut ini memberi gambaran sebenar etika dan imej sebenar kita sebagai penyokong. Mampukah kita semua berdiri di belakang pemain, jurulatih dan pasukan jika hasil turning point ini tidak memberi keputusan yang kita mahukan? Sanggupkah kau sebagai penyokong yang dambakan corak permainan tiki taka melihat game play long ball semula sekiranya Coach Azraai menggunakan taktik sedemikian? Atau adakah kau semua akan terus mengeluh, merungut dan memaki? Fikir-fikirkan.

 

Kepercayaan dan masa harus kita berikan kepada beliau. Beliau pasti tahu menjalankan tugas beliau. Dan tugas kita sebagai penyokong adalah untuk terus turun ke stadium memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan. Jangan sekali-kali kau semua lupa akan tanggungjawab berat ini!

 

Sekian,

MUSUHNYA HABIS BINASA!

Kid.

 

P/S : Coach sahut tak cabaran kami untuk berada dalam top 5 di penghujung musim nanti?