/Marco Simic: Antara Sentimen Dan Gol Dalam Padang

Marco Simic: Antara Sentimen Dan Gol Dalam Padang

Memasuki musim perpindahan pertengahan musim dan liga berehat untuk memberi laluan kepada umat Islam untuk menjalani ibadah puasa, ia sudah pasti menjadi detik yang mahu dilangkaui oleh sesetengah penyokong Negeri Sembilan yang masih terkesan dengan insiden tahun lalu. Dengan aksi Liga Super pada musim hadapan menjadi piawaian untuk sasaran pasukan pada musim ini, pasti semua penyokong Hobin Jang Hobin masih terngiang-ngiang di ingatan peristiwa musim lalu bagaimana pihak pengurusan melakukan pertukaran pemain import ketika jendela perpindahan pertengahan musim.

Joel Chianese dan Andrew Nabbout, dua pemain yang memimpin bahagian serangan sehingga skuad Jang berada di kedudukan yang baik untuk kembali ke kancah saingan yang lebih berprestij, penyokong-penyokong dikejutkan dengan pertukaran kedua-dua pemain dan digantikan dengan Henrique dan Goran Jerkovic. Lebih memburukkan keadaan, terdapat perbalahan dalam menentukan siapa yang bertanggungjawab untuk melakukan urusan tersebut kerana Presiden bola sepak membuat satu kenyataan ia adalah atas kehendak ketua jurulatih manakala kapten ketika itu, Taylor Regan pernah berbual bersama beberapa orang penyokong selepas perlawanan dan berkata ‘Gary will never do this’ selepas penyokong bertanya apa yang terjadi kepada pasukan.

Dan kini, mungkin sesetengah penyokong pasti akan mengecam tindakan pengurusan yang sedang menguji Jonathan Behe, bekas pemain import Sabah melalui perlawanan persahabatan dan Marko Simic tidak kelihatan di atas padang. Setakat ini, masih belum ada apa-apa kenyataan dibuat oleh pengurusan pasukan dan Marko Simic telah memuat naik status ‘I am so broken, and hard to say that club relase me in last minute by coach decision. Cant accept that I cannot help team@in last 9 Games, and lift the cup at the end of the season!’.

Menerusi status ini, dapatlah kita simpulkan bahawa Marko Simic ternyata mempunyai cita-cita yang besar untuk membantu pasukan dan karakter ini pasti disayangi oleh mana-mana penyokong kerana sesungguhnya pemain seperti ini bersungguh-sungguh bermain untuk pasukan yang diwakili. Ditambah dengan insiden lalu, pasti ramai yang tertanya-tanya adakah pengurusan mahukan pisang berbuah dua kali atau pengurusan sekadar endah tak endah sehingga tidak mengambil iktibar dari kejadian tersebut. Atau adakah penyokong perlu bersabar untuk melihat hasil dari proses perpindahan pemain seperti ini.
Satu risiko yang diambil oleh pihak pengurusan dan peminat perlu ‘wait and see’ untuk melihat hasilnya.

Berbalik kepada pemain yang kini menjadi bualan para peminat, Marko Simic, beliau memulakan perlawanan pertama liga dengan langkah kiri. Menjadi target man dalam perlawanan menentang Sabah, beliau sentiasa berada di hadapan menanti hantaran-hantaran dari rakan sepasukan namun gagal disempurnakan dengan baik. Lebih malang, sepakan penaltinya berjaya diselamatkan dan beliau memilih untuk merembat bola muntah tinggi ke udara walaupun pintu gol terbuka luas. Selepas aksi tersebut, moral Marko Simic seolah-olah turun sehingga mensia-siakan beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan gol Negeri Sembilan.

Mungkin ia masih terlalu awal untuk menilai Marko Simic menerusi satu dua perlawanan awal, penulis ketika perlawanan kedua menentang PKNP berpendapat jika Marko Simic gagal untuk menunjukkan aksi beliau sebagai seorang penyerang yang bakal digeruni, mengapa jurulatih tidak mahu memberi ruang kepada pemain tempatan seperti Rahizi ataupun Farderin Kadir beraksi sebagai pemain gantian. Dan dalam aksi ini, jurulatih masih memberi kepercayaan kepada Marko Simic dan pertukaran taktikal yang dilakukan adalah dengan memasukkan Annas Rahmat dan menolak Vidic yang bermain sebagai pertahanan ketika itu menjadi pemain tengah.

Perlawanan ketiga adalah perlawanan yang menjadi detik kepada penulis untuk tidak berapa menggemari Marko Simic atas bantuannya di atas padang. Ketinggalan 1-0 kepada PDRM, Marko Simic digantikan dengan Farderin Kadir dan Farderin Kadir pantas memberi impak dalam perlawanan tersebut. Mencabar Al-Hafiz Hamzah ketika perebutan bola di udara sebelum melakukan hantaran kepada Bruno untuk jaringan gol dan menampan mudah bola hantaran Lee Tuck yang menggelecek cantik dari kawasan sendiri.

Perlawanan keempat merupakan perlawanan Piala FA di mana Negeri Sembilan bertemu Selangor di Stadium Selayang. Masih belum mendapat tanda-tanda yang Marko Simic akan menjadi penyerang yang akan disayangi oleh para peminat kerana ketajamannya. Beliau dikeluarkan ketika perlawanan memasuki masa tambahan untuk memberi laluan kepada Farderin Kadir. Selepas perlawanan ini, terdapat satu ulasan dari pengulas terkenal Negeri Sembilan, Kid, yang menyatakan Simic perlu diberi lebih oleh para penyokong. Satu aksi Simic yang boleh dipuji ketika ini adalah beliau sentiasa memberi sokongan kepada rakan-rakan dan menaikkan semangat para penyokong walaupun setelah dikeluarkan.

Marko Simic ternyata memilih perlawanan yang paling indah untuk membuktikan kepercayaan jurulatih kepadanya. Dan juga membuktikan kenyataan dari Kid yang bahawasanya beliau perlu diberi peluang untuk bangkit dari aksi kurang menjadi sebelum ini. Menjaringkan gol pembukaan menentang Terengganu, pertemuan yang membabitkan pertarungan antara dua pasukan teratas pada ketika itu. Dan Marko meraikan jaringannya dengan cukup significant, berlari separuh padang ke arah barisan kejurulatihan tanda terima kasih kepada kepercayaan yang diberikan.

Marko Simic tidak lagi menoleh ke belakang untuk membalas budi para penyokong dan barisan kejurulatihan yang masih bersabar dengan dirinya. Dua gol ketika menentang Kuantan FA dan satu gol ketika bertemu MISC MIFA (dua game ni tak pergi tengok), Marko Simic melangkah ke perlawanan menentang KL FA dengan satu semangat juang yang tinggi. Ditambah dengan statement yang dikeluarkan oleh presiden persatuan ketika itu yang menyatakan mahu melihat pemain import beraksi lebih cemerlang dan menyempurnakan peluang yang ada selaras dengan gaji sebagai seorang pemain import.

Dan malam tersebut sudah pasti ramai yang terkejut melihat Marko Simic bersungguh-sungguh mengejar bola, melakukan percubaan demi percubaan sehingga menenggelamkan aksi pemain import yang lain. Marko Simic menutup malam menentang KL FA dengan satu gol yang cantik apabila bola yang terbias dari kaki pemain lawan, Marko Simic tanpa membuang masa melakukan satu turning dan terus melepaskan rembatan ke arah pintu gol. Dan bak kata orang putih, ‘the rest is history’.

Marko Simic meneruskan rentak menjaringkan gol namun jika dilihat, skuad Negeri Sembilan sudah mula tidak bernafsu dalam mencari gol. Maksud tidak bernafsu adalah Negeri Sembilan gagal mencatat jumlah gol yang besar ketika perlawanan yang sepatutnya Negeri Sembilan mampu melakukan sedemikian.

Menerusi pandangan peribadi, dalam untuk memastikan pemain penyerang mampu melaksanakan tugas beliau iaitu menjaringkan gol, Negeri Sembilan telah menukar strategi untuk memastikan keadaan itu berlaku. Bruno yang bermain secara free role pada permulaan, menukar corak permainannya kepada pembantu penyerang sehingga beliau acap kali tenggelam dalam beberapa perlawanan. Ternyata Bruno lebih selesa untuk bermain secara free role namun Marko bukanlah seorang penyerang yang sesuai untuk bermain tanpa backup striker.

Jika dinilai kelebihan dan kelebihan kepala Marko Simic, agak jauh perbezaan ketara yang boleh dilihat. Walaupun mempunyai ketinggian yang baik untuk menjaringkan gol menerusi kepala, Marko Simic gagal menjadi target man yang baik ketika menerima hantaran bola udara. Beberapa kali beliau terlepas peluang untuk menanduk bola ke arah pintu gol. Jaringan-jaringan gol beliau banyak dilakukan dengan rembatan kencang ketika pemain lawan terlalu memberi ruang kepada beliau untuk melakukan sepakan. Namun begitu, tidak dapat dinafikan, jika beliau boleh menggelecek bola seperti Lee Tuck, rembatannya pasti menjadi igauan penjgaga gol.

Ketika menentang PDRM, Negeri Sembilan mempunyai masalah untuk menerima first ball dari sepakan gol kerana Lee Tuck dan Bruno bukanlah pemain yang tinggi lampai. Ketika itu, Marko Simic bermain sebagai top dan jarang-jarang turun ke half space. Selepas perlawanan tersebut, Marko ditugaskan untuk menerima first ball dan seperti ulasan Ultrajang, beliau acap tewas dalam perebutan bola di udara dan jika menang, first touchnya untuk hantaran kepada rakan kadang-kala mengecewakan. Setelah bola di hantar kepada rakan-rakan, perlu mengambil masa untuk memastikan Simic kembali berada di bahagian atas untuk melancarkan serangan.

Secara konklusinya, beberapa pemain perlu adjustable untuk menyesuaikan diri dengan taktikal rakan-rakan dan pasukan. Jika gagal, pasti terpaksa dikorbankan untuk memastikan taktikal pasukan terlaksana. Dalam isu ini, pihak pengurusan bukan sahaja perlu melihat kepada aksi penyerang yang boleh menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan, perlu juga mencari seorang pemain yang berkaliber untuk memenangi first ball selain pemain sedia ada yang boleh mematikan gerakan serangan pemain lawan.

Oleh: Muhayat Ajwad.

Kongsi artikel ini: