/PKNP FC 1-0 Negeri Sembilan (Matchday 1 Liga Super 2018)

PKNP FC 1-0 Negeri Sembilan (Matchday 1 Liga Super 2018)

Nismilan memulakan saingan Liga Super musim 2018 ini dengan kekalahan. Kekalahan itu pula adalah kepada lawan kita di saingan Liga Perdana musim lalu. Corak permainan yang tidak bertenaga juga ditonjolkan oleh pasukan Nismilan. Jadi, adakah kita sebagai penyokong harus comeh dan melontarkan kata-kata nista kepada pasukan?

 

Tenang anak muda! Tadi baru perlawanan sulung musim 2018. Perjalanan masih jauh, panjang dan berliku. Setidaknya, kekalahan tadi boleh dijadikan pengalaman berharga. Bak kata pepatah terkenal, “hero kalah dulu bro!“. Cuma den sedikit terkilan kerana penjaga gol PKNP FC tidak banyak diuji dalam perlawanan tadi. Selepas 92 minit masa perlawanan, barulah Nismilan membuat percubaan bahaya ke arah gol. 2 percubaan kena tiang dalam masa tak sampai 1 minit! Gila dan mendebarkan!

 

Semangat juang tinggi yang ditunjukkan di hujung perlawanan memang bagus. Ia menandakan pemain Nismilan tidak mudah putus asa dan mempunyai semangat mental yang kuat. Tetapi adalah lebih manis jika ianya dipamerkan sepanjang perlawanan. Tapi macam den cakap tadi la, baru perlawanan pertama. Enjin pun tak panas. Liga ni bukan perlumbaan pecut 100 meter, tetapi ianya sebuah marathon. Pasukan mana yang mampu mengekalkan momentum sehingga penghujung musim lah yang akan menjadi juara. Lihat saja 2 musim terakhir Nismilan, separuh pertama liga ibarat juara Piala Dunia. Tetapi separuh kedua liga kehilangan taring. Mahukah perkara sebegini berulang lagi? Pasti tidak!

 

Perkara kedua, rekod Nismilan dengan PKNP tahun lalu ternyata memihak kepada PKNP. Jadi, bukanlah sesuatu yang mustahil apabila PKNP menewaskan Nismilan dengan 1 gol. Walaupun mereka bermain dengan baik, tetapi penyudah mereka tidak lah begitu tajam. Cuma kelebihan mereka musim ini ialah beraksi pada waktu petang. Adalah menarik untuk menyaksikan jika ada pasukan gergasi yang akan kehilangan mata apabila bertemu PKNP nanti. Tambahan pula, PKNP memang menjalankan sesi latihan mereka pada 3.30 petang, jadi mereka memang sudah membiasakan diri dengan cuaca panas. Untuk ini, kita kena ucap tahniah kepada pengendalinya, Abu Bakar Fadzim kerana mengambil inisiatif sebegini.

 

Berbalik kepada pasukan Nismilan, den rasa Jorg masih mencari kesebelasan utama pasukan. Hanya Nasriq sahaja yang merupakan pemain daripada musim lepas yang berada dalam kesebelasan utama petang tadi. Den rasa untuk mencapai keputusan yang lebih baik, gabungan pemain musim lepas dengan pemain baharu diperlukan untuk perlawanan akan datang. Untuk Nasriq, harap-harap kecederaan yang dialaminya tidak serius dan lekas sembuh daripada kecederaan.

 

Oleh kerana inilah den tak berapa kisah Nismilan tumpas dalam perlawanan pertama tadi. Coaching staff dan pemain masih sempat melakukan perubahan untuk menempuh saingan liga. Bayangkan selepas 5 perlawanan, Nismilan berjaya menjumpai tonik dan ramuan terbaik untuk mencatat keputusan positif. Tidak mustahil kita akan kembali digeruni pasukan lain dalam Liga Super.

 

Berhubung gol yang dijaringkan oleh PKNP pula, barisan pertahanan Nismilan sedikit leka. Rata-rata penyokong termasuk pengulas perlawanan tadi mengatakan Rode gagal mengekang kemaraan Sokpheng. Namun jika dilihat semula menerusi ulang tayang, Rode cuba untuk membuat perangkap offside manakala Kalai pula tidak menyebabkan Sokpheng tadi berada dalam kedudukan onside sebelum dengan mudah menjaringkan gol tunggal perlawanan. Kesilapan sebegini den boleh terima hanya kerana musim baru bermula.

 

Apa pun, kita lupakan kekalahan tadi dan perlu fokus kepada perlawanan Rabu ini berdepan Kuala Lumpur di Paroi. Satu lagi pasukan daripada Liga Perdana musim lepas. Nismilan tidak lagi mampu untuk keciciran mata dalam perlawanan itu. Sekiranya gagal mengutip sebarang mata menentang 2 seteru Liga Perdana musim lalu, dikhuatiri moral pasukan akan rendah dan mengakibatkan kesukaran ketika menentang pasukan lain.

 

Jadi, bangkitlah pemain! Bangkitlah penyokong! Jadikan STAR Paroi sebagai kubu yang digeruni lawan. Ayuh kita penuhkan stadium Rabu ini! Fuh, menaik semangat bola sepak dan politik den secara tiba-tiba.

 

Sekian,

MUSUHNYA HABIS BINASA!

Kid.

 

Foto : Team N9FC