/PFC – Permata yang muncul disebalik lumpur sungai Pahang yang kian cetek.

PFC – Permata yang muncul disebalik lumpur sungai Pahang yang kian cetek.

Tuuuuu diaaaaa habaq hang panjangnya tajuk! Masao Sato sekali lagi menulis tentang keindahan pasukan Pahang yang kini dilihat bagaikan selut dan lumpur yang mula mengeras dipanah  dek cahaya mentari elnino. Jika Pahang ini adalah sebutir permata yang hanya timbul apabila sungai Pahang mengering maka biarlah kemarau terus berpanjangan hingga Pahang kembali menjadi juara.

Analisis Perlawanan Pahang vs Kedah
Oleh – Masao Sato

Pahang meneruskan rentetan perlawanan tanpa kalah kepada 4 perlawanan berturut pada perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Makmur malam tadi. Ketika ini skuad Tok Gajah dilihat seperti mustahil untuk kalah, kebarangkalian untuk pasukan Pahang kalah sehingga akhir musim ini adalah 0% mengikut kajian beberapa pemerhati bola sepak.

Tidak terlalu keterlaluan atau melampau rasanya jika kekuatan pasukan Pahang cuba dibandingkan dengan gabungan kekuatan bom atom, hydrogen bom dan nuklear. Perumpamaan kekuatan pasukan Pahang adalah seperti 7 lautan yang luas lagi dalam manakala gabungan kekuatan antara bom atom, hydrogen bom dan nuklear hanya lah setitis air daripada 7 lautan tersebut. Begitulah hebatnya pasukan Pahang ketika ini !

Namun apa apa sahaja kekuatan yang wujud di atas muka bumi ini satu hari nanti pasti akan lenyap dan menemui kehancuran serta kebinasaan. Yang terus kekal dan merajai alam ini hanya zat yang Maha Suci dan terpelihara dari segala keaiban dan kecacatan iaitu Tuhan Yang Esa.

Berikut adalah analisis daripada perlawanan tersebut yang dianalisis dari sudut yang akal manusia lain tidak mampu capai.

1. Kekuatan Dan Kelemahan Dalibor Volas

Penyerang berbisa berasal dari Slovenia ini pernah meledak gol kemenangan untuk pasukannya Maribor FC yang menghumban gergasi bola sepak Scotland iaitu Rangers keluar daripada saingan Piala Europa beberapa musim lalu. Oleh sebab itu aksinya yang luar biasa dan sukar diterima akal bukanlah perkara yang perlu dihairankan. Beliau telah meledak 6 gol dalam saingan Liga Super dan merupakan penjaring gol ke 2 terbanyak selepas Patrick Ronaldinho dan Forky Doe. Selain itu Dalibor Volas adalah satu-satunya pemain yang berjaya meledak hatrik dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun malam tadi beliau bermain dengan cukup jahanam apabila gagal menyudahkan 2 peluang mudah di depan gol. Mungkin perkara ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Pahang. Namun jika dianalisis 6 gol Dalibor Volas musim ini kesemua gol mempunyai beberapa corak yang sama yang boleh menjelaskan kenapa beliau gagal menyudahkan 2 peluang keemasan tersebut

Kesemua gol yang beliau jaringkan tersebut dihasilkan dalam keadaan kucar-kacir dan dalam lingkungan jarak 1 meter radius dari gawang gol lawan. Beliau hanya mampu menggegar gawang jika 2 syarat ini dipenuhi iaitu situasi kucar-kacir dan jarak 1 meter radius dari gawang gol lawan.

Dalam perlawanan menentang Kedah, dua peluang di depan gol itu tidak memenuhi 2 syarat tersebut kerana ketika itu situasi tenang dan jarak bola dari gawang lawan lebih dari 1 meter radius.

2. Pengadil Dan Penjaga Garisan Yang Hilang Pedoman

Pengadil dan penjaga garisan membuat 2 kesilapan yang sukar diampunkan sehingga menyebabkan Pahang hanya seri menentang Kedah. Pahang memperoleh 2 peluang untuk menambah gol namun dinafikan kerana diputuskan offside. Setelah rakaman ulang tayang jelas menunjukkan pemain Pahang ketika itu bukan berada di kedudukan offside. Secara keseluruhan kualiti pengadil di Malaysia adalah sangat teruk. Apa sahaja perkara yang ada hubungan dengan bola sepak di Malaysia adalah teruk. Pengadil teruk ! Pengulas teruk ! Main bola macam beruk ! Tidak ada apa yang boleh dibanggakan mengenai bola sepak Malaysia melainkan gol Faiz Subri yang melawan fitrah alam dan sains.

Sebenarnya masalah pengadil yang hilang pedoman ini juga melanda di negara lain. Sebagai contoh baru-baru ini Howard Webb membuat pengakuan yang beliau tersilap memberi penalti kepada Manchester United pada perlawanan menentang Spurs yang menyebabkan Manchester United juara liga pada 2008/2009. Sekaligus menyebabkan Steven Gerrard kempunan mencium piala EPL dan hanya mampu mencium kamera. Faktor pengadil berat sebelah adalah rahsia kejayaan Manchester United sepanjang kendalian Alex Ferguson. ( Jangan marah Jang. Kah kah kah).

Sebenarnya penggunaan pengadil daripada manusia sudah tidak relevan dewasa ini kerana keputusan manusia banyak dipengaruhi emosi dan nafsu di samping kemampuan yang terbatas. Sudah tiba masanya sukan bola sepak menggunakan pengadil robot atau menggunakan rakaman ulang tayang video sebagai alat bantu pengadil.

3. Kelahiran Semula Luis Figo Malaysia

Masa depan bola sepak Malaysia kembali bercahaya setelah Ahmad Fakri Saarani atau lebih mesra dengan nama jolokan Luis Figo Malaysia kembali menemui sentuhan ajaib beliau. Penyerang terkemuka ini meledak gol pendahuluan untuk kedah melalui tandukan dengan penuh bergaya. Ahmad Fakri Saarani kini istiqomah meledak gol selepas turut menjaringkan gol menentang JDT tempoh hari. Hanya malaikat maut boleh menghalang beliau dari terus menjaringkan gol. Pengalaman beliau beraksi untuk kelab divisyen 3 Portugal iaitu Atletico SC membuatkan penyerang ini semakin matang.

Selain mempunyai penyudah tajam, Luis Figo Malaysia adalah seorang ahli falsafah yang berbakat. Siapa boleh lupa kata-kata pujangga beliau selepas gagal menjaringkan penalti untuk Malaysia, “kalau bola tu dah tak nak masuk, buat macam mana pun tetap tak akan masuk “. Madah pujangga ini mempunyai pelbagai maksud tersurat dan tersirat yang menerangkan tentang keagungan Tuhan. Kepandaian, pengalaman dan kebolehan tidak ada kuasa memberi kesan dan bekas terhadap sesuatu perkara melainkan dengan kehendak Tuhan.

Kegagalan benteng pertahanan Pahang merantai penyerang Kedah ini menjadi punca pasukan Tok Gajah gagal meraih kemenangan.

Kesimpulannya Pahang kini baru memanaskan enjin dalam kempen Liga Super. Selepas ini Pahang akan bertemu JDT di Stadium Larkin dan kemudian bertemu lagi di Stadium Darul Makmur 2 minggu selepas itu. Hanya pasukan yang disegani dan hebat seperti Pahang sahaja mampu memusnahkan pasukan dari Selatan itu.

Hogoh Pahang Hogoh !

Kongsi artikel ini: