April 20, 2024

Rahsia Kemenangan Di Tangan Masyarakat Maya

3 min read

Rahsia alam ini adalah misteri. Dari sekecil zarah sehinggalah seluas semesta. Semua dijadikan oleh maha esa untuk dikaji dan diterokai. Manusia dianugerahkan otak untuk berfikir. Anggota badan sebagai alatan. Naluri sebagai panduan. Terserah kepada mereka cara untuk menggunakannya. Begitulah hukum alam dan juga bola sepak. Setiap sebab-sebab yang pernah berlaku, akan berlaku, tidak jangka berlaku semuanya adalah berlandaskan hukum alam.

Masyarakat Maya merupakan tamadun manusia purba yang telah lama hilang. Selain daripada kehebatan mereka dalam kepahlawanan dan mengumpul emas, mereka antara kaum yang paling awal mempelajari dan memahami tentang alam semesta. Mereka juga telah menghasilkan kalender yang agak tepat yang dikenali sebagai kalender Maya. Terdapat kontorversi dalam kalender mereka ini. Tarikh kalender tersebut berakhir pada 21 haribulan Disember tahun 2012 dan tiada sambungan. Ramai di antara kita yang percaya dunia akan berakhir pada waktu itu. Malah ada agamawan juga menyatakan benda sama walaupun dalam Al-Quran dengan jelas dinyatakan tarikh kiamat itu adalah rahsia tuhan. Jiwa manusia itu sentiasa mencari. Tidak pernah sabar dan berserah kepadaNya.

Orang Maya faham kejadian ini. Mereka tidak pernah mengatakan dunia akan akan berakhir pada tarikh tersebut. Hanya sekadar kiraan terhenti di situ sahaja. Ilmu-ilmu kejadian alam ini juga telah diaplikasikan dengan sukan oleh mereka. Contohnya dengan sukan terkenal pada zaman itu dikenali sebagai Maya Ballgame. Ianya memerlukan sebiji bola getah dan dua pasukan beradu. Setiap pasukan perlu menimbang bola tersebut ke gelung pihak lawan untuk menjaringkan gol. Bola tidak boleh mencecah tanah. Ada anggota badan tidak dibenarkan untuk menyentuh bola. Ada juga pengadil untuk mengawalnya. Hampir sama dengan konsep bola sepak bukan?

Namun permainan ini lebih bersifat keagamaan daripada aktiviti menghabiskan masa lapang. Ini kerana pada asalnya ia merupakan satu ritual untuk persembahan kepada tuhan mereka. Para saintis dan ilmuan percaya bahawa setiap pergerakan dan jaringan daripada permainan ini membawa maksud tertentu. Pihak kalah akan dipancung kepala mereka ketika puncak waktu perlawanan. Kepala mereka itu tadi akan digantikan dengan bola getah sebelum ini. Tanda simbolik kemenangan dan korban kepada tuhan mereka. Apabila tamat permainan ini maka lengkaplah putaran masa hikayat dunia. Dari sini datangnya kaitan dengan kalender mereka.

Pada hemat abang Tom konsep kitaran hayat bola sepak ini persis dengan kalender dan Maya Ballgame. Ada kitaranya. Tiada pasukan yang selamanya sentiasa berada di atas. Paling lama pun kita tahu hanya lapan tahun juara liga berturut-turut yang pernah dimenangi oleh Juventus dan Celtic. Kedua-dua pasukan ini pun pernah duduk di bawah. Tiada pasukan yang kekal selamanya. Begitu juga pasukan yang di bawah. Tidak akan selalunya di bawah roda. Jika pasukan itu mempunyai sejarah dan nilai adat yang tinggi. Dengan kesabaran memahami proses peralihan kitaran. Pastinya ia akan di persada liga semula. Tiada yang kekal.Tiada kedudukan yang konkrit.

Seperti Maya Ballgame, setiap putaran kalender itu perlu dihadapi setiap pasukan yang sedang jatuh. Adakala kita di atas ada kala kita di bawah. Pada di bawah mereka perlu mengorbankan sesuatu untuk menjadikan kitaran alam semesta bermula semula. Dengan cara apa pengorbanan itu bergantunglah kepada persatuan dan penyokong bola sepak mereka sendiri. Tidak perlu lah memenggal kepala seperti masyarakat Maya. Percaya pada proses kitaran. Setelah semuanya berlaku. Penyokong, pemain dan persatuan perlu bersama percaya dengan hari kebangkitan. Barulah roda itu kembali berpusing ke atas. Keagungan hukum alam akan sentiasa benar.

P/S: Real juga abang Tom merepek pasal bola dan tamadun Maya ni.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.