/Piala Malaysia: JDT>Isu Tiket>Drama>Politik>Pundek>>>Bola sepak!

Piala Malaysia: JDT>Isu Tiket>Drama>Politik>Pundek>>>Bola sepak!

Drama Piala Malaysia sebelum, semasa dan selepas perlawanan akhir musim 2017 benar-benar menguji keindahan bola sepak kita. Segala macam bentuk masalah dan bahasa keluar dari individu-individu yang kita harapkan menjadi tunjang mengukuhkan bola sepak kita dari terus menjunam. Hal-hal luar padang, dalam kelambu, dalam media, dalam grup wechat dan sebagainya lebih menguasai berita dari debaran final atas padang. Amat malang, kemeriahan final dicemari dengan ‘peperangan’ yang sedikit mencemarkan nama baik dan aib seseorang tetapi apakan daya, itulah wajah bola sepak kita.

Isu bermula apabila penjualan tiket di Kedah yang kucar kacir dan menimbulkan marah pada penyokong mereka. Punyalah kecoh sampai mereka menyerang pejabat KFA, membuat laporan Polis dan SPRM untuk menyiasat. Mujur PPIM sedang sibuk dengan majlis dapat RM500K dari Zahid Hamidi, kalau tak, nahas semua. Sebenarnya ini bukan isu baru, malah dah berlaku setiap musim dimana-mana negeri pun. Masih ingat tiket di stadium Paroi habis dalam masa sejam semasa layak ke final menentang Kelantan? Takkan lah kita ni bangsa masuk final reti, print tiket siap safety elak cetak rompak, buat kaunter tiket pandai tapi jual tiket melampau bodohnya pula? Pelik! Hairannya, FMLLP siap jemput kumpulan penyokong seminggu sebelum penjualan untuk membincangkan tentang pembahagian tiket, apa hasil perbincangan? oh, bincang pembahagian bukan penjualan? k.

Kemudian Presiden FAM pula membuat posting dan boom! – meletup. Malas Jang nak ulas semula tapi dari situ bolehlah Jang simpulkan, bola sepak kita ini jika mahu perubahan semula menjadi baik mesti melalui satu fasa dimana semua kekotoran, kekalutan, misteri dan dosa harus dibocorkan dan disucikan, kemudian kita hancur lalu bangun semula menjadi bersih. Boleh?

Dalam Padang

Jang memang telah jangkakan JDT akan memenangi perlawanan akhir ini, bukan kerana Kedah tidak bagus, tetapi JDT ada satu semangat atau determination atau kemahuan untuk menang yang lebih tinggi dari semua pasukan lain yang ada di Malaysia ini. Itu sahaja sudah cukup buat sebuah pasukan menjadi tak terkalah dan dalam kes JDT, mereka sudah buktikan dengan 4 kejuaraan liga Super berturut-turut. Mentaliti ‘berlatih seperti tidak pernah menang, berlawan seperti tidak pernah kalah’ ini jika diserap dalam fikiran semua pemain Malaysia, hasilnya pasti luarbiasa. Tapi itulah, kebanyakkannya ‘berlatih seperti sudah handal dan berlawan seperti minta kalah’. JDT juga mempunyai barisan pemain untuk setiap posisi yang lebih baik dari Kedah dan ini termasuk barisan pemain simpanan mereka juga. Atas kertas, matematik atau apa saja bentuk ukuran, JDT adalah jauh lebih baik.

2 minit selepas sepak mula, gawang Kedah bocor melalui tandukan padu Aidil Zaquan hasil sepakan sudut Sapik Rahim. Kene gol awal pada pentas final ini bukan semua pasukan boleh compose semula dan bangkit. Separuh akhir kedua di Paroi diantara Negeri Sembilan menentang Pahang menyaksikan senario sama, gol awal Pahang buat pemain Negeri Sembilan tersentak dan gagal bangkit sebelum tewas 0-2. Kedah cuba acah-acah tenang meneruskan permainan tetapi jelas, efek kejutan gol awal mematikan terus akal pemain. Jang dah kata dalam akaun twt_bola yang Jang curate, kekuatan atau kelemahan pasukan Kedah sangat bergantung kepada Baddrol Bakhtiar. Jika beliau bermain baik, keseluruhan pemain Kedah akan ikut baik dan begitulah sebaliknya. Pengalaman pemain senior seperti Baddrol sangat kritikal malam itu untuk memberi semangat kepada pemain lain tetapi ternyata Badd tidak berbuat apa-apa yang miracle. Lebih buruk, beberapa peluang yang sepatutnya menghasilkan gol pembakar semangat gagal disempurnakan oleh beliau.

Jang menekup muka melihat sepakan percuma yang diambil oleh Badd. Jika arwah Hasbullah Awang yang mengulas nescaya akan keluar ayat “Owhh? dimanakah Baddrol Bakthiar ingin menghantar bola itu? adakah ke kampung halamannya di Kokdiang?”  atau ketika Baddrol tap bola dan terkena tiang “gollll …oh tidak? terkena tiang! pintu gol luas bagaikan jelapang padi..” – ya, sarkastik tahap legend.

Separuh masa kedua, pemain Kedah mula hilang pertimbangan dan emosi. Jang dah ingatkan, rentak perlawanan akhir akan boring bila ada pemain emosi yang tidak terkawal. Emosi semestinya kene ada tetapi ada had. Wan Kapet (selain membuat isyarat lucah kepada budak Milo) merengkuh tengkuk pengadil? OhTuhanku! Kalau di peringkat Asia, kau mungkin dah kene kad merah, tau? Inilah mutu pengadilan tempatan yang silap dan double standard (atau tidak mengikut buku) akibatnya pemain kita melakukan aksi yang sama dipentas Asia (menyentuh pengadil) akan dilayangkan kad. Contoh mudah, Aidil Zaquan semasa menentang Hong Kong di Melaka. Pengadil mesti mula mengadili permainan dan sikap pemain mengikut standard agar pemain kita terlatih disiplinnya apabila bermain diluar. Tak la nanti orang kata ‘bawak lagi perangai Super League kau ke luar, kan dah kene kad”. Rizal Ghazali juga emosional dan gol kedua berpunca dari kegagalan beliau menjaga Gabriel Cabrera. Dimana kapten Kedah, Khairul Helmi yang sepatutnya menjadi tonggak pertahanan Kedah? Tak keterlaluan jika Jang kata setiap pemain pertahanan Kedah malam itu banyak membuat kesilapan. Tidak mungkin gementar dipentas final kerana Kedah dah biasa bermain di peringkat akhir dan baru saja menjuarai Piala FA.

Liridon saja yang tidak gementar dan bermain fancy seperti biasa. Jang tanya “fancy-fancy nak pergi mana?”

JDT melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan pemain yang sama kualitinya dengan barisan utama mereka. Kedah mengeluarkan pemain yang tidak menjadi, dan memasukkan pemain yang juga tidak menjadi atau beri impak fresh legs. Nampak beza dekat situ? Itulah sebabnya JDT sentiasa membeli pemain berkualiti walau hanya duduk dibangku simpanan. Jika mahu jadi kesebelasan utama, kene bersaing, kene tunjukkan kemahuan dan determination luarbiasa semasa latihan dan sebagainya. Itu benda positif yang sengaja tidak mahu dipandang oleh ramai peminat bola sepak. Apabila barisan utama dan kedua sama kuat, baru rotasi pemain boleh dilakukan dan impaknya tidak besar. Mohammed Ghaddar pun JDT letak di bench dan langsung tidak diturunkan! Maknanya apa?

Luar Padang

Entah kenapa Sapik Rahim nak meroyan dan mengeluarkan bahasa tidak manis. Bola sepak kita ini cukup-cukuplah dengan drama diperingkat tertinggi, bekas pemain dan politik persatuan. Kasihan lah sama penyokong yang jujur menyokong pemain dan pasukan. Memang pemain juga ada perasaan dan ada akaun media sosial tetapi mereka dibayar mahal untuk bermain, untuk kawal perasaan dan untuk kelihatan steady sepanjang masa. Jika diluar, sponsor seperti NIKE akan mengkaji semula tajaan mereka atau menarik terus tajaan mereka kerana tidak mahu dikaitkan dengan pemain yang membuat kenyataan sebegitu. Ahli tinju Manny Pacquiao dari Filiphina contohnya apabila membuat kenyataan tentang LBGT, Lance Armstrong, Sharapova, Tiger Woods, pemain NBA dan ramai lagi, tak kisah apa kesalahan mereka. Tapi sebab kita ini suka ikut standard Malaysia dan bukan standard dunia, jadi sponsor masih buat tak nampak dan tutup sebelah mata. Lagi sekali sikap dan standard berbeza akan merosakkan bola sepak kita.

Sepatutnya bola sepak secara standardnya menjadi platform utama menyatukan manusia tetapi kita jadikan bola sepak sebagai platform untuk bergaduh, menabur benih kebencian, kepentingan politik, meraih undi, melepas geram dan keuntungan peribadi. Itulah wajah bola sepak kita, dipijak-pijak sehingga puas.

Demikian berakhir liga Malaysia musim 2017.

Kongsi artikel ini: