/Preview: Klopp Vs Mourinho

Preview: Klopp Vs Mourinho

Lepas solat Maghrib hari ini, perlawanan bola sepak paling penting akan berlangsung. Seluruh dunia pasti akan menumpukan pada perlawanan ini. Jika wujudnya makhluk di planet lain, mereka pasti tidak akan ketinggalan menyaksikan perlawanan penting ini. Liverpool menentang Manchester United. North West Derby!

 

Tom Bombadil dengan angkuhnya meramalkan keputusan akan memihak kepada Liverpool dengan jaringan 2-1. Apa tak tahu ke Liverpool telah bolos 12 gol? Jumlah gol terbanyak yang dilepaskan pasukan EPL setakat ini, berkongsi dengan Watford. Perlukah den bagitahu yang Manchester United merupakan pasukan kedua terbanyak dengan 21 gol, cuma 1 gol di belakang jiran kami yang dilabel sebagai bising itu? Nak den bagi statistik yang lain ke?

 

Namun kedua-dua pasukan akan turun tanpa beberapa tonggak masing-masing. Liverpool akan kehilangan Sadio Mane selama 6 minggu ekoran kecederaan hamstring. ‘Bintang pertahanan’, Dejan Lovren, Nathaniel Clyne dan Adam Lallana juga tidak akan diturunkan akibat kecederaan. Hmm, nampak sangat dah sediakan alasan untuk tewas kepada pasukan yang mampu mewakili bimasakti kita ini.

 

United pula ketiadaan bekas pemain termahal dunia, Paul Pogba yang turut alami kecederaan hamstring dan Marouanne Fellaini yang cedera lutut dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, baru-baru ini. Nampak? Tak ada pun dengar penyokong Red Devils bagi alasan pemain cedera lah, bermain di tempat lawan lah, kad merah lah, tak ada penyerang lah. Kalau ada, pasti mereka menyamar dan berpura-pura menyokong United kerana ingin merasai erti kemenangan sebenar!

 

Cuma ada 3 kemungkinan sahaja yang boleh membuatkan United tersungkur di Anfield malam ini:

  1. Rekod cemerlang Jurgen Klopp bertemu Jose Mourinho. Dalam 7 pertemuan sebelum ini, Klopp muncul pemenang sebanyak 3 kali berbanding Mourinho cuma 1 kemenangan. Sejak daripada Klopp mengendalikan Borussia Dortmund lagi, dia telah membuktikan kalibernya sebagai seorang pengurus pasukan yang bukan biasa-biasa.
  2. Stadium Anfield. Tidak dinafikan stadium ini mempunyai aura tersendiri. Kalau tidak, takkan lah Liverpool boleh menang sampai 5 European Cup/Champions League kan?
  3. Sengaja United bagi menang. Kalau tak bagi menang, nanti penyokong Liverpool nak bersorak apa pula musim ini? Macam pepatah orang putih, ‘They won the battle, but lost the war‘. Biar mereka menang perlawanan ini, tetapi United menang liga untuk kali ke-21 di penghujung musim (selalu sangat cerita pasal sejarah, kita pun up la pasal sejarah!). Baru lah kejam!

 

Kalau nak bercerita mengenai kemungkinan United untuk menang pula, memang sampai kiamat tak habis. Sebab apa? Sebab United power sampai kiamat.

 

Cuma, pastinya perlawanan malam ini tidak akan berkesudahan tanpa jaringan. Itu den yakin. Kerana jentera serangan United terlalu ampuh sehingga menjaringkan 4 gol dalam sebahagian besar perlawanan mereka. Ditambah pula dengan masalah pertahanan Liverpool yang diakui sendiri oleh Tom Bombadil dan juga Jurgen Klopp.

 

Tidak dinafi, jentera serangan Liverpool juga boleh tahan. Coutinho, Firminho, Salah. Tapi, mana ada penyokong United yang tidak yakin dengan keupayaan David De Gea untuk mengekalkan clean sheet kan? Antara penjaga gol terbaik dunia ketika ini. Tambahan pula, barisan pertahanan United tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan. Pasti gandingan back four paling mantap akan diturunkan oleh The Special One untuk mengekang asakan trio Liverpool.

 

Sudah lah. Cerita banyak-banyak pun tak guna. Kita tunggu dan lihat je keputusan perlawanan ini lepas Isya’ nanti.

 

P/S: Den ramalkan, United menang straight set 21-3 dan 21-4. Mudah!

*Gambar diperoleh daripada Stadium Astro.

Sekian,

Ingat #greatness, ingat Kid.

Kongsi artikel ini: