/PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA

PERMOHONAN MAAF SECARA TERBUKA

Kedatangan lebih 6000 penyokong melabuhkan punggung mereka diteres batu yang tidak bernombor stadium Paroi malam kelmarin tanpa disangka mencetuskan sedikit polemik dilaman media sosial. Ini berlaku apabila ada yang membandingkan jumlah kehadiran ini dengan stadium-stadium lain, terutama dengan pasukan berstatus besar dan elit. Walaupun bukan kehadiran penyokong di Paroi yang menjadi topik perbualan mereka sebaliknya lebih tertumpu kepada kenapa distadium lain kurang, sedikit mengguris hati Jang yang sedia halus ini.

Namun, Jang sedar siapa diri Jang dan pasukan Negeri Sembilan. Sudahlah bermain di liga Perdana, tidak kuat pula. Maka 6000 atau 60,000 tidak akan menjadi berita, sebaliknya kenapa stadium lain kosong pula yang lebih dibincangkan.

Tiada niat dihati Jang nak bercerita atau memberi idea bagaimana mahu menarik penyokong ke stadium, kenapa stadium lain kurang kehadiran dan kenapa Paroi begitu keramat kepada penyokong Negeri Sembilan. Cukuplah Jang ingin katakan, jika jumlah kehadiran penyokong ke Paroi mengguris hati pasukan lain, stadium lain dan penyokong lain, Jang akan cuba kawal kehadiran ini supaya ianya cukup sekadar paras hidung.

Jang hanya ingin memberi tabik hormat kepada semua penyokong Negeri Sembilan dan Kedah yang hadir ke stadium Paroi kelmarin. Jang yakin, mereka turun ke stadium bukan untuk menjadi statistik jumlah kehadiran atau mencipta rekod. Mereka hadir kerana pasukan perlukan mereka. Mereka hadir kerana bola sepak adalah jiwa mereka. Mereka hadir kerana mereka tidak selesa duduk dirumah sedangkan pasukan mereka perlukan mereka distadium. Mereka travel beratus kilometer dari rumah kerana itulah bola sepak fahaman mereka, mereka hadir kerana mereka mahu terlibat dari awal, bukan hanya sewaktu menjulang piala. Mereka adalah bola sepak dan bola sepak adalah mereka.

Namun, tidak sekali-kali mereka akan bawa hal teres stadium ke gelanggang media sosial.

Ingat! Biar pasukan tidak kuat, jangan jadi penyokong yang lemah. Tahniah semua penyokong Negeri Sembilan yang setia. Jang salute!

Maafkanlah Paroi.

Jang,
Sekadar hiba.

 

Buapak Bolasepak Beradat