/Siapa bersalah mencalar maruah dan melemaskan pengadil kita?

Siapa bersalah mencalar maruah dan melemaskan pengadil kita?

Tidak dinafikan pengadil Jepun, Takuto Okabe memberi persembahan bermutu sebagai pengadil perlawanan akhir Piala FA semalam. Beliau dibantu oleh dua penjaga garisan, juga dterbangkan khas dari Jepun, dalam usaha MFL memberikan kepuasan kepada semua lapisan pencinta bola sepak tempatan. Dari pemerhatian dan pembacaan Jang, rata-rata penyokong bola sepak memberi komen puashati dan memuji mutu pengadilan yang ditunjukkan oleh pengadil import ini.

Umpamanya, kita ini macam generasi sekaranglah, bila buka Family Mart, berebut dan beratur pergi beli barang. Teruja dan rasa sangat bertamadun. Langsung tak jaga hati 7Eleven, kedai runcit Pak Abu dan mini market Ah Seng.  Walhal konsep dan susun atur barang lebih kurang sama sahaja.

Walau pahit, Jang telan jua hakikat penerimaan dan perbezaan pengadil tempatan berbanding pengadil Jepun. Namun, tidaklah sekali-kali Jang menelannya tanpa mengunyah halus agar mudah dihadam perut. Tidak lena tidur malam Jang mengenangkan senario ini;- memuji pengadil Jepun bererti kita bersetuju sebulat suara bahawa pengadil kita lemah, tidak tegas dan tidak bermutu. Ini secara langsung memberi isyarat jelas bahawa, dari segi pengadilan, bola sepak kita telah statik atau mengundur kebelakang. Langkah mengambil pengadil luar adalah jalan keluar yang bersifat mudah, sementara dan segera.

Sebagai pemikir bermaruah bola sepak tempatan (yelah, yelah, yelahhh!) Jang menggariskan sedikit punca atau kesan yang mengundang kemelut pengadilan ini. Bagaimana ianya bermula, apa kesan dari tingkah laku orang kenamaan/ penting dan kenyataan media seterusnya dari pemain dan penyokong bola sepak kita keseluruhannya. Sekali lagi, ianya bukan roket sains, bukan kesusasteraan klasik dan bukan kajian alam yang kompleks. Seperti permasalahan lain, ianya adalah berpunca dari sikap

  1. Mutu pengadilan kita lemah apabila kita sendiri sudah menganggap pengadil kita lemah. Mindset kita sudah digasak dan diasapkan 40 hari, 40 malam dengan satu stigma bahawa pengadil kita tidak tegas, lemah, membuat keputusan tidak tepat dan tidak professional. Pengadil kita mengalami kesukaran melakukan kerja apabila KEPERCAYAN kepada merela telah terhakis sebelum memasuki padang lagi.
  2. Pemain kita suka menganggap mereka betul melalui pemandangan mereka sedangkan pengadil melihat sesuatu kejadian itu melalui pengetahuan mereka tentang pengadilan. Pandangan pengadil yang telah menghadiri kursus pengadilan dengan pemain yang sedang emosi sentiasa bercanggah dan tidak ngam. Pemain harus diajar agar tidak membantah secara keras dan berterusan terhadap keputusan pengadil kerana sikap suka membantah ini adalah sikap orang singkat akal yang tidak diajar rasa hormat.
  3. Orang-orang penting seperti Presiden, bekas pemain atau mana-mana VVIP suka membuat kenyataan tentang sesuatu hal yang kontroversi dari satu keputusan pengadilan. Walaupun mereka berhak untuk membuat ulasan atau bercakap tentang sesuatu yang tidak memuaskan hati mereka, tetapi mereka mesti ingat, kenyataan mereka mempunyai pemberat dan mampu memberi impak negatif kepada keseluruhan imej pengadil di Malaysia.
  4. Media juga patut memainkan peranan mengangkat maruah dan mutu pengadil tempatan, bukan berdiam diri melihat pengadil tempatan dilemaskan.
  5. Pengadil juga perlu menilai sendiri kelemahan mereka dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan mutu pengadilan. Mereka perlu terus meningkatkan kredibiliti mereka dan membuktikannya diatas padang. Kita bukan tidak pernah mempunyai pengadil yang hebat sebelum ini. Jadi pemilihan untuk menjadi pengadil mestilah telus dan berwibawa semenjak awal lagi demi menjaga imej pengadil itu sendiri.
  6. Penganjur liga dan persatuan bola sepatutnya mengutamakan dan terus mempromosi pengadil tempatan.
  7. Jang sentiasa betul.
  8. Penyokong kalau pengadil buat silap, memang tak boleh nak ejas lagi dah. Memang berbakul la maki hamun keluar. Jang cuma terfikir, jika pengadil Jepun buat satu keputusan yang tidak tepat, nescaya mereka juga akan dihamun kerana jika tidak, maka kita bersikap pilih kasih dan rasis kepada pengadil tempatan.

Jika kita perhatikan, mutu pengadilan dalam semua liga didunia ini tidaklah sempurna dan sentiasa dipertikai. Tidak ada liga yang mempunya pengadil sempurna kerana fitrah manusia memang akan melakukan kesilapan. Itu sebab dicipta teknologi VAR untuk membantu pengadil dalam membuat keputusan. Membezakan kelemahan pengadil diluar dan disini ialah bagaimana sikap kita menerima kesilapan itu.

Gaya Takuto Okabe mengawal pelawanan akhir Piala FA 2019 tidaklah jauh sangat bezanya dengan pengadil tempatan. Memudahkan lagi tugas beliau malam itu ialah mindset kita yang telah menganggap beliau dan pengadil dari luar adalah bagus dan berwibawa. Jadi segala keputusan beliau dilihat bijaksana dan bermaruah. Malah, bunyi tiupan wisel beliau juga dikatakan lebih merdu dan lunak mendengarnya. Ya, mindset. Apapun, ada eloknya juga sesekali kita bawa pengadil luar untuk memberi pelajaran dan pengajaran kepada kita.

Kita boleh mengembalikan semula maruah pengadil tempatan yang tercalar dalam episod import pengadil ini dengan mula mengubah sikap kita terhadap pengadil tempatan. Beri mereka muka sikit laaaaa. Kalau kita tak beri muka pada pengadil kita, jangan marah kalau bookie yang beri mereka rasa hormat dan diperlukan.

Jang,
Adil, bijaksana dan bermaruah.

Buapak Bolasepak Beradat