/Negeri Sembilan bakal naik liga Super jika menang malam ini.

Negeri Sembilan bakal naik liga Super jika menang malam ini.

Jang bajet ke Sabah malam ini dan meraikan kejayaan Negeri Sembilan sebagai juara liga Perdana paling angkuh dalam sejarah. Tapi, yelah, draf dan buat ucapan bajet ni memang nampak mudah- semudah kita bercakap. Nak merialisasikan itu tidak sedikit rintangannya, baik tentangan secara nyata dari musuh luar dan secara licik dari dalam. Hampir setiap awal musim, presiden akan berucap dalam majlis pengenalan pemain menyasarkan naik ke liga Super dan genaplah sepenggal kita bermain di liga Perdana ini dengan terhormatnya. Maknanya apa?

Perlawanan malam ini adalah perlawanan terakhir kita untuk musim ini. Menentang pasukan Sabah di lopak mereka tidak lagi memberi apa-apa erti kepada hampir seluruh penyokong bola sepak anak Negeri Sembilan. Mereka sudah tidak mahu tahu lagi kerana bagi mereka, secara realistiknya, apa pun keputusan malam ini, kita akan terus kekal di liga perdana. Benarlah kata pepatah yang Jang dah ingatkan diawal musim dulu,’Yang dikejar tak dapat, yang dikendong buah kedondong’. hmmm. betul ke tu?

Hukum akal dan matematiknya, 3 mata malam ini atau air mata sekalipun tidak akan menjadikan Negeri Sembilan kembali ke puncak liga tetapi hukum hati dan sejarahnya, kemungkinan itu tidak mustahil – bukan untuk jadi juara tapi dinaikkan ke liga Super melalui tangga belakang. Desas desus masih bertebaran di angkasa kerana belum ada kepastian yang jelas dari pihak berwajib. Isu perlesenan beberapa pasukan, baik diliga Perdana atau Super yang masih tergantung, isu menambah jumlah pasukan diliga Super dan sebagainya dilihat masih cuba mencipta ruang dan peluang untuk pasukan Negeri Sembilan bermain diliga Super.

Iyo! tau den ni, jangan mengharap bona bla bla bla. Tapi, kau baco dulu apo den nak kobaan ni sampai habis, jangan nak ikut koreh kau yo.

Musim 2005/06, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara liga Super Malaysia ketika itu dan hanya ada LAPAN (8) pasukan sahaja berada dalam liga. Pahang dan Selangor pula berada ditempat ke 7 dan 8 (corot). Sepatutnya Pahang dan Selangor dicampakkan ke lembah hina liga perdana tetapi FAM tiba-tiba merombak format liga Super dari 8 pasukan menjadi 14 pasukan. Pahang dan Selangor terselamat secara automatik dan kekal diliga Super tanpa play-off. Maso tu Mark Zuckerberg pun baru nak LIKE Facebook dia sendiri, maka kau semua tak dapat nak meroyan sangat macam sekarang.

Musim 2006/07 pula liga Super bermain dengan 13 pasukan kerana MPPJ menarik diri atas faktor kewangan. Disini Jang suka nak cakap, jika ada pasukan tidak berduit, berhutang gaji, tidak berlesen dan kewangan tidak beraudit, eloklah menarik diri atau FAM jangan benarkan mereka bermain diliga Super atau Perdana lagi. Takda peliknya letak 13 atau 11 pasukan dalam liga sebab FAM dah buat pada musim 2006 ini.

Situasi musim 2009 juga hampir sama dengan keadaan sekarang, jika kita rajin sedikit mahu mengkaji. Walaupun bermain dengan 14 pasukan dan Pahang kedua tercorot dan sepatutnya dihumban ke liga Perdana, tetapi FAM sekali lagi bijak mencipta format (macam Einstein lak bijak eh) dengan tidak menaikkan Harimau Muda sebagai juara liga Perdana ke Liga Super, sebaliknya Harimau Muda dibubarkan menjadi Harimau Sarkis. Pasukan tempat kedua dan KETIGA liga Perdana dinaikkan ke liga Super dan Pahang masih kekal di liga Super kerana ada 2 pasukan lain menarik diri (MYTeam dan Kuala Muda NAZA atas sebab teknikal) Nanti dulu! pasukan ke EMPAT liga Perdana juga (Kuala Lumpur) turut dinaikkan ke Liga Super untuk musim 2010. Apa macam?

Musim 2012, pula FAM sekali lagi merubah format dengan mengurangkan jumlah pasukan yang bermain diliga Super dari 14 pasukan menjadi 12. Maknanya apa? Makno eh, perubahan format oleh FAM ini bukan sekali dua mereka lakukan. Dah banyak kali dan ada direkodkan oleh Wiki. Ianya bukan benda pelik pun. Dalam dunia ini hanya ada satu benda saja yang tak akan berubah iaitu Al-Quran. Ingat tu!

Tapi Jang bukanlah nak cakap Jang berio berharap FAM ubah format lagi tahun ini dan Negeri Sembilan dapat dinaikkan ke liga Super. Jang cuma nak cakap, Negeri Sembilan wajib menang malam ini demi muka kita semua, anak Negeri Sembilan. Naik atau tidak ke liga Super itu belakang cerita.

#BolasepakKitaWajahKita

Kongsi artikel ini: