April 20, 2024

Piala Asia: Nelo Vingada perlu diberi amaran keras!

3 min read

Masa hanyalah satu alasan yang dicipta berulang kali apabila pasukan Harimau Malaya tumpas.

  • Perlu lebih masa,
  • Beri sedikit masa
  • Masa untuk gel
  • Gol masa tambahan

Nelo Vingada sendiri berkata bahawa semua jurulatih tidak cukup masa. Dengan kata lain, pasukan senior yang dipimpin mesti terus perform mengikut taktikal yang dibawa oleh jurulatih. Jika tidak, ilmu dan taktikal jurulatih tersebut dianggap gagal. Keupayaan pemain, samada mereka mampu atau tidak memahami kehendak jurulatih jatuh nombor 20. Itupun jika jurulatih tersebut mempunyai ilmu, taktikal dan falsafah bola sepak yang ingin dibawanya.

Tetapi Nelo Vingada terus terang berkata bahawa dia tidak mempunyai sebarang falsafah permainan untuk diterapkan. Tidak ada taktik istimewa walau kemana pun dia menjadi jurulatih. Keupayaan pemain menjadi taruhan beliau. Maknanya apa? Jika keupayaan Baddrol Bakhtiar melakukan hantaran jauh membuta tuli menjadi taruhan, maka beliau akan membentuk pasukan melalui keupayaan itu? Keupayaan Afif pula bagaimana? Amirul Hadi?

Tidak manis jika terus menyalahkan Nelo Vingada 100%. Beliau yang mempunyai rekod tidak kekal lama dalam satu-satu pasukan sebelum ini lebih bergantung kepada ‘kebijaksanaan’ Tan Cheng Hoe dalam mengenalpasti keupayaan pemain tempatan. Tan Cheng Hoe bertindak melakukan pemilihan selamat dengan menggunakan ramai pemain Kedah sebab lebih mengenali keupayaan mereka. Mujur pilihan ini boleh dikatakan baik.

Jang cukup gembira melihat aksi Syazwan dan Hazwan malam tadi. Kedua mereka saling melakukan hantaran yang berkualiti. Mengambil contoh gol Mahali adalah hasil cross Syazwan ketengah dalam posisi Hazwan sedang berlari masuk kedalam kotak penalti diapit 3 pemain Lubnan. Syazwan tidak perlu menunggu Hazwan berada dalam kedudukan terbaik pun, dia hanya lakukan tugasnya membuat hantaran sementara Hazwan melakukan tanggungjawabnya mengambil hantaran tersebut. Hazwan bukan pemain yang kau perlu beri bola kepadanya macam timbang air baru boleh mencuba dan Syazwan percaya pada keupayaan Hazwan, itu point Jang.

Inilah keupayaan pemain yang Nelo Vingala maksudkan. Semasa majlis pengenalan beliau, Vingala mahukan pemain yang ada karekter, berani, laju dan ada kemahuan untuk menang serta yakin bahawa semuanya boleh dilakukan dalam bola sepak. Untuk malam tadi, hanya Syazwan dan Hazwan ada karekter ini. Fikir semula, semua jurulatih mahukan pemain yang punya karekter, berani dan laju. Betul? Bagaimana dengan taktikal?

Pasukan Lubnan cukup bergaya dan tidak takut merealisasikan set piece demi set piece mereka baik ketika mengambil tendangan percuma, tendangan sudut mahupun lontaran kedalam walau ketinggalan 1 gol kosong. Ini bermaksud mereka ada struktur permainan. Mereka ada falsafah dan gaya yang diterapkan. Mereka ada latihan yang dilakukan berulang kali dan tidak kekok mengulanginya dalam permainan sebenar. Mereka mengadunkan keupayaan pemain dengan taktik licik untuk mengelirukan lawan. Maknanya apa?

Nelo Vingada bukan perlu masa dan kita penyokong jangan sekali-kali kata beri dia masa. Dia hanya ada kontrak selama 2 tahun dengan FAM. Kontrak 2 tahun bermakna dia tidak diberi masa untuk develop. Dia kene lakukan dengan cepat. Masa hanya layak diberikan dan digunakan oleh pemain remaja. Untuk pasukan senior, mereka bagaikan buah yang telah masak, jika diberi masa, mereka akan jadi buah yang busuk lalu gugur dimakan ulat.

Meletakkan keupayaan pemain untuk dijadikan ukuran adalah satu perjudian dimana diakhirnya pemain kita tetap akan kalah. Bayangkan selepas 2 tahun bersama Harimau Malaya dan kita masih tidak kemana, Nelo Vingada boleh menyalahkan keupayaan pemain kita sebagai punca dia gagal. Dia boleh kata level pemain kita sudah habis, ada limit maka dia tak boleh nak bentuk lagi. Dia balik Portugal atau pindah kelab lain dan kita tinggal saling menyalahkan diantara satu sama lain.

Apa solusinya? Nelo Vingada mesti diberi amaran keras untuk melakukan sesuatu. Dia dan TCH mesti turun kesemua perlawanan mingguan terpilih untuk melihat aksi pemain (jika beliau masuk ketika liga bercuti dijadikan alasan) tidak kira liga Super atau Perdana. Beliau mesti terapkan satu falsafah dan corak permainan berbeza dari OKS atau dari dulu. Tunjukkan kita pun boleh buat set piece menarik, bukan lurus saja.

Jumlah kehadiran tidak sampai 7 ribu di Larkin amat mendukacitakan. Ini bukan masalah stadium atau dimana permainan diadakan. Jika di Shah Alam pun Jang tak fikir boleh dapat 10 ribu penyokong. Ini masalah mentaliti penyokong bola sepak Malaysia yang cukup susah hendak dibawa ke stadium. Mereka suka memilih perlawanan untuk hadir. Penyakit ini ada disemua stadium dan negeri. Lawan peringkat kumpulan, dapat 4 ribu, suku akhir dapat 16 ribu dan layak separuh akhir boleh cecah 30 ribu orang turun ke stadium.

Masuk final mereka mengamuk bila tiket habis. Penyakit hanya turun MASA MENANG saja inilah yang Jang nak ubati.

Jang bukan bijak pandai dalam bola sepak tetapi hanya menjalankan tugas Jang sebagai pengulas tidak bertauliah. Inilah keupayaan Jang yang Nelo Vingada dan Tan Cheng Hoe perlu risaukan. hmmm….

Oklah, Jang nak power nap jap. (ini taktikal untuk kekal cergas sehingga petang)



0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.