April 20, 2024

Piala Malaysia: Laksamana Doe, Negeri Sembilan dan bersara awal.

3 min read

Lama betul Jang tak menulis ni, rasa kekok pulak. Lebih terasa kekok sebab nak mengamuk dengan kekalahan Negeri Sembilan malam tadi kepada Felda United. Mujur saingan Piala Malaysia baru bermula dan peluang kepada semua pasukan masih terbuka luas, maka hati Jang yang terguris ini masih boleh ditenangkan.

Kalah kepada Felda United bukanlah sesuatu yang begitu mengecewakan kerana Felda United adalah sebuah pasukan yang kuat di liga Super. Siapalah Negeri Sembilan nak mendabik dada di Temerloh? Tetapi yang menguris hati Jang ialah 2 jaringan Felda United disumbangkan oleh bekas import Negeri Sembilan yang Jang puja sebelum ini, Forkey Doe. Diberitakan Forkey Doe langsung tidak meraikan jaringan beliau! Jelas jauh disudut hatinya masih ada cinta pada Negeri Sembilan…atau rumah dia di Seremban 2..atau gulai Sembilang Salai, tak kisah la. Baca ulasan Jang pasal Forkey Doe dolu-dolu pada link dibawah; (sekadar sandarkan pada kenangan)

https://www.ultrajang.com/just-doe-it/ 

https://www.ultrajang.com/nama-panjang-francis-forkey-doe-nama-pendek-doe/

Laksamana Doe tidak mati selepas digugurkan dari Negeri Sembilan malah beliau terus bermain cemerlang bersama Felda United. Nampak tak dimana silapnya apabila PBNS menggugurkan kesemua pemain dan K. Devan pada musim lepas? Pilih main hentam, gugur pun main taram. Adakah senario yang sama juga berlaku pada tingkap perpindahan kali ini?

Rata-rata penyokong Negeri Sembilan kecewa dengan tindakan PBNS menggugurkan Nabbout dan Chianese kerana kedua pemain ini mempunyai rekod jaringan yang sangat memuaskan. Diberitakan pihak pengurusan tidak berpuashati dengan Nabbout yang beberapa kali mensia-siakan peluang didepan gol. Inilah kegilaan bila penjaring terbanyak digugurkan kerana beberapa kali mensia-siakan peluang didepan gol. Kau ulang baca ayat Jang ni – penjaring terbanyak digugurkan kerana mensia-siakan peluang didepan gol!

Afiq sepanjang hidup mensia-siakan peluang, umur dan kudrat penyokong, tak kira bil letrik lampu limpah dan diesel bas,malam tadi juga diberitakan gagal menyudahkan hantaran cantik didepan gawang tetapi masih rilek dan selamat bersama Negeri.

Adakah setiap pasukan mesti menukar pemain setiap kali jendela perpindahan dibuka? Adakah ianya wajib, suka-suka atau “alamak! jendela dah buka, kene la kita tukar pemain”. Jang tidak menyentuh lagi hal ini kerana ianya agak kompleks, lucu dan ada unsur tuduhan melulu yang tidak dapat dibuktikan. Ada berbagai spekulasi dan kita tidak salah berspekulasi kerana pihak berwajib tidak mahu berterus terang. Simple.

Adakah penukaran pemain kerana sogokan wang kepada individu tertentu? Adakah agent memainkan peranan tidak baik dalam hal ini? Kenapa ramai pemain dari Australia dibawa masuk? Adakah pemain kita tidak ada harga dalam perpindahan? Adakah berlaku pergeseran dalam pasukan? Semua persoalan dan spekulasi adalah benar selagi pihak berwajib tidak mahu memberi penjelasan. Untuk rekod, bukan Negeri Sembilan saja yang buat perangai begini, banyak pasukan lain juga turut sama ‘memeriahkan’ scene perpindahan pemain kali ini.

Jang meramalkan Negeri Sembilan akan layak sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam saingan Piala Malaysia. Tapi itu ramalan sebelum Nabbout dan Chianese digugurkan. Selepas melihat aksi import baru dalam beberapa siri perlawanan persahabatan lepas, Jang terpaksa menarik balik ramalan itu. Striker baru tu kalau tak sama level dengan Afiq, dia mungkin baik sikit saja. Tapi takpa, kita bagi dia peluang lagi 3,4 game. Kalau dia nampak macam nak menghabihkan boreh aje, maka jadi kewajipan untuk kita memaki semua yang terlibat. Jang bukan apo, kito ni dah la tak bersawah lagi, boreh yang ado pulak nak dibazirkan kepada pemain import. Takkan kau nak pandang aje?

Sementara itu, berita persaraan serentak Sapik Rahim dan Aidil dari pasukan kebangsaan semalam mencuri sedikit perhatian Jang. Bersara adalah hak dan keputusan mereka. Ada baiknya juga sebab dapat memberi peluang kepada pemain baru menunjukkan kehebatan mereka. Asyik guna pemain sama dalam banyak kejohanan adalah satu kesilapan yang Ong Kim Swee tak nampak. Sepanyol contohnya, menggunakan set pemain yang sama, orang dah tau dah bagaimana nak patahkan Iniesta atau meloloskan diri dari Pique. Einstein pun dah kata, melakukan perkara yang sama berulang-ulang tetapi mengharapkan keputusan berbeza adalah kerja gila.

Dulu ada seorang pemain muda Palestin kata, dia kagum dan hairan, semasa dia remaja, dia lihat Kunanlan bermain untuk Malaysia. Selepas 5 tahun, dia terpilih bermain untuk Palestin dan ketika menentang Malaysia, dia ketawa kerana Kunanlan masih ada!

Tapi yang mengguris hati lagi sekali, Forkey Doe tidak bersara malah rela mati dari bersara.

Nampak?

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.