April 26, 2024

Selamat Malam Liga Super !

2 min read

Tiada ungkapan paling tepat selain “Selamat Malam Liga Super” untuk menjadi penutup Liga Super di Paroi malam ini. Ungkapan daripada SGSA ini abang Tom ambil sebagai rumusan jalan hidup pasukan Negeri Sembilan di Liga Super 2018 . Maruah persatuan, pegawai-pegawai, pemain-pemain dan penyokong-penyokong seolah olah dihiris tanpa rasa belas kasihan oleh Melaka United (Nama seakan Manchester United menambah perit terhadap hati abang Tom). Usah menuding jari, semua kita tetap merasakan malu itu walaupun cuba dilepaskan dengan makian dan cacian. Tiada lagi kambing hitam yang boleh kita sabitkan dengan nasib malang ini. Jika ada pun apa gunanya?

Kehadiran abang Tom dan penyokong-penyokong pada malam ini tidak ubah seperti seorang pemuda kampung menghantar buah hatinya di stesen bas untuk menyambung pelajaran di ibu kota. Walaupun beliau tahu keayuan buah hatinya bakal dirampas oleh pemuda kota suatu hari nanti, namun beliau masih mengharapkan nasib menyebelahinya. Itulah yang mampu dilakukan penyokong setia. Secara zahirnya mereka tahu akan menemui kebuntuan namun mereka tetap meneruskan perjalanan.

Gol terakhir daripada Junior Beck Flavio tadi lebih kepada rasa kelegaan daripada kegembiraan. Riak mukanya seolah olah ingin mengatakan “I’m finished with this” selepas menjaringkan gol tunggal Negeri Sembilan di waktu kecederaan. Tiada sambutan daripada rakan-rakan dan penyokong-penyokong walaupun abang Tom tidak nafikan ada yang bermain bermati-matian seperti Thanabalan. Mungkin perlawanan malam ini cara masing-masing ingin mengucapkan selamat jalan kepada Negeri Sembilan baik pemain malah penyokong. Sangat muram suasana di Paroi.

Di samping ini juga abang Tom ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong Negeri Sembilan, persatuan penyokong seperti N9Futbol, Ultras Negeri Sembilan, Seberang Grand Stand Atas dan lain-lain yang tidak pernah berhenti menyokong dan mengkritik pasukan Negeri Sembilan dari mula sampai habis. Penyokong adalah tunjang sebenar pasukan bola sepak bukan persatuan dan pemain. Namun, tidak adil juga jika kita tak ucapkan terima kasih kepada pemain-pemain dan barisan jurulatih. Abang Tom yakin tiada pemain yang tak mahu menang. Cuma mungkin usaha mereka tidak mencapai taraf yang sepatutnya. We go again skuad Jang. Tahun dopan ado lai walaupun hanya Liga Perdana.

Habis sudah semua makian. Kebah sudah semua kekecewaan. Jalan yang berliku telah kita pilih. Sudah-sudahlah kita merintih. Teruskan menyokong waris sekalian di Liga Perdana nanti. Jadilah penyokong yang tidak pernah mengalah. Bukan di padang dan teres batuan. Tapi di hati nurani penyokong Negeri Sembilan. Assalamualaikum. Selamat malam Liga Super.

P/S: Betulkah banner Selamat Malam Liga Super SGSA dirampas pihak FMLLP untuk dibuat kajian kesaktiannya?

– Tom Bombadil, pencuri banner separuh masa –

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.