/Negeri Sembilan kembali temui sentuhan kemenangan.

Negeri Sembilan kembali temui sentuhan kemenangan.

176 orang penyokong bertuah dan berhati waja turun ke stadium Paroi malam tadi untuk menyaksikan kemenangan pertama Negeri Sembilan selepas sekian lama melekat badi kekalahan. Jang sampai ke Stadium Paroi pada minit ke 7 perlawanan berlangsung dan Sarawak telah pun mendahului dengan 1 gol kosong. Makno eh, bolum sompek Jang melabuhkan punggung ke teres konkrit stadium, kito dah kono. Maknanya apa?

Tapi malam tadi, pasukan Negeri Sembilan yang membariskan hanya seorang pemain import, Flavio Beck Jr. bermain baik. Ini sangat memeranjatkan Jang dan corak permainan ini diakui juga oleh beberapa ‘pundit’ yang duduk bersama. Negeri Sembilan membariskan formasi 3-5-2 dan meletakkan Erix sebagai kapten bergandingan dengan Aroon Kumar di kiri dan Osman di kanan. Tengah pula gandingan Flavio, Fauzan D, Faizal Sepet dan Khairul Bentong sementara jentera serangan adalah pair Feris dan Fauzi Latiff sementara gawang gol dijaga oleh Amar Sudar.

Selepas ketinggalan 1 gol, pemain Negeri Sembilan tidak panik. Mereka bermain tenang (ya, bermain tenang adalah satu perkara yang sudah lama mereka tidak lakukan) Mereka tidak lagi terkejar-kejar pemain lawan atau membuang bola dengan membuat hantaran teruk. Sebaliknya mereka bermain positif dengan melakukan serangan demi serangan. Flow permainan mereka tidak mengecewakan seperti selalu. Jang hairan juga, sebab mereka gel dengan baik seperti telah berdamai diantara satu sama lain.

Bila last kau lihat game Negeri Sembilan dan kau bersorak “ahhhhh..ooohhhhhhh” tepuk tangan dan membuat tumbukan padu keudara bila gol dijaringkan? Bila? Tahun lepas kan? Malam tadi, 176 penyokong yang hadir bersorak dan tak senang duduk melihat aksi-aksi percubaan dari pasukan Negeri Sembilan. Gol penyamaan Negeri Sembilan hadir selepas Kapten Erix menampan mudah satu cross (kalau tak silap dari Khairul Bentong). Fauzi Latiff sepatutnya menambah gol Negeri Sembilan namun sepakannya tersasar ketika gawang telah pun terbuka. Begitu juga Khairul Bentong dan tandukan Faizal Sepet hasil lontaran kedalam Khairul Bentong hanya beberapa inci melepasi palang gol. Permainan separuh masa pertama tamat dengan jumlah jaringan kekal 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan kedua pasukan saling menggasak kubu lawan namun Negeri Sembilan berjaya menambah jaringan hasil tendangan percuma Flavio yang gagal dibaca oleh penjaga gawang Sarawak. Selepas itu permainan menjadi sangat fizikal dan berlaku adegan siku menyiku dan terjahan keras. Beberapa kali pengadil terpaksa memberhentikan perlawanan kerana berlaku pergeseran (sikit lagi nak gaduh) diantara Kapten Erix dan pemain Sarawak. Sarawak berjaya menambah jaringan namun dibatalkan pengadil kerana jelas, Saiful Amar Sudar disiku mukanya ketika perebutan diudara.

Sarawak terpaksa bermain 10 orang selepas pemain import mereka yang besar macam Zlatan menghumban pemain gantian, Danish Haziq lalu dilayangkan kad merah. Tak sampai 5 minit, Danish Haziq pula melakukan terjahan keras kepada pemain Sarawak (tak pasti dia dapat kad atau tidak tapi sepatutnya merah tu) keras weiii! Tapi itulah semangat anak jantan yang Jang mahu. Pemain mesti vokal dan adat tuan rumah mesti main ikut rules kita. Jangan sesekali benarkan pasukan pelawat naik lemak di padang Paroi. JANGAN!

Sarawak menggandakan asakan dan ini mencemaskan 176 penyokong yang cukup trauma dengan gol last minit pasukan pelawat. Kau faham-faham la, tekanan perasaan dan mental seri last minit ini macamana. Namun, iya! malam ini cukup lain, disaat semua cemas menanti gol penyamaan Sarawak, Flavio berjaya menambah jaringan pada minit terakhir perlawanan menjadikan kedudukan selesa 3-1 sehingga tamat masa permainan.

Tahniah pasukan dan pemain Negeri Sembilan. Jang dah koba, Angel tu tak berguno, jangan dibagi main lagi. Barisan yang bermain malam ini nampak kesungguhan sedikit dan nampak la ada berlatih. Kita perlu menang dan mendapat 3 mata untuk kekal relevan sebagai sebuah pasukan. Bagi Jang, jika diambil kira dari sudut kemenangan, shot on target, tidak membuang bola, possesion dan siku-menyiku, kredit/pujian harus diberikan kepada kesemua pemain dan barisan jurulatih.

Kekalkan momentum kemenangan! Tahniah!

Hobin Jang Hobin!