April 26, 2024

Perak 2-0 Negeri Sembilan (Matchday 15 Liga Super 2018)

4 min read

Setelah berjaya memberikan persaingan kepada Perak dalam perlawanan sebelum ini, Negeri Sembilan gagal mengulangi persembahan yang sama di Stadium Ipoh apabila tewas dua gol tanpa balas. Brendan Gan dan Leandro masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-54 dan 83 untuk menghadiahkan Perak tiga mata penuh dan memberi kegembiraan kepada penyokong-penyokong yang hadir. Keputusan ini juga memberi kelegaan kepada Perak untuk terus mencabar kedudukan atasan liga manakala Negeri Sembilan walaupun masih berada di atas Kelantan, semakin sukar untuk keluar dari zon penyingkiran.

 

Negeri Sembilan sebenarnya cukup bernasib baik untuk tewas dengan perbezaan 2 gol. Perak sepatutnya berpesta gol sampai ke pagi berdasarkan peluang yang diperoleh dalam perlawanan semalam. Jika ulasan Mehmet Durakovic pada post match interview di Paroi menyatakan Perak seharusnya menang dengan 4 atau 5 jaringan dipandang sinis,  di Stadium Ipoh semalam ia hampir menjadi kenyataan, malah berkemungkinan lebih daripada itu. Perak mendominasi perlawanan dari sepak mula hingga wisel penamat. Berbelas percubaan tepat dicipta. Jika bukan kerana Ilham, Aizul dan Osman, mungkin Negeri Sembilan trauma hendak bertandang ke Ipoh lagi selepas ini.

 

Ada ketika pemain Negeri Sembilan berjaya bermain bola sepak dengan melakukan hantaran demi hantaran, namun sukar untuk mencemaskan penjaga gawang Perak. Satu-satunya peluang keemasan yang dicipta adalah di separuh masa pertama melalui Aizulrizwan. Aizul menerima hantaran dari Fauzan Dzulkifli, namun percubaan volleynya melambung tinggi.  Itu je lah yang den ingat. Peluang lain takdo. Jangankan peluang, nak pogang bola 5 minit pun payah!

 

Di manakah silap pasukan Negeri Sembilan sehingga gagal mengulangi persembahan yang sama di Paroi? Ketiadaan Kim? Ataupun ketiadaan Alex Morais yang digantung perlawanan? Mengapa tiba-tiba Kim kelihatan begitu penting dalam skuad Negeri Sembilan? Bukankah sebelum ini kecergasan beliau sering dipersoalkan? Jawapan dia satu sahaja. Kehadiran Angel Guirado Perez. Angel ni berjaya memberi dimensi baru dalam serangan Negeri Sembilan. Bertindak sebagai target man, dia berjaya memberi lebih option, ruang dan masa untuk midfield Negeri Sembilan menggerakkan serangan. Secara tidak langsung, Flavio dan Kim akan bergilir-gilir merencana serangan. Kim akan membuat killer pass manakala Flavio akan membawa bola dan menggelecek untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan. Nampak? Dengan kehadiran seorang pemain sahaja semuanya berubah.

 

Fauzan Dzulkifli yang menggantikan Kim semalam, gagal memberikan sumbangan bermakna selain satu hantaran untuk Aizul yang dipersia-siakan. Aiman, Flavio dan Fauzan gagal untuk membuat build up play yang berkualiti malah lebih menyedihkan, Guirado yang seharusnya bermain sebagai top striker terpaksa membantu mereka untuk membuat gerakan. Trio serangan Negeri Sembilan ternyata langsung tidak menerima servis yang baik daripada midfield. Hanya Flavio yang berusaha untuk menggerakkan permainan. Namun Perak bertindak bijak dengan menggunakan man marking ke atas Flavio untuk meneutralkan ancaman Flavio.

 

Di barisan pertahanan, ini adalah kali kedua musim ini, dua centre back pemain tempatan berganding bahu di posisi itu. Osman Yusof dan Nasriq Baharom ternyata gagal mengekang asakan Perak. Separuh masa pertama, Ilham menggagalkan empat scoring opportunity akibat kelekaan barisan pertahanan yang gagal mengawal pemain lawan. Aizul pula menyelamatkan satu percubaan di atas garisan gol ketika Ilham sudah tertewas. Ketiadaan Alex Morais juga memaksa Angel Guraido untuk turun ke bawah setiap kali pasukan Perak mendapat set piece bagi membantu barisan pertahanan membuatkan Guirado terpaksa bekerja keras untuk naik dan turun di dalam padang.

 

Sekali lagi keputusan yang dibuat pengadil mempengaruhi keputusan perlawanan. Gol pertama Perak terhasil daripada sepakan penjuru. Walhal, tak layak diberikan sepakan penjuru pun. Pengadil mendakwa Ilham menepis bola keluar untuk sepakan penjuru namun ulang tayang menunjukkan bola sebenarnya terkena tiang. Apa ke halnya tiang dengan tangan tak boleh beza? Itu satu perkara. Selepas sepakan penjuru itu diambil, Nasriq berpeluang mengeluarkan bola dari kawasan bahaya namun clearance beliau terus ke dalam kotak penalti. Den faham kesilapan boleh berlaku kepada mana-mana pemain. Tapi kalau dalam satu perlawanan, 3 hingga 4 kali kesilapan sama dibuat? Hmm. Bukan mengecam Nasriq, tapi beliau kerap melakukan kesilapan mudah seperti ini.

 

Di bahagian serangan, Guirado terlalu mensia-siakan kudrat membantu bahagian pertahanan dan barisan tengah. Sehinggakan beliau gagal untuk menewaskan barisan pertahanan Perak dalam duel one on one walaupun mempunyai fizikal yang lebih besar. Dalam hal ini, kehadiran Nico Velez di dalam pasukan menjadi tanda tanya. Ini kerana beliau sering alami kecederaan berulang. Ketika harapan diberikan dengan kehadiran Guirado menggantikan Prak Mony Udom, Nico Velez memalapkan semula harapan tersebut kerana khidmatnya jarang-jarang dapat digunakan.

 

Dengan berakhirnya perlawanan menentang Perak, maka tamatlah perjuangan pasukan Negeri Sembilan bermain di bulan Ramadhan. Khabarnya, MFL akan terus menimbangkan untuk mengadakan perlawanan di bulan Ramadhan di musim-musim akan datang. Hal ini bagi mengelakkan kepadatan jadual perlawanan dan pertindihan dengan kalendar FIFA/AFC serta memastikan liga dapat ditamatkan dalam waktu yang dirancang. Ia sebenarnya satu inisiatif yang bagus, namun MFL perlu mengambil kira level kecergasan para pemain dan tempoh pasukan untuk berlatih bagi menghadapi sesuatu perlawanan. Dua perlawanan dalam satu minggu pasti memberi cabaran kepada pemain yang berpuasa dengan mengambil kira tempoh latihan, rehat dan perjalanan yang perlu ditempuhi jika beraksi di tempat lawan. Kita mahu lihat para pemain dapat memberikan prestasi yang terbaik dalam setiap perlawanan. Jika MFL dapat merancang jadual perlawanan dengan lebih baik, perkara ini pastinya mampu dilaksanakan.

 

Kekalahan ini pastinya menyukarkan lagi peluang Negeri Sembilan untuk keluar dari zon penyingkiran. Di kedudukan ke-11 dengan 12 mata, Negeri Sembilan kini dibelakang Melaka United dengan 5 mata. Walaupun ianya sukar, namun tidak mustahil untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

 

P/S : Apolah salah eh nyodap an hati sendiri kan?

 

Yat.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.