April 25, 2024

Negeri Sembilan 1-1 Kelantan (Matchday 6 Liga Super 2018)

3 min read

Inilah bola sepak. Selagi wisel penamat belum ditiupkan, setiap pemain harus tetap fokus di dalam padang. Perlawanan semalam yang melibatkan Negeri Sembilan dan Kelantan memberi pengajaran yang serupa seperti musim-musim terdahulu kepada semua. Tidak boleh terlalu cepat bermegah meraikan kejayaan dan tidak seharusnya terlalu cepat untuk mengalah. Itulah yang terjadi pada malam tadi. Negeri Sembilan mendahului Kelantan untuk lebih 80 minit menerusi jaringan Flavio Beck Junior pada minit ke-7. Namun, Nik Akif Nik Mat berjaya mendiamkan STAR Paroi apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-94. Minit ke-94!!!

Hampir sedekad yang lalu, perlawanan antara Negeri Sembilan dan Kelantan merupakan perlawanan yang dinantikan. Tidak berubah keadaan itu semalam. Walaupun kedua-dua pasukan bergelut di dasar liga, STAR Paroi masih dipenuhi dengan lautan kuning dan juga merah. Walaupun ada yang berpendapat, seri di tempat sendiri seolah-olah satu kekalahan kepada pasukan tuan rumah dan kemenangan buat pasukan lawan, den beranggapan perlawanan malam tadi sebagai satu kekalahan dalam kemenangan. Kito dianggap kalah kerana gagal bawa pulang tiga mata setelah melepaskan gol di saat-saat akhir perlawanan namun dari segi corak permainan, ternyata ada perubahan yang ditampilkan berbanding perlawanan lalu.

Kehadiran semula Nico Velez di dalam skuad Negeri Sembilan setelah pulih dari kecederaan memberi satu dimensi baru dalam corak serangan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan pada separuh masa pertama memulakan aksi dengan cubaan untuk menyerap asakan Kelantan sebelum melancarkan serangan balas di mana Velez sentiasa bersedia untuk menerima hantaran di bahagian tepi padang dan melakukan larian. Strategi ini tampak menjadi dengan pertahanan sisi Kelantan acap kali gagal untuk mengeluarkan bola dan mengekang Velez dari membawa bola masuk ke dalam kawasan bahaya.

Malah gol Flavio juga berpunca dari bahagian flank apabila pemain Negeri Sembilan melakukan change sides dari kiri ke kanan sebelum Fakrul Aiman melakukan satu cut back mencari Flavio yang tenang mengawal bola sebelum menolak bola masuk menewaskan penjaga gol muda Kelantan. Di separuh masa kedua, Negeri Sembilan masih menggunakan strategi yang sama dengan mencari pemain di bahagian flank dan kali ini tampak sukar kerana Kelantan telah perkemaskan barisan pertahanan mereka. Thanabalan yang menggantikan Fakrul Aiman di separuh masa pertama akibat hamstring, gagal memberi sumbangan yang diharapkan. Dengan strategi yang digunakan ini, sumbangan Kim di bahagian tengah tampak limited kerana Negeri Sembilan seolah-olah tidak berminat untuk bermain di situ.

Pado den, punca kekalahan semalam adalah kegagalan pasukan untuk mengekalkan momentum permainan selama 90 minit. Ya, sama seperti di awal musim. Selepas kira-kira setengah jam midfield Negeri Sembilan bermain dengan cemerlang, mereka mula kelihatan penat selepas itu. Kim dan Flavio jelas bergelut untuk stay with the pace of the gameSebaik separuh masa kedua bermula, Negeri Sembilan langsung gagal menggerakkan permainan mereka seperti pada separuh masa pertama. Mereka bertahan secara total. Tapi pujian harus diberikan kepada Faizal Abu Bakar yang dengan cemerlang beraksi sebagai defensive midfield semalam. Mudah untuk kita menuding jari tentang siapa yang bertanggungjawab ketika Kelantan menjaringkan gol penyamaan semalam, tapi kita simpanlah untuk hari lain perbincangan tu.

Seharusnya, menentang sebuah pasukan elit seperti Kelantan dan mempunyai kualiti serangan seperti Ghaddar, sebarang peluang yang hadir tidak boleh disia-siakan. Sepanjang ingatan den, Velez sekurang-kurangnya melepaskan tiga peluang terbaik untuk menambah jaringan gol. Di separuh masa pertama, Velez berjaya melepasi perangkap offside dan menerima umpanan Kim namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan dengan menggunakan kaki. Di separuh masa kedua, Velez sekali lagi berjaya meninggalkan pertahanan Kelantan, namun memilih untuk mencari ruang yang lebih selesa dan akhirnya hanya melakukan hantaran ke belakang kerana ruang untuk shoot telah ditutup. Dan walaupun satu ketika Velez hanya perlu tap bola masuk ke dalam gol setelah bola muntah dari tepisan penjaga gol, bola tersebut melepasi palang pintu gol.

Pemain yang paling kecewa di dalam padang semestinya penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharudin Abd Rahman. Sudah pasti ditewaskan di saat akhir setelah bertindak cemerlang sepanjang perlawanan merupakan satu kenangan yang mahu dilupakan. Dengan Rhodes seperti kebiasaan memberi aksi yang cemerlang di dalam padang, Kahar ternyata memberi tonik tambahan kepada semua penyokong dan pemain untuk tidak perlu terlalu risau dengan gawang gol walaupun terpaksa menghadapi Ghaddar. Kahar berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kelantan sehingga berjaya memaksa Ghaddar untuk bertindak seorang diri dalam usaha mencari gol, itupun dinafikan Kahar. Malah pada satu ketika, Kahar berjaya menafikan peluang one by one walaupun penyokong Kelantan sudah bangun untuk meraikan gol.

-Yat-
Cinta itu buta dan boleh membutakan,
Sampai mati Negeri Sembilan

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.