Negeri Sembilan 2-0 Kuala Lumpur (Matchday 2 Liga Super 2018)
5 min readLain macam atmosfera STAR Paroi malam tadi. Baru lah Liga Super! Jumlah penyokong yang hadir memberi semangat kepada pemain boleh dibanggakan. Penambahbaikan score board dan tunnel sebelum pemain keluar memang boleh dipuji. Lepas ni kalau gol ada replay atau video mesti lagi gempak!
Cukup setakat itu, kita ke perkara yang lebih penting. Nismilan mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2018 malam tadi! 2 jaringan Nicolas Velez pada separuh masa pertama sudah cukup untuk kalahkan juara Liga Perdana musim lalu. Secara keseluruhannya, Nismilan bermain dengan sangat baik dan berdisiplin. Walaupun separuh masa kedua dikuasai dak-dak KL dan penyokong berasa sedikit resah dan gelisah, namun semuanya masih dapat dikawal oleh pertahanan Nismilan. Baik, kita ke point pertama perlawanan malam tadi.
Midfield Nismilan berjaya menggerakkan permainan. Berbanding persembahan ketika menentang PKNP FC Sabtu lalu, persembahan malam tadi jauh lebih baik. Pada den, Faizal Sepet berjaya membuktikan dirinya layak berada dalam kesebelasan utama. Bertindak sebagai defensive midfielder, sungguh tenang dan yakin beliau memberikan perlindungan kepada back four kita. Syabas Pet! Kim dan Flavio pula bertindak sebagai box to box midfielder dengan cemerlang. Den memang gomar box to box midfielder ni. Mereka tidaklah hanya tertumpu untuk menyerang atau bertahan sahaja. Pemain-pemain ini lah yang akan memberi extra man kepada pasukan ketika menyerang mahupun bertahan. Dan mereka inilah juga yang membantu pasukan mencipta peluang menjaringkan gol. Salute!
Hantaran-hantaran pendek yang diamalkan juga nampak lebih menarik berbanding bermain secara long ball atau mengharapkan satu atau dua pemain untuk menggelecek pertahanan lawan. Apabila bermain hantaran pendek seperti malam tadi, pihak lawan terpaksa menggunakan tenaga yang lebih untuk mengejar bola, manakala pemain kita boleh mengurangkan penggunaan tenaga. Yelah, pass je kot. Bukannya kena dribble 2,3 orang pemain lawan sebelum nak pass. Kan bijak main macam tu. Baru lah professional!
Kalau tak silap, gol pertama Nismilan hasil daripada hantaran Kim. Den pun tak pasti macam mano dio agak through ball tu dongan kelajuan Velez, dengan kedudukan Manuel Neuer yang keluar dari kotak penalti tu. Tapi memang tepat hantaran dia. Hmm, banyak duit KL bayar gaji Manuel Neuer. Kerana gol pertama ni jugak lah Velez alami sedikit kecederaan pada peha atau pinggul dia. Kalau den la jadi dia, den robah kan badan dalam kotak penalti masa Neuer tu tarik dia. Penalti dapat, kad merah pun dapat. Habis cerita! Tapi Velez mengekalkan semangat kesukanannya dan kita harus beri pujian kepada dia!
Gol kedua pulak, through ball manis daripada Flavio kepada Khairul Izuan di sayap kiri. Caya poit! Hantaran Izuan ke tengah pula berjaya disudahkan Velez untuk gol keduanya. Walaupun ada sedikit unsur nasib ketika Izuan membuat hantaran sebab hantaran dia lemah, namun gol tetap gol. Siapa suruh defender KL tak intercept bola tu? Kan dah gol.
Kelajuan attacking trio Nismilan. Udom, Khairul Izuan, Velez. Dengan kelajuan yang mereka ada, pasti menjadi mimpi ngeri untuk pertahanan lawan. Lebih-lebih lagi pertahanan yang kurang laju. Nampak tak macam mana lajunya ketiga-tiga pemain ini membuat larian untuk terima hantaran? Khairul Hafiz Jantan pun boleh gementar tau! Sengaja den petik nama Khairul Hafiz Jantan ni. Dia kan orang Melaka United. Den yakin trio ini akan lebih berbisa seiring dengan saingan liga. Cuma syaratnya, midfield kena supply bola kepada mereka. Setakat perlawanan tadi, untuk ketiga-tiga pemain ini menewaskan pertahanan lawan secara 1 vs 1, memang tiada masalah. Namun, kalau midfield gagal menghantar bola kepada mereka, mungkin serangan Nismilan sedikit lumpuh.
Cuma den harap pemain seperti Ferris Danial, Khairul Anuar, dan Nizam Ruslan akan lebih bersemangat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Persaingan sihat macam ni perlu ada untuk mengekalkan pasukan berada pada tahap optimum. Sentiasa lah mencabar keupayaan rakan sepasukan!
Persembahan separuh masa kedua. Di STAR malam tadi, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dan bosan terhadap persembahan Nismilan di separuh masa kedua. Ada yang mengatakan Nismilan gagal menyerang kerana Velez dikeluarkan akibat kecederaan. Ada juga yang berkata rugi bayar gaji mahal tapi baru dua game dah injured. Tenang semua!
Tahukah anda mengapa Nismilan tidak begitu menyerang pada separuh masa kedua? Ianya kerana KL gagal membuka kunci pertahanan Nismilan. Banyak ke percubaan berbahaya daripada dak-dak KL pada separuh masa kedua? Sudah tentu tidak! Betul mereka menguasai perlawanan, tapi hanya sekadar ke middle third sahaja. Untuk memasuki kotak penalti Nismilan memang payah. Kebanyakan crossing mereka juga berjaya dihalang full back kita.
Nismilan berjaya compact kan bahagian tengah padang mereka dengan zonal marking yang diamalkan. Sekaligus memaksa KL bekerja keras untuk menghasilkan peluang jaringan. Nismilan tidak banyak menyerang kerana tidak ingin mengambil risiko dicounter attack! Bukanlah kerana ketiadaan Velez serangan Nismilan terus tumpul. Jika pertahanan sudah cukup kebal, tidak salah bertahan. Tengok Leicester bertahan macam mana masa menang EPL. Tengok Vietnam bertahan macam mana ketika muncul naib juara Kejohanan AFC Bawah 23 baru-baru ini. Tak semestinya nak menang kena jaringkan 5-6 gol satu perlawanan. Betul tak?
Oleh kerana Nismilan memiliki kelebihan 2 gol, maka diterapkan corak permainan bertahan. Namun, andai kata KL berjaya mendapatkan 1 gol, pasti Nismilan akan bermain secara agresif semula. Takkan nak biar je KL control tempo perlawanan kan? Seperkara lagi, tujuan Nismilan bermain secara bertahan adalah untuk memperlahankan rentak permainan. Secara tidak langsung, ini boleh membunuh momentum KL. Bila tak ada momentum, susah la nak dapat rentak. Bila tak dapat rentak, susah la nak jaringkan gol. Tapi bila Nismilan bermain secara bertahan bukan momentum pihak lawan je yang hilang, dengan momentum penyokong sekali lesap! Maka, penyokong harus bijak untuk menaikkan semangat para pemain apabila situasi sebegini berlaku. Setiap tackle, setiap interception, setiap clearance boleh lah disambut dengan sorakan atau tepukan. Baru lah hidup suasana perlawanan!
Saiful Amar Sudar. Ramai juga yang mengkritik persembahan dia tadi. Tapi pada den, dia ok je. Clean sheet kot. Apa lagi nak mintak? Tendangan dia je la sedikit ke laut, tapi ini bukanlah perkara baru. As the season goes on, nanti ok la tu. Macam tahun lepas jugak. Cuma melengahkan permainan dengan mendapatkan rawatan itu mungkin keterlaluan pada den. Memang tujuannya untuk menghentikan momentum pihak lawan, tapi bak kata member den, ada cara yang lebih bijak untuk melengahkan perlawanan selain mendapatkan rawatan untuk kecederaan. Tapi tak apa. Menang dan clean sheet adalah satu keputusan yang amat positif!
KESIMPULAN :
Keseluruhannya, den amat puas hati. Separuh masa pertama, kita boleh tengok keupayaan Nismilan menyerang dan menjaringkan gol. Separuh masa kedua pula, Nismilan menunjukkan yang mereka mampu bertahan selama 45 minit. Tahniah barisan pertahanan Nismilan! Rode dan Rizal Fahmi memang caya tadi!
2 gol daripada Velez. Den harap musim ni, pemain tempatan turut mampu menyumbangkan gol dengan banyak. Berdasarkan sistem yang dipamerkan tadi, gol mampu dihasilkan daripada mana-mana attacking trio kita. Tidak tertumpu kepada Velez sahaja. Jika Khairul Izuan, Fakhrul Aiman dan sesiapa sahaja yang bermain di posisi itu mampu menyumbangkan gol, ianya bonnus kepada pasukan!
Nismilan harus kekalkan momentum kemenangan ini. Bakal bertemu Melaka United pada Ahad, keputusan positif mampu dicapai sekiranya corak permainan malam tadi boleh dipamerkan sekali lagi. Tiada yang mustahil!
Sekian,
MUSUHNYA HABIS BINASA!
Kid.
P/S : Jaga-jaga Melaka United!
Foto : Hafis Abd Aziz