/Minta 3 beri 5: Negeri Sembilan bertegas tak mahu naik liga Super!

Minta 3 beri 5: Negeri Sembilan bertegas tak mahu naik liga Super!

Apabila ada ura-ura ingin menambah jumlah pasukan bertanding di liga Super menjadi 14 pasukan dengan menaikkan 3 pasukan dari liga Perdana, Negeri Sembilan bertegas tidak mahu menjadi pasukan yang naik ikut pintu belakang. Begitulah tingginya pendirian pasukan Negeri Sembilan. Memilih untuk layak ke liga Super secara merit, bukan melalui perubahan format seperti pasukan Pahang dan Selangor pada tahun 2005/06. Ini bukan liga taraf Bumiputera yang boleh diselitkan pasukan mengikut Dasar Ekonomi Baru (DEB). Nampak?

Sebak Jang bila tahu keputusan di Sabah yang dianggap sebagai ujian kertas litmus maruah pasukan Negeri Sembilan. Hmmmm.

Begitu simbolik kedudukan ke LIMA liga untuk tahun ke LIMA Negeri Sembilan bersidai di Liga Perdana musim hadapan. Minta menang lawan Sabah pun mereka tak mampu lakukan, tak kisahlah apa keputusan PKNP dan Terengganu atau JDTII, itu kita tidak boleh kawal. Betullah kata beberapa penyokong, “disaat kita mengharap itulah mereka akan kalah” begitu sadis sekali duka menjadi penyokong Negeri Sembilan. Dimanakah salah dan silap kita sehinggakan kita tidak boleh lagi dimaafkan lalu diperlakukan sebegini?

Jang lakukan banyak penyiasatan dan bertanya sana-sini mencari jawapan. Ada yang boleh disiarkan disini kepada umum dan ada yang terlalu sensitif untuk dijadikan berita. Apa maksudnya itu? Kenapa begitu sensitif? Hati siapa lagi yang mahu dijaga? Bagaimana dengan hati penyokong? Hmmm. Biarlah Jang buat kesimpulan mudah dan murah; ‘barang yang lepas jangan dikenang, jika dikenang meroyanlah di Facebook’ Tak guna juga dimasa begini baru nak beritahu Jang apa dan siapa yang silap. Memang mudah untuk melihat kesalahan orang ketika jatuh begini sedangkan orang yang sama beri kita kegembiraan sebelum ini. Jadi, kita bertenang.

Jang dah habis goreng juga hal Negeri Sembilan ini dan jika Jang terus goreng, nescaya ianya akan hangus. Siapa pula nak menyuap makanan hangus ke mulut mereka? Semua orang nak makan sedap saja, kalau boleh nak tambah nasi dan lauk. Bila nasi mentah, salahkan kayu api basah. Tanya kayu kenapa engkau basah, kayu jawap, hujan timpa aku. Tanya hujan, kenapa timpa kayu? Hujan jawap, katak panggil aku. Tanya katak, kenapa panggil hujan, dia jawap, ular nak makan aku. Tanya ular kenapa nak makan katak..ular koba MEMANG MAKANAN AKU! MEMANG MAKANAN AKU!

Puncanya mudah sahaja, sebab kerbau tak makan rumput yang tumbuh panjang kerana perutnya sakit.

Kau faham tak?

Kalau kau tak faham maksud nyanyian klasik kanak-kanak ini, bagaimana Jang nak bercerita hal yang lebih sensitif dan kompleks?

Hmmm..dah la. Tak dapat Jang nak teruskan lagi artikel ni.

Kongsi artikel ini: