/Pahang adalah Juventus dan Juventus adalah Pahang Itali.

Pahang adalah Juventus dan Juventus adalah Pahang Itali.

Pahang adalah contoh klasik untuk semua bentuk cerita bola sepak Malaysia. Dari cerita tak sedap, berat sebelah, kebangkitan, gaya permainan, kehebatan pemain, curi pemain, tak bayar gaji, baling batu, pengubahsuaian liga, surat hilang, DNA yang misteri sehinggalah kepada cerita jurulatih, Harimau Malaya dan Sultan bola. – semua ada pada pasukan Pahang.

Ramai tak tahu, kehebatan Pahang ini menjadi inspirasi kepada banyak kelab luar, antaranya adalah Juventus yang bermain di liga tali. Baca laporan Masao Sato dari MReds untuk mengetahuinya.

Pahang adalah Juventus dan Juventus adalah Pahang Itali.- Masao Sato.

Penghuni planet bumi baru-baru ini digemparkan dengan kebangkitan kelab bola sepak yang paling digeruni di dunia yang berpangkalan di bahagian timur tanah air iaitu Pahang FC. Skuad Tok Gajah bangkit daripada kematian untuk memusnahkan pasukan Perak di Ipoh dan pasukan Kelantan di Kuantan dengan cara paling zalim apabila meledak gol kemenangan di saat-saat perlawanan berada di ambang sakaratul maut, The Bos Gaurus dan The Red Warriors melutut penuh hina di hadapan Tok Gajah dengan margin 4-3.

Tok Gajah pada awal musim menjadi mangsa tempat melampiaskan nafsu serakah apabila diaibkan dan dicabul kehormatan secara bergilir-gilir oleh pasukan-pasukan Liga Super pada permulaan kempen liga, tidak cukup dengan itu pengurusan Pahang FC bergoncang dengan pelbagai isu kritikal seperti logo yang dicedok dari Google, jersi kosong tanpa penaja yang mirip baju rumah sukan sekolah rendah, Kogi dan Dinesh juga dikatakan masih hak milik mutlak Frenz United dan lebih perit ada khabar angin mengatakan penyokong no1 Pahang FC, Pipiyapong juga telah mengumumkan untuk berlaku curang dengan menyokong pasukan KL kerana kecewa dengan isu-isu kritikal tersebut.

Kini seluruh dunia termasuk kerajaan musyrikin Amerika dan Russia juga turut bergoncang setelah Pahang FC bangkit daripada kematian untuk memeriahkan Liga Super Malaysia. Ini adalah satu hakikat yang perlu ditelan, Pahang FC adalah jelmaan kelab gergasi Serie A Juventus di bumi barakah tanah Melayu. Mungkin ada yang geli hati dan mengatakan perbandingan ini adalah hiperbola dan tidak masuk akal, namun sebelum anda membuat tuduhan tersebut mari sama-sama kita melihat corak persamaan yang wujud antara 2 kelab tersebut.

Baju belang-belang hitam putih away Pahang FC saling tak tumpah dengan pasukan Old Lady tersebut, Dalibor Volas dan Koji yang mengepalai bahagian serangan Pahang FC mempunyai karakter permainan mirip gandingan duo pemusnah Mario Mandzukic dan Alvaro Morata, gandingan serangan berfizikal besar dan kecil, German Pacheco pemain berbangsa Argentina pula tenang mengemudi bahagian tengah Pahang FC dengan hantaran bola lambung yang mempunyai ketepatan luar biasa umpama Claudio Marchisio, apabila melihat aksi penjaga gawang Pahang FC iaitu Nasril Nourdin mungkin ramai akan terkeliru dan menyangka gawang gol pasukan Tok Gajah itu dikawal penjaga gol lagenda Itali, Gigi Buffon.

Selain itu, Juventus juga melalui episod seram di awal musim seperti Pahang FC apabila terperosok di buntut liga kemudian mereka melalui kebangkitan luar biasa dengan mencatat 15 kemenangan berturut-turut dan kini Old Lady selesa di puncak liga. Pahang juga kini secara perlahan-perlahan keluar dari buntut dan kini sudah berada di zon selamat untuk melayakkan diri ke kejohanan paling berprestij dan paling tua di Asia iaitu Piala Malaysia.

Sebenarnya kelahiran semula Pahang FC berpunca daripada sentuhan ajaib daripada Razip Ismail yang dilantik selepas pemecatan Ahmad Shaharuddin. Mungkin ramai tidak tahu coach Razip telah merangkul piala berprestij Bangabandhu Cup bersama Harimau Muda dengan menundukkan Bangladesh dengan jaringan 3-2 di pentas final. Ini adalah bukti yang tak dapat disangkal tentang kredibliti serta kebijaksanaan coach Razip, manajer seperti Pep Guardiola dan Sir Alex Ferguson juga tidak pernah merekodkan kejuaraan piala Bangla seperti beliau.

Dari segi taktikal beliau gemar menggunakan formasi klasik 4-4-2 dengan Dalibor Volas berfungsi sebagai target man dan German Pacheco bermain di belakang penyerang Slovenia tersebut untuk menjadi penghubung antara bahagian tengah dan serangan. Coach Razip juga merencana sisi taktikal di luar batasan akal, membiarkan pasukan lawan menjaringkan 3 gol supaya mereka rasa selesa dan hilang konsentrasi. Apabila pasukan lawan sudah mula berasa selesa, Pahang akan melakukan serangan balas pantas di saat perlawanan berada di ambang sakaratul maut dengan meledak gol pemusnah.

Kesimpulannya, sesiapa yang membaca artikel ini sampai habis anda memang bijak dan kacak. Pahang FC adalah pasukan super underdog untuk musim ini dan secara realistik pasukan gergasi Pantai Timur ini memerlukan masa kerana skuad yang dibarisi ramai pemain muda ini adalah projek jangka masa panjang. Namun, kuasa Tuhan siapa yang tahu ? Bab kata pengulas tersohor tanah air allahyarham Hasbullah Awang, “bola itu bulat, tiada yang mustahil”.

Oleh – Masao Sato