/Menolak jemputan PSM Makassar : Pro dan Kontra

Menolak jemputan PSM Makassar : Pro dan Kontra

Keputusan pasukan Negeri Sembilan untuk tidak mengambil bahagian dalam pertandingan PSM Makassar Supercup Asia 2018 pastinya mengecewakan sebahagian peminat yang mahu melihat keupayaan pasukan dalam bersaing menentang pasukan-pasukan besar dari luar negara di ASEAN. Dengan status pasukan baru dinaik taraf dalam kancah Liga Super 2018, akan ada peminat yang mahu menjadikan pertandingan ini sebagai satu penanda aras sama ada Negeri Sembilan sudah bersedia untuk bersaing dalam liga atasan bersama-sama JDT, Selangor, Kedah mahupun Pahang (sekadar menyebut beberapa nama pasukan sebagai contoh).

 

Menerusi kenyataan Dato Mohamad Haslah Mohamad Amin selaku pengurus pasukan Negeri Sembilan di media sosial Team N9FC, pihak pengurusan dan kejurulatihan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak menyertai pertandingan tersebut yang dijadualkan akan berlangsung dari 19-21 Januari 2018 di Makassar, Indonesia dengan PSM Makassar akan menjadi tuan rumah dan setakat artikel ini ditulis, belum ada kenyataan yang dikeluarkan oleh PSM Makassar berhubung tindakan yang diambil oleh Negeri Sembilan dan pasukan yang akan mengambil alih tempat Negeri Sembilan.

Kenyataan dari pengurus pasukan, Dato Mohamad Haslah Mohamad Amin

Selaku sebuah pasukan yang professional, penulis percaya sudah pasti tindakan yang diambil telah dibincang bersama pihak pengurusan dan kejurulatihan supaya ia membawa kepada perkara yang positif dan penulis tertarik dengan statement yang dibuat oleh pengurus pasukan di mana “pasukan Negeri Sembilan baru sahaja pulang dari aksi pra-musim di Kemboja dan pihak kejurulatihan merasakan pasukan ini perlu bersedia lebih rapi terutama dalam aspek taktikal dan set-piece”.

 

Dalam situasi liga belum dijalankan, penulis sentiasa bersetuju dengan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh pasukan selagi ia bertujuan untuk kebaikan bersama kerana sudah pasti mereka lebih memahami dengan situasi yang sedang dialami dan lebih mengetahui tindakan yang harus diambil. Bahkan, berdasarkan asbab yang diberikan, penulis merasakan tindakan yang diambil oleh pasukan merupakan satu langkah yang tepat dalam persiapan untuk Liga Super 2018.

 

Seperti yang Kid telah jelaskan dalam artikel sebelum ini, berdasarkan perlawanan pra-musim di Kemboja, taktikal Negeri Sembilan mengalami sedikit perubahan berbanding musim lalu seiring dengan pertukaran posisi Asri dan Jorg selaku ketua dan penolong jurulatih. Aksi di Kemboja juga merupakan aksi serius pertama kelima-lima pemain import bersama pasukan setelah mereka selesai menandatangani kontrak dan perlawanan-perlawanan persahabatan sebelum ini lebih kepada untuk menilai keupayaan masing-masing sebelum tawaran kontrak diberikan.

 

Selain dari lima pemain import yang kesemuanya merupakan import baharu, tujuh pemain dari pasukan luar yang dibawa masuk dan empat pemain dari Jang Muda yang dinaik taraf menjadikan pasukan Negeri Sembilan mempunyai separuh muka baharu dari tiga puluh pemain yang didaftarkan untuk musim 2018. Sudah pasti banyak kerja dan latihan yang harus dilakukan Jorg dalam menanam aspek taktikal yang dimahukan dalam jiwa para pemain.

 

Mungkin akan ada yang menyatakan PSM Makassar Supercup Asia 2018 merupakan pentas terbaik untuk mempraktikkan taktikal yang diidamkan, tetapi penulis berpendapat sudah pasti Jorg telah berjaya mengesan kelebihan dan kekurangan pemain dalam menjalankan taktikal yang dimahukan ketika di Kemboja dan kini masanya untuk memperbaiki dan membuat latih tubi untuk memperkasakan pasukan. Malah, pihak pengurusan telah mengaturkan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi menggantikan pertandingan tersebut dan Jorg boleh menggunakan perlawanan ini untuk menilai keputusan latihan yang telah dibekalkan.

 

Adakah Negeri Sembilan memerlukan latihan set pieces? Berdasarkan prestasi musim lalu, tidak banyak gol yang dijaringkan oleh Negeri Sembilan menerusi sepakan sudut dan tendangan percuma. Tidak kira sama ada sepakan terus ataupun gerakan hantaran, setiap peluang yang ada harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Maka jika tiada pemain tinggi di dalam kotak yang boleh menanduk ke arah pintu gol dan pemain lawan meletakkan pemain tinggi lampai sebagai pertahanan, apalah gunanya menggunakan hantaran lambung sebagai satu pilihan. Dan musim ini kita mempunyai Madhu Mohana sebagai satu option tetapi jika semua terarah kepada Madhu, pasti pihak lawan pantas membaca strategi ini.

 

Begitu juga sepakan terus ke arah gol. Musim lalu, hampir semua sepakan percuma yang boleh mendatangkan gol diambil oleh Lee Tuck sedangkan Noor Hazrul turut mempunyai kebolehan untuk mengambil sepakan percuma. Pihak kejurulatihan perlu mengenal pasti beberapa pemain yang mempunyai kebolehan yang sama supaya kita mempunyai banyak pilihan pemain untuk mengambil sepakan percuma selain mengelirukan pemain lawan apa gerakan yang mahu digunakan oleh pasukan.

 

Latihan set pieces bukan sahaja digunakan ketika menyerang. Ia turut digunakan untuk bertahan. Musim lalu, beberapa gol terlepas walaupun ada pemain padang yang menjaga tiang gol ketika sepakan sudut. Yang lebih terkesan, bola tersebut lalu di sebelah pemain dan pemain serta penjaga gol keliru serta leka dalam mengeluarkan bola. Ini membuktikan bukan pemain di dalam kotak sahaja yang perlu peka terhadap bola, pemain yang menjaga tiang juga perlu peka ketika set piece dan bukan sekadar memegang tiang.

 

Bagaimana dengan disadvantages apabila Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak menyertai PSM Makassar Supercup Asia 2018? Seperti yang telah dimaklumkan di atas, Negeri Sembilan kehilangan peluang untuk bersaing dengan pasukan besar dari top divisyen ASEAN League. PSM Makassar sendiri menduduki tempat ketiga dalam Liga 1 Indonesia musim lalu. Adelaide United pula merupakan pasukan dari Australia yang bersaing dalam A-League. Walaubagaimanapun, tidak dipastikan status Adelaide United kerana mereka turut mempunyai perlawanan A-League pada 21 Januari 2018. Untuk Home United (pasukan dari Singapore), tidaklah berasa ralat sangat kerana Negeri Sembilan telah mengaturkan perlawanan persahabatan bersama Home United pada 27 Januari nanti.

 

Apa yang menjadi concern adalah tanggapan pasukan luar secara amnya dan tanggapan PSM Makassar secara khusus terhadap tindakan pasukan Negeri Sembilan menarik diri dalam saat akhir ketika pertandingan hampir dilangsungkan. Kita mengharapkan pihak PBNS dan PSM Makassar telah membuat perbincangan rasmi sebelum PBNS memutuskan untuk tidak menyertai jemputan ini dan dipersetujui oleh PSM Makassar kerana kita pasti mengharapkan keputusan ini tidak membuatkan pasukan-pasukan lain berasa tawar hati untuk menjemput Negeri Sembilan menyertai sesebuah kejohanan mahu pun perlawanan persahabatan pada masa akan datang.

 

Apa pun usaha yang dilakukan jurulatih dan pengurusan, semoga Negeri Sembilan bersedia untuk bersaing dalam Liga Super 2018!

Kredit gambar : PSM Makassar dan Team N9FC