/Semua orang pandai merancang tapi bangang melaksanakan

Semua orang pandai merancang tapi bangang melaksanakan

Jang banyak terlepas menulis artikel kerana faktor masa. Rasanya tak kurang 4 ke 5 artikel yang Jang rasa wajib untuk diulas, tetapi tidak berkesempatan. Selepas terlewat 2,3 hari, Jang jadi tawar hati nak menulis kerana bisa ‘story’ tu dah hilang. Akibatnya Jang berhutang cerita. Ada juga peminat menghantar emel untuk disiarkan artikel, tetapi faktor masa sekali lagi melambatkan artikel itu untuk dimuatnaik.

Oklah, alasan je semua tu.

Jang naikkan satu artikel yang Jang terlepas pandang di emel hal bola sepak Malaysia yang tewas kepada Timnas Indon minggu lepas, tulisan Zaim Ramli. Enjoy!

Luka Lama Berdarah Kembali.

Bayangkan, pasukan kebangsaan kita berada dalam kalangan ranking 50 tertinggi di dunia. Bayangkan, skuad remaja kita baru sahaja pulang dari Rio de Janeiro usai memenangi pingat emas olimpik pertama buat negara. Bayangkan, beberapa orang pemain skuad kebangsaan kita sedang beraksi di liga-liga utama Eropah. Bayangkan, jurulatih pasukan kebangsaan kita adalah bekas pengurus pasukan juara dunia. Bayangkan, presiden persatuan bola sepak kita sedang berusaha untuk membida hak menganjurkan Piala Dunia.

Anda sedang menghisap ganja jika berjaya membayangkan perkara-perkara tersebut.

Tiga-kosong. Tiga-kosong jika dalam sebuah perlawanan bola sepak sudah boleh dianggap menang besar, menang mudah atau menang bergaya dan sudah pastilah bukan menang nasib.
Pasukan yang kalah pula boleh dianggap kalah besar, kalah mudah atau kalah teruk dan sudah pastilah bukan kalah bermaruah. Kalah bermaruah apa benda kepada pasukan yang baru selesai menjalani hukuman gantung?

Tidak ada istilah menang nasib mahupun kalah bermaruah dalam hal ini.

Dua jaringan mudah timnas Indonesia hasil kemusibatan pemain kita sendiri sudah cukup menceritakan segalanya. Mengapa dihukum penyokong dengan melakukan “chance created” kepada pihak lawan? Apakah salah dan dosa peminat sampai diperlakukan sebegini rupa?Kegagalan demi kegagalan, pergolakan demi pergolakan, kemelut demi kemelut, skandal demi skandal, sudahnya kita masih di tahap yang sama.

Tidak ada seorang pun peminat di negara kita yang mengharapkan pasukan kita kalah walaupun mereka tahu kegagalan itu sudah terlalu sinonim dengan pasukan kebangsaan. Di manakah salah dan silapnya? Salah persatuan? Tuan Presiden? Setiausaha Agung? Exco-Exco? Menteri Belia dan Sukan? Pengurus? Jurulatih? Pemain? Pemain yang sudah bersara? Penjual bruger stadium? Atau peminat sendiri?

Terlalu banyak perancangan dari perlaksanaan. 

Media mewar-warkan itu, ini. Kenyataan itu, kenyataan ini. Cadangan itu, cadangan ini yang datang dari mulut ‘orang-orang penting’. Orang-orang yang berpengaruh khabarnya dalam persatuan. Mahu bangunkan itu, mahu dirikan ini. Mahu perbaiki itu, mahu perbetulkan ini. Berjuta-juta perancangan namun gagal. Malah, lebih teruk lagi, bukan gagal dalam tempoh perlaksanaan sebaliknya gagal kerana langsung tidak terlaksana!

Andai Datuk Ong Kim Swee disingkirkan, mungkin ada yang menganggap ia perkhabaran gembira. Pasukan akan beroleh jurulatih baharu yang mungkin lebih pakar merencanakan taktikal untuk setidak-tidaknya tidak kalah kepada timnas Indonesia lagi,atau membuli pasukan Thailand misalnya. Lalu khabar angin bertiup kencang. Sekencang monsun bulan Disember. Ceritanya, jurulatih baharu itu bekas pemenang Piala Dunia 1998 dahulu. Bekas pemain pertahanan tengah yang cukup kental. Mungkin mampu memberikan asuhan terbaik buat pemain bek mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan cara dan arah yang betul.

Maka, peminat sudah mula membayangkan yang indah-indah akan berlaku kepada pasukan kebangsaan. Ada sinar yang bakal terbit menerangi kesuraman. Peminat sudah mula berangan yang selepas ini kita akan jadikan timnas Indonesia sebagai pasukan belasahan. Keyakinan mula menebal bila mulut ‘orang-orang penting’ menyenaraikan beberapa nama dari Eropah atau Latin yang berpotensi untuk mengisi kekosongan tersebut.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Dan langit bola sepak negara kita memang selalunya tidak pernah cerah! ‘Orang-orang penting’ kembali bersuara. Kata mereka, tidak perlu mengambil orang asing menjadi jurulatih. Lebih baik gunakan jurulatih tempatan kerana mereka lebih arif tentang bola sepak tempatan. Persatuan sebulat suara mengumumkan Zainal Abidin Hassan sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan memandangkan beliau juga sedang tidak ada kerja. Melatih tidak, jadi juri program realiti pun tidak.

Justeru, apakah salah dan dosa peminat sehingga dipermainkan sebegini rupa? Ini adalah andaian semata-mata berdasarkan kisah-kisah terdahulu. Dan ia kelihatan berpotensi untuk diulang menjadi realiti sekali lagi. Untuk menjadi peminat yang lebih realistik tanpa menidakkan cinta kepada bola sepak, kita tidak boleh terus mengharapkan yang baik-baik berlaku kepada arena bola sepak buat masa sekarang. Kerana ‘orang-orang penting’ itu akan terus gembira sekiranya kita meletakkan sepenuh harapan kepada mereka. Itulah dosa kita sebagai peminat.

Sebaliknya, teruskan mendesak agar ‘orang-orang penting’ ini benar-benar sedar akan dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini lalu berundur dari persatuan untuk bertaubat menebus dosa-dosa lampau. Jangan berhenti cintakan bola sepak negara dan jangan berhenti memaki sesiapa sahaja yang terang-terang membuat salah.

P/s: Kita tidak perlu menjadi pemain bola untuk memaki cara permainan mereka sepertimana kita tidak perlu menjadi Perdana Menteri untuk kita memaki beliau – seperti yang selalu kita buat di ruangan komentar akaun Faceebok beliau.

oleh Zaim Ramli.