/Masak dengan budaya bolasepak setan

Masak dengan budaya bolasepak setan

Jang perati je FAM cakap nak lantik jurulatih yang faham dan masak budaya bolasepak tempatan untuk pasukan senior (petanda awal Ong Kim Swee akan dipilih) tetapi dalam masa yang sama lantik jurulatih Jerman, Frank Bernhardt, untuk skuad sukan Sea 2017. Mungkin budaya bolasepak untuk sukan Sea lain dimata FAM, atau Frank Bernhardt dah masak dengan budaya kita? Lepas Frank Bernhardt panggil dan buat pemilihan pemain untuk skuad sukan Sea, timbul pula isu pemain kene pulang bermain untuk pasukan negeri / kelab masing-masing. Frank Bernhardt kerja dia selepas ini berjalan seluruh Malaysia untuk pantau pemain lagi. 2017 nanti baru kumpulkan semula.

Ingatkan dah pilih pemain, boleh la terus berlatih, rupanya tidak. Hah! ini budaya la ni. Budaya bolasepak FAM. Budaya setan!

Jum baca sejarah budaya setan tulisan Hadriey dari blog bola Mata Pena SI Hitam;

Dua tiga hari ini bukan main seronok aku menengok kemeriahan bola sepak Malaysia. Pamoga dengan pasukan Kelantan dia. Soltan JDT dengan sumbangan 50 jutanya. Juga keluar masuk pemain dari satu pasukan ke pasukan yang lain turut menambah perisa keseronokan dalam Liga Malaysia musim 2016 yang bakal bermula kelak.

Pasukan JDT pula begitu bangga dengan ranking mereka yang lebih atas daripada AC Milan dan Southampton. Aku tidak akan halang mereka untuk bergembira barang seminggu dua. Cuma ingin aku ingatkan kepada korang semua bahawa ranking bola sepak Malaysia adalah di tangga yang ke-171. Jadi, silalah berpada-pada dalam bergembira.

Terpulanglah pada kehendak masing-masing. Aku okay jek dengan ranking ratus-ratus pasukan Malaysia ni.

Tapi aku secara peribadi bergembira dengan keadaan ini. Kerana ia sepatutnya segera dapat menyedarkan FAM betapa pentingnya perubahan drastik dalam budaya bola sepak di Malaysia. Cuma aku tak pasti berapa banyak lagi kekecewaan yang kita semua perlu tanggung untuk menyedarkan FAM dan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga hal bola sepak di Malaysia.

Aku tak nafikan pembangunan bola sepak di Malaysia ini amat bagus. Aku berikan beberapa contoh. Dahulu kita ada skuad projek Olimpik 1996 yang dibimbing oleh ketua jurulatih berpengalaman dari Perancis yang begitu tegas sifatnya serta mempunyai etika profesionalisme yang tinggi iaitu Mr. Claude Le Roy. Beliau dibantu oleh Encik Irfan Bakti dan Encik Lim Chuan Chin sebagai jurulatih penjaga gol. Mereka ini bukan calang-calang individu. Namun di mana pengakhiran pemain-pemain dalam skuad ini?

Kemudian kita ada skuad Piala Dunia Belia 1997 yang dilatih oleh Hatem Souissi yang bermisai lagi lebat daripada Wak Doyok. Masa ini nama-nama V. Saravanan, Gilbert Cassidy Gawing, Mohd Sany Muhammad Fahmi, Nik Ahmad Fadly Nik Leh dan Tengku Hazman Raja Hassan antaranya menjadi bualan di jalanan. Mereka berpeluang bergesel keting dengan Fabián Carini, Marcelo Zalayeta dan Nicolás Olivera. Tetapi di manakah pemain Malaysia ini berada ketika Fabián Carini menjadi penjaga gol pilihan ke-4 pasukan Inter Milan di belakang Francesco Toldo, Júlio César dan Paolo Orlandoni?

Skuad Rajagopal pula yang terdiri daripada bakat hebat dari Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya menggegar Asia Tenggara pada 2009 dan 2010 sebelum dimalukan oleh Singapura untuk terkandas dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Dan sehingga kini sebahagian besar kelompok pemain ini masih berada dalam skuad utama Harimau Malaya.

Beberapa tahun dahulu kita mempunyai skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee yang seolah-olah mampu menembusi tembok ASIA. Setakat mana pula bakat Irfan Fazail, Gary Stevan Robbat mahupun Nazmi Faiz berjaya diketengahkan?

Dan hujung tahun 2014 kita hadiahkan dengan pencapaian skuad Bawah 16 tahun negara yang hanya tersingkir di pentas suku akhir Kejohanan Asia Bawah 16 Tahun. Juga penubuhan Frenz United Football Academy. Serta Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang mana sedang diselenggarakan oleh lagenda Lim Teong Kim yang amat disegani di Bayern Munich.

Persoalan besar di sini ialah ke mana nanti berakhirnya limpahan bakat-bakat ini? Adakah hanya cukup dengan status gah di benua Asia Tenggara barang dua hingga tiga tahun dan kemudiannya kembali ke fitrah asal iaitu bergelut untuk mencapai kemenangan dengan pasukan seperti Myanmar?

Kita ada penyokong yang besar semangatnya. Kita ada fasiliti bertaraf dunia. Namun malang sekali tanpa kita sedari kita mempunyai sebuah liga kecil yang hanya ditubuhkan untuk berubah-ubah formatnya setiap tahun. Penswastaan liga yang sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya pada 2015 telah ditangguhkan ke satu tarikh yang lain. Jika aku salah dalam hal ini sila betulkan. Mungkin aku terlepas pandang.

Mujur juga sekarang ini ada Football Malaysia LLP yang kelihatan memberi sedikit sinar kepada perjalanan Liga Malaysia yang sekian lama berada dalam lohong yang gelap. Namun kita perlu tunggu dan lihat dahulu hasil daripada kewujudan badan bola sepak ini. Nak hentam awal sangat pun tidak manis juga.

Bagi aku, buat masa ini FAM yang juga masih badan berwajib yang mengelolakan sukan bola sepak negara mempunyai tugas yang berat selepas ini untuk membangunkan semula maruah bola sepak negara. Wujudkan gaya permainan yang baharu dan lebih berkesan serta pemerkasaan terhadap Liga Malaysia. Kelab-kelab bola sepak yang diuruskan secara POWER NAK MAMPOS macam JDT harus ditambah agar ‘pool’ pemain dapat diperluaskan. Dan apabila pasukan telah bertambah, secara tidak langsung perlawanan kompetitif dalam liga juga akan bertambah. 22 perlawanan liga untuk semusim adalah terlalu sedikit dengan peluang pemain tempatan bermain semakin terhad. Penat kalau main banyak perlawanan semusim? Engko berhenti jelah main bola kalau macam gitu. Pergi jual gula tarik.

Sudahlah. Setakat ini sahaja yang aku nak tuliskan. Jadi aku takkan pernah salahkan kawan-kawan aku bila ada yang cakap “Ini yang aku malas layan bola sepak Asia Tenggara ni”.

Muhammad Hadri – Hadriegas – Mata Pena Si Hitam