/Pahang, jangan hina Ronaldinho!

Pahang, jangan hina Ronaldinho!

Hantar artikel anda ke ultrajangmag@gmail.com dan artikel terpilih akan disiarkan. Syaratnya mudah saja, ejaan mestilah menggambarkan yang anda pernah pergi sekolah.

Artikel keTUJUH tulisan Najibrohim dari Kuala Lumpur. Enjoy!

5 sebab mengapa Ronaldhinho tidak akan bermain di liga Malaysia

Nama sebenar Ronaldinho sebagaimana dalam surat beranaknya ialah Ronaldo de Assis Moreira, manakala nama panggilan penulis kepada beliau ialah Ro sahaja ketika melepak bersamanya pukul 3 pagi di kedai mamak Seksyen 7 Shah Alam usai perlawanan pemanas badan pasukan Brazil vs Malaysia pada 2002. Setahu penulis itulah kali pertama pertama dan kali terakhir beliau menjejakkan kaki ke bumi Malaysia setakat ini.

Perlawanan tersebut diadakan dalam perjalanan pasukan Brazil ke Jepun/Korea bagi misi menjulang Piala Dunia edisi 2002. Untuk rekod, Malaysia bolos 4 gol berbalas kosong dalam perlawanan itu dengan sepanjang perlawanan tiada seorang pun pemain Malaysia yang berjaya membawa bola melepasi garisan tengah padang sebelah pasukan Brazil – boleh dikatakan begitulah.

Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh Malaysia dari perlawanan itu kecuali 3 perkara:-

1. Brazil berjaya memenangi Piala Dunia 2002 kerana berkat bertemu pasukan Malaysia sebagai perlawanan akhir pemanas badan sebelum pentas sebenar Piala Dunia 2002.

2. Salah seorang bek Malaysia (tak ingat nama) dicanang-canang kehebatannya di media tempatan kerana berjaya menghalang bola dari sepakan kencang oleh Ronaldo (No. 9) masuk ke gawang Malaysia dengan menggunakan kepalanya. Pada masa yang material, bek tersebut berada betul-betul di atas garisan pintu gol Malaysia.

3. Keeper Malaysia ketika itu (tak ingat nama) dicanang-canang kehebatannya kerana berjaya menepis sepakan percuma yang diambil oleh Rivaldo. Katanya di dalam akhbar: “saya telah lama mengkaji sepakan percuma Rivaldo”.

Sejak 2002 penulis adalah pemerhati kepada perjalanan karier hamba allah bernama Ronaldinho ini. Tidak perlulah penulis mencoretkan keangungan beliau dalam bidang bola sepak kerana wikipedia sudah pun menulis panjang lebar mengenai beliau.

Baru-baru ini gegak gempita jadinya Malaysia apabila dikhabarkan Ronaldinho mungkin akan bermain bersama pasukan Pahang di liga Malaysia. Sebagai satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah lepak mamak dengan Ronaldinho setakat ini, penulis dengan locus standi yang ada ingin menyatakan 5 sebab mengapa Ronaldinho tidak akan bermain di liga Malaysia:

1. Prestasi semasa beliau masih lagi dalam radar pemerhatian Dunga selaku coach Brazil sekarang. Akan datang Dunga bila-bila masa mungkin akan memanggil beliau mewakili Brazil. Seperti Pirlo, walaupun telah dimamah usia, beliau masih tampil sebagai watak utama pasukan itali di atas padang hingga ke hari ini. Justeru, medan liga Malaysia bukanlah medan bola sepak sebenar untuk menguji dan menonjolkan prestasi sebenar Ronaldinho dalam arena bola sepak. Harus diingat, Ronaldinho merupakan antara 2-3 kerat dari skuad Piala Dunia 2002 yang masih aktif bermain bola sehingga hari ni. Rakan seangkatannya seperti Cafu, Ronaldo, Carlos dan Denilson sudah lama menggantung boot.

2. Sebagai seorang bekas bintang bola sepak yang pernah bermandikan glamor, Ronaldinho memerlukan audien yang besar lagi meriah setiap kali beliau beraksi di atas padang. Bukan sekadar bunyi vuvuzela yang memenuhi ruang stadium, Ronaldinho memerlukan segerombolan besar penonton yang menggila dan berpesta di dalam stadium untuk memberi daya tujahan kepadanya untuk berlari sambil menari di atas padang ketika membawa bola dan menghasilkan gol bertubi-tubi. Malangnya penonton di stadium liga Malaysia tidak seperti itu baik dari segi kuantiti mahupun kualiti.

3. Kualiti padang dan kemudahan di kebanyakan stadium di Malaysia tidak memenuhi standart dan citarasa Ronaldinho. Kasut bola Nike yang dicipta khas untuk kaki beliau mungkin akan rosak kalau bermain di padang yang sembarangan.

4. Pahang atau sebahagian besar kelab atau persatuan bolasepak liga Malaysia mungkin tidak mampu membayar gaji bulanan yang dimintanya, yang menyamai pendapatan seluruh penduduk Pahang dalam sebulan barangkali.

5. Dan akhir sekali, nasik lemak di Malaysia mungkin tertalu pedas untuk Ronaldinho.

Kesimpulannya, kalau Ronaldinho datang bermain di liga Malaysia pun beliau tidak akan lama di sini disebabkan 5 faktor di atas.