April 26, 2024

#RespectMYCEO : Fahrizal, teruskan perjuangan!

3 min read

Jang melihat kemelut dan tekanan yang diterima atas batu jemala CEO Pahang FC adalah satu petanda positif bolasepak tempatan. Apabila penyokong tidak sabar – ianya satu tanda positif bahawa mereka ambil peduli pasukan sendiri. Penyokong memberi tekanan – ianya satu petanda mereka tidak sanggup melihat pasukan mereka dikalahkan lawan. Prestasi Pahang FC merudum – ianya satu petanda liga kita dipenuhi pasukan yang kompetitif dan sentiasa bersaing untuk kemenangan. Jika pasukan itu tidak cukup persediaan, samada pemain atau kemudahan, maka pasukan itu akan cepat ketinggalan.

Sekali imbas, Jang lihat (selain logo) karekter ini ada pada pasukan dan penyokong Liverpool juga sebenarnya. Tapi bab persamaan dengan penyokong Liverpool itu Jang akan ulas kemudian hari. Sementara itu kita baca surat kedua dari Pepol Zainuddin yang masih marah tetapi sayang pada CEO kita..

GAJAH TAKDA TUAN – Pepol Zainuddin

“Sekali layar sudah dikembangkan,
Apabila sauh sudah dinaikkan,
Pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik laluan”

Keputusan CEO Pahang FC, saudara Fahrizal Hassan untuk melepaskan jawatannya menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan pelbagai pihak. Ada yang bersetuju, tidak bersetuju dan juga tidak ambil tahu. Bacaan di website Goa.com edisi Malaysia memaparkan satu artikel mengatakan bola sepak Malaysia kerugian kerana kehilangan seorang pemimpin muda. Kita sedia maklum persatuan-persatuan bola sepak di Malaysia dipenuhi oleh pemimpin-pemimpin yang berusia. Mereka ini menjawat jawatan atas pelbagai sebab tertentu yang kita semua sedia maklum.

Berbalik kepada perletakan jawatan CEO Pahang FC yang diumumkan pada pagi Ahad lepas. Sejujurnya, saya lebih selesa jika beliau tidak meletakkan jawatan dan terus memegang jawatan tersebut. Seperti kata pepatah yang saya sertakan di awal artikel ini tadi, selayaknya begitulah peranan seorang nakhoda, beliau yang memulakan, beliau jugalah yang harus menoktahkannya dengan cerita kejayaan.

Satu mata daripada empat perlawanan pertama Liga Super dan tersingkir di pusingan ketiga Piala FA kepada pasukan yang baru turun liga bukanlah satu DNA yang diingini oleh para penyokong Pahang. Keresahan dan kegelisahan mula menyelubungi para penyokong yang merasakan pasukan mereka sedang menuju ke arah yang salah. Mereka mula tidak hadir ke stadium kerana berpendapat pasukan kesayangan mereka sedang musnah di tangan orang-orang yan memekakkan telinga dari mendengar tetapi mahu duit tiket dari mereka. PBNP hanya galak melancarkan hashtag demi hashtag, antaranya PFC Connect yang dikatakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara penyokong, pasukan dan juga pihak pengurusan.

Lihat sahaja isu penukaran logo baru pasukan. Majoriti para penyokong tidak bersetuju dengan logo baru yang disifatkan tidak ada keaslian, tangkat muat dan tidak bernilai. Malah, dalam sesetengah keadaan, logo ini juga kelihatan tidak praktikal. Ia boleh dilihat di dalam paparan montaj televisyen di mana stesen penyiar juga kadang-kadang keliru samada mahu letak background berwarna hitam atau tidak. Digembar-digemburkan juga sebelum ini bahawa tujuan logo yang cukup ringkas ini dipilih adalah untuk memudahkan ia dicetak di atas barangan/merchandise pasukan. Apakah merchandise itu sudah dikeluarkan?

Melihat kepada masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh Pahang FC ketika ini, apa yang perlu dilakukan oleh CEO bukanlah meletakkan jawatan. Sebaliknya, adakanlah satu sesi terbuka bersama para penyokong untuk memperjelaskan segala masalah dan halatuju Pahang FC. Gunakan sesi terbuka ini untuk mengumpul input-input yang diutarakan oleh wakil-wakil penyokong untuk kebaikan pasukan. Terlalu banyak perkara untuk dibincangkan secara bersama. Perlukah jurulatih ditukar, perlukah pemain import diganti, pinjam/beli pemain tempatan dari pasukan lain atau panggil semula bekas pemain import musim lepas.

Baru empat perlawanan liga diharungi dan masih berbaki lapan belas perlawanan yang bermakna, ruang untuk memperbaiki keadaan masih terbuka luas. Ketika di puncak kejayaan dulu, penyokong pernah memenuhkan stadium dan menjadi pemain kedua belas pasukan. Kini, ketika pasukan diselubungi kegagalan, para penyokong boleh membantu dengan memberikan idea-idea terbaik bagi memulihkan pasukan. Tingkap perpindahan kedua yang bermula Jun nanti mungkin boleh menjadi titik tolak perubahan untuk melihat pasukan Pahang FC berada di kedudukan yang lebih dihormati. Dan jika pengenalan logo baru Pahang FC itu menyebabkan para penyokong berpecah-belah, pertimbangkanlah kembali keputusan itu. Mungkin hadiah perpisahan terbaik dari tuan CEO sebelum mengundurkan diri adalah mengembalikan logo keramat Pahang FA sebelum ini. Akhir kata buat penyokong pasukan Pahang:

“Walau logo tidak ori,
Walau penaja tidak sudi,
Pasukan Pahang tetap di hati”

– Pepol Zainuddin, Pahang Darul Makmur.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.