/RHINO SEA sah jadi penaja rasmi jersi Negeri Sembilan

RHINO SEA sah jadi penaja rasmi jersi Negeri Sembilan

Jodoh ini sesuatu yang misteri dan kadang-kadang tak terduga dek akal kita. Ada orang cepat bertemu jodoh dan ada yang lewat tetapi sedia maklum kesemuanya adalah ketentuan Yang Maha Esa. Jodoh juga tidak menunggu orang dan tidak datang bergolek dengan sendirinya. Ianya mesti dicari dan diusahakan agar ianya benar-benar kuat dan berkekalan. Kalau dah jodoh kita dengan gadis Inggeris, tentulah kerana kita ini lelaki budiman.

Petang semalam, Jang diberi nikmat melihat keindahan pertemuan jodoh dalam satu majlis memeterai tajaan diantara Rhino Southeast Asia (Rhino SEA) bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS). Tanpa disangka, pasukan kita akan ditaja oleh satu jenama hebat yang berpengkalan di UK. Lebih menarik, Negeri Sembilan adalah satu-satunya pasukan yang mendapat penajaan pertama Rhino dalam negara ASEAN. Untuk rekod, selain UK dan Negeri Sembilan, Rhino sebelum ini hanya bertapak di Jepun, Australia dan China.

Hmmm..mahal betul ayat ‘selain UK dan Negeri Sembilan’ tu.

Tahukah anda, jumlah keseluruhan penajaan Rhino ini bernilai RM 2 juta! 

Penajaan kali ini dilihat sangat menyeluruh, komited dan bernilai besar kerana ianya bukan hanya melibatkan satu set jersi sahaja tetapi lengkap dengan kit latihan, pakaian kasual, bola dan berbagai lagi untuk kegunaan pasukan utama, pasukan Presiden, Belia sehingga ke Akademi Za’ba dan program pembangunan Soccer Kids PBNS. Sedondonlah gitu pemain bola sepak kita nanti. Bila penampilan dah segak, tentulah mendambakan aksi yang hebat juga. Ini bersesuaian dengan reputasi Rhino sebagai jenama sukan dari United Kingdom yang telah menempa nama diperingkat antarabangsa sebagai pengeluar kit latihan dan taktikal ragbi no.1 DUNIAWI (jersi ragbi no. 3 dunia)

Maknanya bukan calang-calang la jersi kita itu nanti. Macamana rupa jersi itu, Jang sendiri belum dapat melihatnya kerana masih rahsia. Cun ke? Baik ke kualiti dia? Tapi fikir-fikir kembali, jika kualiti jersi ragbi dunia diambil kira, sudah tentu jersi kita kali ini punya kecantikan dalam kekuatan.

Apa kata kalau kita lihat sama-sama dalam satu majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain yang akan diadakan di Pasaraya Mydin Seremban 2, pada hari Ahad, 27 Januari 2019 jam 2 petang nanti. Bawak semua ahli keluarga dan orang kampung turun. Ada penampilan artis Waris dan artis hip hop cun, Zizi Kirana. Jang dengar dia pakai seluar pendek! (Waris la)

Jang harap jodoh Negeri Sembilan dan Rhino berpanjangan dan berlangsung dalam suasana harmoni. Adat bermain di Liga Perdana, adakala kita menang, adakala kita kecewa, namun itu semua asam garam ‘berumahtangga’. Kepada semua penyokong setia Negeri Sembilan, kita jadikan penajaan ini satu pemangkin kepada kita untuk terus memberi sokongan padu kepada pasukan.

Hobin Jang Hobin!