April 19, 2024

Negeri Sembilan vs. Kuala Lumpur : Satu kebangkitan!

2 min read

Tak manis kalau Jang tidak bercerita hal perlawanan esok diantara pasukan Negeri Sembilan menentang Kuala Lumpur, pasukan yang baru bangun dari tidur yang lena. Orang kata, kalau baru bangun tidur ni, mood mereka tak menentu.

Kuala Lumpur dengan 2 kemenangan selesa setakat ini menduduki tempat kedua dalam carta liga Perdana sementara Negeri Sembilan tenang di tangga ke 5 dengan 1 kemenangan dan 1 seri. (Negeri Sembilan sebenarnya berkongsi mata dengan pasukan Kuantan FA , Sime Darby FC dan Melaka United yang juga menang 1 dan seri 1) Kedua-dua pasukan juga layak ke pusingan ketiga Piala FA selepas Kuala Lumpur menundukkan Melaka dan Negeri Sembilan membenam Sg. Ara kedalam muara Sungai Ara. Jika kita lihat sekali imbas, kekuatan semua pasukan di top 5 liga perdana adalah seimbang dan semua pasukan masih berpeluang memintas sesama sendiri.

Kuala Lumpur berbangga dengan kekebalan gawang mereka yang masih belum bolos berbanding Negeri Sembilan (2) tetapi jumlah jaringan Negeri Sembilan lebih baik (4) berbanding Kuala Lumpur (2). Berdasarkan itu, Jang menjangkakan satu pertarungan sengit akan berlaku malam esok di Paroi. Siapa tak datang, rugi! Siapa harap siaran langsung dia kodi!

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kekuatan pasukan sekarang tetapi jika momentum dan prestasi kesemua pasukan ini dikekalkan, perebutan untuk slot liga super pasti meriah. Jang sudah melihat kekuatan Kuantan FA dan telah menulis tentangnya dalam artikel lepas. Mereka sebuah pasukan yang kuat disetiap posisi dengan kelebihan pemain import yang mampu membuat lontaran ke dalam yang berbahaya. Buktinya, Pulau Pinang yang bertandang ke Kuantan dengan kekuatan freekick dibenam 4 gol dalam saingan piala FA. Kita lihat nasib UITM Fc selepas ini yang akan melayan kunjungan Kuantan FA sebagai penanda aras.

Agak menarik sebenarnya melihat kebangkitan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ini. Kuala Lumpur yang telah lama berada didalam kegelapan (tidur mestilah dalam gelap kan) dengan berbagai isu seperti ‘kemiskinan persatuan’, bookie, ketiadaan stadium dan paling ‘win’ diselamatkan dari dibuang ke liga FAM selepas LionsXII tidak lagi menyertai liga Super, dilihat cuba untuk melupakan kisah silam dan kembali bersaing secara sehat dengan pasukan lain dalam liga perdana. Masihkah ada sinar untuk Kuala Lumpur?

Sementara itu, Negeri Sembilan yang juga merudum dalam dua musim sebelumnya cuba bangkit dengan barisan pemain baru, muda dan jambu. Harapan orang Nogori pada pasukan ini sangat-sangat tinggi dan ini sebenarnya sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain untuk beraksi. Apapun, Jang yakin, Negeri Sembilan akan mendapat 3 mata berharga malam esok dengan kemenangan bergaya 4-1.

Jang mohon semua penyokong Nogori turun beramai-ramai ke stadium Paroi malam esok dan saksikan sendiri keindahan dan kehangatan liga bolasepak tempatan. Kalau bukan kita yang turun menyokong siapa lagi? Kuala Lumpur takpalah, kekadang ‘home’ mereka di Selayang ada juga Myanmar dari Pasar Borong datang menyokong. Kito nak harap sapo?

#HobinJangHobin #MusuhnyaHabisBinasa #BolasepakKitaWajahKito

hmmm..penat juga menulis gaya Sherkawi Jirim mengulas ni. Skema je.

0Shares

6 thoughts on “Negeri Sembilan vs. Kuala Lumpur : Satu kebangkitan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.