April 25, 2024

Negeri Sembilan lemas ketika mendarat di Rantau Abang

2 min read

Takziah dan Alfatihah dari Ultrajang untuk keluarga penjaga gawang Terengganu FC, Mohd Suffian Bin Abdul Rahman yang kembali ke Rahmatullah beberapa jam sebelum perlawanan diantara pasukan Terengganu FC dan Negeri Sembilan FA dimulakan. Semoga roh arwah ditempatkan dikalangan orang yang soleh dan keluarga pula diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Amin.

Negeri Sembilan bertandang ke Kuala Terengganu untuk mencari kemenangan pertama namun segala usaha menemui jalan buntu. Tak perlu Jang nak meroyan panjang bagaikan penyu kehilangan telur kerana penyu menangis siapa yang tahu? Kita semua telah melihat aksi perlawanan ini yang disiarkan secara langsung di TV1.

Cuma Jang nak ulang semula kata-kata pengulas pada malam itu yang kerap mengatakan peranan Igor Luiz yang tidak banyak membantu pasukan. Igor Luiz tidak berada dalam kotak penalti ketika bola telah dibawa dari sudut kanan padang. Pemain tidak dapat melakukan hantaran atau jika melakukan hantaran pun, tiada pemain Negeri Sembilan menunggu dalam kotak penalti. Seorang lagi pengulas yang juga bekas penjaga gawang Negeri Sembilan, Syed Adney juga beberapa kali secara tegas mengatakan Igor Luiz tidak menjalankan tugas sebagai pemain penyerang dengan baik. Nama Neto pula disebut-sebut sebagai satu-satunya pemain Negeri Sembilan yang cukup rajin dan menunjukkan usaha bersungguh.

Untuk rekod, ulasan tersebut selari dengan komentar Jang terhadap Igor Luiz selama ini. 

Mungkin ini taktikal Haji Zaki tetapi bagi Jang apabila kita telah ambil seorang pemain penyerang import, tugas utamanya ialah mencari dan mendapatkan gol. Pemain import itu juga mestilah berusaha lebih keras dari pemain lokal. Contohnya Almir Neto dan Shunsuke Nakatake. Tapi kalau Ferris atau Danish lebih solid dari Igor Luiz, kira membazirlah ambil pemain import. Taktik menjatuhkan diri apabila tersentuh sedikit ini dah dibuat oleh import kita dari Filiphina dulu. TAK MENDATANGKAN HASIL apabila pengadil meneruskan permainan. Jika dapat freekick pun tidak beri apa-apa erti. Berhenti jadi pelancong bola sepak dan membiarkan pasukan bermain 10 orang. Igor Luiz bukan superstar!

Pemain import Terengganu FC, selain Lee Tuck, menunjukkan prestasi menyakinkan apabila menerima bola. Kipre mencipta hattrick kerana Matherus Vila gagal marking dengan baik. Jang kasihan melihat Osman dan penjaga gawang kita malam itu yang bermain bermatian. Tapi Kipre tunjukkan bagaimana mahu jadi pemain import, rajin, kuat dan berada pada kedudukan betul.

Negeri Sembilan ada mendapat 2 peluang terbaik untuk menghasilkan gol, tetapi itulah, sekali lagi- selari dengan komentar Jang sebelum ini- pemain lokal gagal mencipta gol apabila peluang telah terhidang. Tak perlu Jang nak ulas apa-apa lagi. Pemain sendiri telah buktikan mereka mampu berlari tetapi tidak mampu menjaringkan gol. Pengulas juga berkata “pemain Terengganu bermain dengan tenang membuat hantaran”. Maknanya apa?

Jang harap pemain import mesti diminta untuk meningkatkan prestasi atau diletakkan dibangku simpanan. Apabila pengulas TV pun nampak jelas kelemahan mereka, sesuatu mestilah dilakukan. Takkan kita boleh biarkan prestasi pemain import dan lokal masih ditakuk lama? Walaupun kita tidak meletakkan sebarang target dalam saingan Piala Malaysia, tetapi Haji Zaki kena buktikan yang beliau masih relevan dan merehatkan Mat Zan bukan satu kesilapan.

Jang,
Tak pernah silap.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.