/Piala Malaysia | PKNS buka Hijab Negeri Sembilan

Piala Malaysia | PKNS buka Hijab Negeri Sembilan

Sukar Jang nak menerima hakikat bahawa sekali lagi tekaan orang luar terhadap Negeri Sembilan akan menjadi benar. Dahulu, portal online FourFourTwo tulisan Vijhay Vick membuat analisis panjang lebar peluang semua pasukan dalam Liga Super dan beliau meletakkan pasukan Negeri Sembilan berada di tempat tercorot. Ternyata analisis beliau benar. Kali ini, dalam analisis sepintas lalu Akhmal Rizal, bekas pemain Kedah itu secara bersahaja mengikat tepi kemampuan Negeri Sembilan dalam saingan awal Piala Malaysia.

Adakah begitu jelas kelemahan pasukan kita dimata orang luar? Adakah begitu menonjol ketidakmampuan kita memberi saingan walaupun terhadap pasukan tanpa penyokong, feeder club dan pasukan gaji tertunggak?

Selepas dua perlawanan malam tadi, Jang seperti terbuka hijab, melihat dimana kelemahan kita berbanding pasukan lain. Tetapi bukanlah kelemahan yang tidak boleh diperbaiki atau kelemahan hakiki atau sebab gaji atau sebab Qada dan Qadar. Bagi Jang, kelemahan ini umpama bermain jigsaw puzzle. Semua kelihatan sama tetapi tidak sesuai dan tidak muat. Puzzle itu lengkap tapi perlukan kesabaran dan teknik yang betul untuk menyiapkannya. Ada yang bermain puzzle bermula dari tepi, ada yang dari tengah dan ada yang tak mula apa-apa, asyik susun tepi dulu mengikut warna dan corak. Jadi, teknik mana yang sesuai dan cepat dan tidak banyak kesilapan? Adakah main susun sahaja atau tak kisah mula dari mana, kerana nanti sama saja hasilnya?

Jadi apa sebenarnya corak atau gaya atau taktikal atau DNA atau falsafah atau berbagai lagi ganti nama yang sebenarnya dimainkan oleh pasukan Negeri Sembilan? 4-3-3 ke 4-4-2 atau 4-4 siku lipat? Siapa dapat jawab?

Sebab malam tadi Jang lihat satu peningkatan yang agak baik dari bahagian serangan pasukan Negeri Sembilan. Terdapat banyak percubaan dilakukan (lebih banyak dari selalu) dalam usaha mencari gol. Namun kealpaan dan kesilapan bahagian pertahanan membenarkan pasukan PKNS merobek gawang kita sebanyak 2 kali dari sudut yang sama. Mana Osman Yusoff? Kenapa beliau tidak diturunkan selepas begitu jelas pertahanan kita tidak solid dalam kuliah yang diberikan oleh Kedah FA lepas. Kita perlukan pemain pertahanan yang cergas, sedikit robust, muda, ada sizing dan bijak membaca bola. Adakah Osman tidak dimasukkan kerana role beliau sama dengan Matheus Vila? Tak boleh sama role ke? Bukan Halim dan Nakatake kelihatan sama, sebijik dan seiras role mereka dibahagian tengah? Bagi Jang, bek yang sama role adalah lebih baik dari midfield yang sama corak permainannya.

Gattuso dan Pirlo adalah pair midfielder yang sangat klasik di AC Milan. Pirlo adalah seorang artis sementara Gatusso pula adalah seorang pahlawan. Gatusso buat kerja jahat memastikan serangan dan emosional pihak lawan terganggu, Pirlo boleh buat kerja distribution dengan tenang tanpa gangguan. Klasik!

Bermain bola ini penat dan memenatkan. Mujur ianya dimainkan dalam pasukan 11 pemain. PKNS bermain secara kolektif dan bersifat mudah. Membuat passing yang tidak menyusahkan kawan, membuat serangan dalam kumpulan dan saling ada apabila diperlukan. Jadi mereka dapat menjimatkan banyak masa dan tenaga tidak terbuang. Mungkin coach Rajagopal memberi mereka taktikal bermain mudah dan pemain berjaya melakukan apa yang dibuat semasa latihan kedalam padang.

Sementara kita pula selepas bolos 2 gol, kelihatan kecewa dan hilang punca. Almir dan Ferris bermain laju tapi Igor Luiz pula taking his own sweet time untuk berlari kedalam kotak penalti lawan. Payah juga bila top striker kau masih tak sampai dalam kotak sedangkan kau dah bawa lari bola dari tepi. Keliru Jang, kita ni nak main ikut tempo laju atau tempo Luiz? Bagi Jang, tak perlu main laju sebab kita diberi masa 90 minit untuk menghasilkan 2 atau 3 gol. Bermain tenang membuat passing. Passing la semua orang dahulu sampailah dapat satu peluang melepaskan percubaan.Kalau asyik nak laju je, bola cepat hilang sebab kita sebenarnya takda kemampuan bermain laju. Akhyar Rashid yang nampak hebat dribbling laju pun sebenarnya tak kemana bila dia seorang sahaja laju. Akhirnya bola dikaki beliau hilang.

Panjang lagi Jang nak membebel ni. Kau baca aje la sambil angguk kepala.

Kita juga banyak melakukan kesilapan teknikal malam tadi. Membuat penukaran pemain (Durres dan Aiman) dalam selang masa yang dekat-dekat. Ya, mungkin pertukaran kerana ada pemain cedera, tapi kejap-kejap ada pertukaran ini nampak macam taktikal time wasting pula, tapi bukan kita yang leading. Halim dah keluar dahulu dan duduk di bench tapi Aiman belum dibenarkan masuk. Begitu juga kemasukan Danish pula ‘tertunggak’ ditepi padang apabila pemain yang cedera dah lama keluar tapi pemainan sedang berlangsung. Akibatnya Danish terpaksa berdiri menunggu ditepi padang bersama penjaga masa. Kita rugi beberapa minit disitu. Itu belum lagi rugi minit dan tempo bila jersi Vila terkoyak dan dia malu untuk teruskan permainan selagi jersinya tidak ditukar. Apa, dia tak pernah tengok pemain antarabangsa teruskan permainan dengan kulit kepala terkoyak ke? Antara bentuk kerugian lain ialah, apabila dapat tendangan sudut, dibazirkan dengan tendangan yang tak naik, meleset dan membuang. Kemon la…harga but mahal kot. Kita ada pemain tinggi seperti Vila dan Neto, kenapa mereka tidak dijadikan target? Apapun kemasukan Durres, Aiman dan Danish sangat-sangat dinantikan dan menyuntik semangat serta corak yang lebih segar. Akhirnya kita berjaya mencuri 1 gol saat akhir melalui Igor.

Itulah, walaupun ini hal kecil-kecil, tapi sebagai pasukan yang tidak dianggap kuat, hal kecil inilah yang kita kena jaga. Hal taktikal, hal menentukan corak permainan mesti sama dengan latihan, hal memilih pemain dan macam-macam hal lagi. Bak kata pepatah Inggeris yang selalu Jang pegang, ermmm.. aiseh, tak ingat pulak. So, anyway, Jang tahu pemain telah beri 100% dan Jang tak salahkan pemain. Jang gembira lihat prospek muda seperti Durres, Aiman dan Danish. Peluang kita masih ada. Buktikan kepada Akmal Rizal yang ikat tepi peluang kita itu adalah salah.

Jangan cari salah sesiapa, regroup dan jika perlu aktiviti basuh Surau atau Rumah Kebajikan untuk buang ego serta merapatkan semula jalinan, sila buat atau belanja Jang percutian ke Terengganu pun ok. Jang tak pandai menolak atau banyak mintak. Hurmm

Jang,
Geram je dengan Akhmal Rizal ni.

kredit gambar; Utusan

Buapak Bolasepak Beradat