/Masih relevankah kebergantungan sukan kepada ahli politik?

Masih relevankah kebergantungan sukan kepada ahli politik?

Tidak boleh dinafikan, banyak kategori sukan di Malaysia ini sangat bergantung kepada ahli politik samada secara langung atau tidak. Kebergantungan ini selalunya menjurus kepada kemudahan untuk saluran dana atau subsidi demi kelangsungan sukan tersebut. Cukup Jang katakan hal ini telah berakar secara serentak semenjak orang kita pandai berpolitik dan bersukan. Persoalannya, ada yang anggap hal ini membunuh sukan itu sendiri? Adakah tuduhan ini terlalu berat atau hanyalah sekadar menuduh mengikut sedap tanpa sedikit pun mahu mengkaji hubungan itu sendiri.

Mari kita fokus kepada sukan bola sepak sahaja dahulu.

Jang lihat peminat sukan bola sepak selalu melepaskan marah atau tuduhan atau menjadikan ahli politik sebagai mangsa apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam bola sepak. Mereka sering menganggap jika tidak ada campur tangan ahli politik dalam sukan bola sepak, pasukan bola sepak kita akan menjadi lebih maju, pandai menjaringkan gol, lebih berdaya saing, lebih pandai mencari keuntungan dan sebagainya. Betul ke? Mereka melihat penswastaan pasukan yang bebas dari ahli politik sebagai jalan keluar untuk menjadikan pasukan mereka hebat dan telus. Soalnya, jika ianya satu bisnes yang dijamin rugi, siapa mahu jadi pelabur pada pasukan bola?

Diakui, memang ada krisis politik yang menyebabkan pasukan bola menjadi mangsa. Contoh mudah untuk kita lihat ialah senario yang berlaku di Selangor sekarang ini. Walaupun tidak jelas apa masalah sebenarnya sehingga pasukan Selangor terpaksa bermain di stadium Cheras tetapi rata-rata menganggap situasi politik negeri itu menjadi punca. Menambah buruk, ada ahli politik yang menjanjikan stadium baru atau Selangor kembali semula ke stadium Shah Alam jika menang. Ini jelas mempergunakan bola sepak dan ianya tidak manis.

Soalnya, sejauh manakah kemampuan persatuan bola kita untuk berdiri atas kaki sendiri? Kita sudah lihat banyak sponsor swasta sebelum ini yang menarik diri dan mengakibatkan pasukan menjadi lumpuh. Qu Puteh di Kelantan adalah contoh terbaik bagaimana sponsor dari pihak swasta yang hanya separuh jalan dan menarik diri. Maknanya bukan semua syarikat swasta yang ‘berkebolehan’ untuk menjadi sponsor. Mereka mahu pulangan, bukan sekadar ‘brand awareness’ sahaja. Jika ada syarikat swasta yang kaya raya pula, mereka lebih suka melaburkan wang mereka dengan membeli kelab luar seperti di liga inggeris dan Itali.

Kebergantungan kita dan bola sepak kepada ahli politik telah berlaku sejak turun temurun. Ada yang menempa kejayaan dan ada yang masih berusaha untuk berjaya. Adakah semua ahli politik mahu ‘tumpang kaki’ kedalam sukan untuk dijadikan platform politik mereka? Tetapi jika ada, apa yang peliknya? Dah itulah lumrah seorang ahli politik. Bezanya keikhlasan dan jika ada sedikit minat kedalam sukan itu sendiri sudah cukup.

Mengambil contoh mudah, Presiden PBNS, Datuk Seri Utama Mohamad Bin Hasan, yang juga merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan telah beberapa kali mengulangi kenyataan bahawa beliau menjadi presiden PBNS atas kehendak perlembagaan; iaitu seorang Menteri Besar mesti menjadi presiden bola. Walaupun begitu, beliau tetap menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan dan memberi tumpuan penuh kepada kemajuan bola sepak kita, terutama pembangunan. Lebih manis, Menteri Besar kita ini ada ‘rekod’ dan sejarah tersendiri dalam arena bola sepak yang Jang rasa, Menteri Besar lain tak mampu tandingi.

NFDP yang kita semua tunggu dan harap mampu mengubah masa depan bola sepak kita pula adalah hasil idea dan kelolaan Menteri Belia Dan Sukan, Encik Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau. Jelas, usaha beliau bersama NFDP telah terbukti setakat ini walau perjalanannya masih panjang. Kenapa kita suka kepada NFDP dan mengenepikan hakikat bahawa kejayaannya adalah hasil usaha dan kekuatan ahli politik itu sendiri?

Menariknya, bukan semua ahli politik bersetuju dengan perkahwinan sukan dan politik ini. Timbalan Menteri Pendidikan II, yang juga bakal ahli Parlimen Seremban, Datuk Chong Sin Woon berpendapat sukan mesti berdiri atas kaki sendiri tanpa bantuan penuh kerajaan. Beliau memberi contoh sukan bola keranjang Negeri Sembilan yang kini cukup kuat dan mampu bediri atas kaki sendiri dengan bantuan syarikat swasta. Begitu juga dengan sukan badminton yang telah mula membuat liga mereka sendiri (Purple League) dan berjaya. Bagi Datuk Chong, jika sukan kecil seperti bola keranjang mampu menjana pendapatan, berjalan atas kaki sendiri tanpa bantuan kerajaan dan politik, kenapa sukan bola sepak yang mempunyai berjuta peminat tidak boleh?

Sukar untuk Jang membuat kesimpulan dalam hal sukan dan politik ini, cukup jika Jang katakan, keduanya saling perlu dan membantu dan jika pasangannya bagus, maka keuntungan lebih besar kepada sukan dan rakyat dapat diperolehi. Jika pasangannya buruk maka carilah jalan untuk berpisah. Beberapa kes yang Jang sebutkan diatas boleh dijadikan iktibar bagaimana kesemua elemen saling perlu dan membantu. Tidak semua ahli politik akan mempergunakan sukan sebagai alat tunggangan mereka. Peranan dan pengaruh mereka sangat-sangat membantu dalam usaha kita mahu mengubah dan mempercepatkan kemajuan sukan, terutama bola sepak di Malaysia ini. Tidak semua syarikat kaya mahu melabur dalam bola sepak kita, jadi kebergantungan kepada sumber dan kekuatan ahli politik dilihat masih terus relevan.

Siapa nak bangkang Jang? Tinggalkan komen atau emel ke ultrajangmag@gmail.com