/Sejarah Piala HMS Malaya untuk #MISI19 Selangor

Sejarah Piala HMS Malaya untuk #MISI19 Selangor

Setelah hampir pasti tiada artikel balas dari kem Selangor mengenai kedudukan terkini pengiraan kejuaraan Piala Malaysia mereka, Professor DiRaja Han Oryza menjelaskan sekali lagi rasionalisasi beliau mengenai kejuaraan piala lain yang turut dipetik dan dibuat perbandingan oleh ramai pengkritik bolasepak yang membaca artikel beliau sebelum ini.

Walaupun Jang yakin, ada diantara pengkritik yang menyelar artikel tersebut masih belum khatam lagi hal Piala Malaysia tetapi telah memetik nama Jules Rimet sebagai perbandingan, tapi sebagai website bola yang bertanggungjawab, Jang siarkan penjelasan Han Oryza tentang perkara tersebut. Bacalah…

RASIONALISASI #MISI19

Selangor menang 33 kali atau tidak, itulah polemik yang cuba saya bangkitkan secara provokatif bersesuaian dasar Ultrajang selaku polis bola sepak dunia dengan slogan ‘Bola Sepak dari Sudut Sukar’. Seperkara lagi, apakah itu ‘Bola Sepak dari Sudut Sukar’ sebenarnya? Apakah sekadar membuat perbandingan secara langsung pertukaran trofi Piala Malaya – HMS Malaya – Malaysia, dengan trofi Jules Rimet – FIFA World Cup? Atau penjenamaan semula Piala Eropah kepada CL? Atau penaiktarafan Liga Bola Sepak Divisyen Satu kepada Liga Perdana Inggeris (EPL)?

Di sebalik keracauan yang berlaku, nampaknya misi artikel itu tercapai, yakni membuatkan ramai pembaca mula menyemak semula perihal sejarah bola sepak dunia, dan pasti tidak kurang pula yang menggali hikayat bola sepak Selangor khususnya. Baguslah, bukankah bola sepak itu patut diraikan?

Tapi sayang, belum ada artikel balas untuk menjawab fakta dan hujah yang diberikan. Layak atau tidak Selangor berbangga dengan Misi-33? Atau sekadar angka untuk menunjukkan betapa bermimpinya pasukan lain untuk menandingi si Gergasi Merah?

Begini,

Tentang Liga Juara-Juara (CL);

Kejuaraan bola sepak antara kelab-kelab Eropah di bawah UEFA secara rasmi diasaskan pada 1955 dengan nama Piala Eropah dan dijenamakan semula pada 1992 sebagai CL.
Kalau menggunakan teori ‘rebrand’ secara harfiah seperti yang dimaksudkan sesetengah pembaca dengan tujuan menafikan fakta Piala Malaya-HMS Malaya-Malaysia, ramai menyelar dan mengejek; kalau CL dikira dari 1992, gelaran La Decima yang dibanggakan Real Madrid itu itu tak terpakailah ye; Liverpool kira sekali menang sajalah ye.

Tapi, mari kita lihat fakta dari sudut sukar. Piala Eropah (atau CL) edisi pertama 1955-56 diwakili 16 kelab bola sepak Eropah yang sudah ditubuhkan sama ada pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19. Pasukan paling muda, Gwardia Warszawa dari Poland diasaskan pada 1948, yakni sudah 8 tahun bermain bola secara kompetitif sebelum menyertai Piala Eropah pertama.

Real Madrid ‎sendiri sudah lebih 50 tahun (sejak 1902) bergelumang dalam bola sepak domestik sebelum menjulang Piala Eropah pertama mereka. Malah, skuad 1956 mereka dianggotai 100 peratus warga Sepanyol, termasuk dua 2 penyerang dengan dua kerakyatan. Lawan mereka pada final tahun itu, Stade De Reims dibarisi 100 peratus warga Perancis tulen!

Tentang Piala Dunia;‎

Trofi pertama Piala Dunia sejak 1930 dinamakan ‘Victory’ sebelum dijenamakan semula sebagai ‘Jules Rimet’ pada 1946 (selepas 16 tahun atau 3 edisi) sebagai penghormatan kepada Presiden FIFA yang bertanggungjawab dalam penubuhan Piala Dunia. Cuma nama yang berubah, trofinya masih sama – Jules Rimet.

Trofi itu, yang berbentuk figura dewi Yunani bersayap bernama Nike, kemudiannya digantikan trofi serba baharu, dinamakan Piala Dunia FIFA dan diperkenalkan pada 1974 dengan rekabentuk dua figura manusia sedang menopang dunia. Mungkin disebabkan merajuk, trofi Jules Rimet merelakan dirinya dicuri buat kali kedua (kali pertama pada1966) pada 1983 dan langsung tidak ditemui sampai sekarang, dipercayai dileburkan dan dijual.

Namun, nama baru atau lama, trofi baru atau lama, itu bukanlah isu pokok dan cuma aspek materi semata-mata. Biarlah piala berganti setiap edisi sekali pun. Ini kerana sistem kejuaraan Piala Dunia yang ‎diasaskan secara rasmi di bawah FIFA pada 1930 ialah pertandingan bola sepak antarabangsa membabitkan wakil persatuan bola sepak setiap negara yang diiktiraf.

Jika pasukan itu terdiri daripada kru kapal sekalipun, mereka mestilah berada di bawah persatuan bola sepak negara masing-masing jika mahu membawa label pasukan negara yang diwakilinya. Inilah perkara teknikal dan tradisi Piala Dunia yang tidak berubah.

Contohnya, pemenang edisi pertama Piala Dunia, Uruguay sudah mengasaskan Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) sejak 1900 dan bersekutu dengan FIFA pada 1923, iaitu 7 tahun sebelum Piala Dunia 1930.

Piala Dunia 1938 sedikit kontroversi. Selain Jerman yang turun di bawah bendera Nazi, tiba-tiba muncul pasukan bukan negara, koloni Hindia Timur Belanda yang kononnya mewakili Indonesia di bawah seliaan Nederlandsch Indische Voetbal Unie (NIVU).

Indonesia sebenarnya mahu menghantar pasukan di bawah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang ditubuhkan pada 1930. Tetapi, FIFA cuma mengiktiraf badan kerjasama antara PSSI dan NIVU disebabkan status kemerdekaan Indonesia. Sudahnya, Indonesia tampil ke Piala Dunia dengan pemain, nama dan bendera penjajah. Kesal dengan insiden tersebut Ketua Umum PSSI, Soeratin Sosrosoegondo memutuskan hubungannya dengan NIVU.

Kini, rekod layak ke Piala Dunia 1938 sedia tercatat dalam sejarah bola sepak Indonesia. Namun, Indonesia sama sekali tidak berbangga dan bersorak tidak tentu hala dengan sejarah itu sebagai pencapaian terbaik bola sepak mereka meskipun ada rakyatnya (cuma 4 pemain pribumi) menjadi wakil koloni ke kejohanan tersebut. Kenapa? Ini kerana Hindia Timur Belanda tidak pernah mewakili anak watan Indonesia.

Liga Inggeris?

Ya, Liverpool memegang rekod 18 kali dan Manchester United, 20 kali jika mengambil kira status liga paling atas di England yang dijuarai mereka pada sesuatu era tersebut.

Namun, pengulas, penganalisis dan penulis bola sepak di Britain selalu juga menyebut Liverpool sebagai pasukan yang tidak pernah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL). Yang selalu bersorak dan emosional itu ialah penyokong mereka sajalah.

Namun, pemain Liverpool pada era kemenangan mereka lama dulu masih lagi diwakili majoriti pemain Inggeris. Perlu diingatkan, polisi kelab membenarkan pemain import bermain. Jadi, kejuaraan 18 kali Liverpool tetap kemenangan tulen dan layak dibanggakan juga walaupun kerap disindir penyokong-penyokong lawan sebagai kelab sandarkan kepada kenangan.

Bagaimana pula Selangor?

Jom kita lihat senarai pemain Selangor ketika edisi pertama Piala Malaya 1921:
Bryce, Salleh, Davidson, Corbett, Keng Khooi, Chye Hock, Meow Cheong, Huggins, Wilkins dan Rozario.

Soalan saya, siapakah mereka ini? Kecuali Salleh, apakah pemain lain ialah anak watan Selangor tulen? Atau pemain import yang dibayar Persatuan Bola Sepak Selangor? Tidakkah mereka semua orang Inggeris dan imigran yang dibawa koloni British? Layakkah mereka mewakili Selangor atau sekadar wakil kru kapal koloni di Selangor?

Mari kita baca surat yang dihantar Kapten Percy M R Royds dari kapal HMS Malaya kepada Ketua Setiausaha kepada Kerajaan Malaya pada 2 Oktober 1921;

“The two cups for your football competitions were forwarded early last month and it is hoped that they will not only prove a great incentive in the furtherance of football of both codes in Malaya, but also be a reminder of this ship and the happy times and festives gathering that our officers and men had with you during the ship’s visit to the States.”

Ada 3 kata kunci penting: Reminder, Happy Times dan Gathering.

Soalan saya;
1. Benarkah Piala Malaya-HMS Malaya mewakili kejohanan bola sepak warga Malaya ketika itu?
2. Bilakah Persatuan Bola Sepak Selangor diasaskan?
3. ‎Wajarkah Misi-33 dirasionalisasikan dan dipertikaikan semula?

Ya, Selangor boleh saja kekalkan angka itu dalam lipatan sejarah bola sepak mereka. Tetapi, pengulas, penganalisis, pemerhati, dan peminat bola sepak se-Malaysia wajib diingatkan dengan fakta sebenar bola sepak negara. Mereka patut menyebut dan mengulang-ulang kisah sejarah sebenar, di mana tiada mana-mana pasukan negeri yang dominan di Malaysia sejak penduduk Malaya pandai bermain bola.

Jadi, jika bukan Piala Malaya-HMS Malaya, apakah kejohanan bola sepak sebenar yang mewakili penduduk Tanah Melayu-Malaya pra merdeka? Apakah masih lagi Selangor pasukan paling hebat di Malaya?

Jeng jeng jeng.

-Professor DiRaja Han Oryza-