/Siapa kata mengkritik Harimau Malaya satu kesalahan?

Siapa kata mengkritik Harimau Malaya satu kesalahan?

Di manakah terletaknya kekuatan seekor Harimau Malaya? Pada belangnya kah? pada taringnya kah? pada libasan ekornya kah atau pada misainya? bagaimana dengan kekuatan cakaran kukunya? Pernahkah mendengar ngaumannya yang menggerunkan seluruh penghuni hutan belantara dan manusia? Pernahkah berjumpa dengan lelaki yang memakai tangkal penggerun atau penggering harimau yang bila dia lalu saja, kau dah kecut, dan bila dia berdehem, kau terkencing dalam seluar?

Tahukah anda, fungsi ekor harimau adalah untuk keseimbangan badan terutama ketika berlari dan membuat belokan. Apa jadi jika harimau tidak mempunyai ekor? Badannya tidak akan seimbang dan mudah jatuh. Ada banyak sifat harimau yang sangat istimewa jika kita kaji lagi seperti kekuatan pendengarannya, ketajaman penglihatannya, kemampuan berlari pantas, kekuatan mematahkan atau membunuh mangsa yang lebih besar darinya dan macam-macam lagi. Semua sifat ini melengkapi kekuatan dan kegagahan seekor binatang bernama harimau. Kalau tak, takkan la Pak belang dianggap sebagai raja di rimba dan dijadikan jata negara.

Pasukan bola sepak kita juga digelar Harimau Malaya tetapi adakah mereka memiliki keistimewaan atau kekuatan yang sama seperti seekor harimau jantan yang bebas? Atau hanya sekadar seperti harimau sarkis yang apabila dilibas oleh tuannya lalu melompat ke dalam gelung api? Saban malam membuat persembahan yang sama untuk hiburan dan menjadi bahan ketawa penonton semata-mata. Segala sifat dan sikap harimau tadi hilang diselungkup sangkar besi dan tali cemeti. Ngaumannya langsung tidak kedengaran lagi. Lebih baik jadi harimau zoo, makan bersuap, malam boleh tidur, tak payah lompat ke dalam gelung api.

Bertenang semua! Bukan niat Jang nak menghentam pasukan Harimau Malaya atau mengkritik sesedap rasa tanpa memberi solusi. Tetapi suka Jang nak ingatkan disini, setiap penyokong ada peranan masing-masing dalam usaha kita untuk menggembalikan semula sifat seekor harimau pada pasukan negara. Kita ada Ultras Malaya yang jadi ekornya – ingat! tanpa ekor (sokongan padu penyokong) seekor harimau tidak akan mampu berlari laju tanpa tumbang. Kita mahu taring harimau dikeluarkan semula dan itu rasanya menjadi tugas Tuan Presiden FAM. Kita mahu belang harimau digeruni semula dan itu terletak diatas bahu jurulatih dan pengendali pasukan. Kita mahu ketajaman, kekuatan dan cakaran kuku harimau ada dalam jiwa setiap pemain. Apa yang kita mahu adalah sama – ngauman Harimau Malaya kembali membuatkan pasukan lawan lari lintang pukang.

Sebenarnya kekuatan seekor harimau terletak pada ngauman saja. Bila mengaum, semua lari dah, mana sempat tengok taring, belang, kuku, misai dan ekor.

Maksud Jang, semua ada peranan masing-masing dalam mencari semula kekuatan Harimau Malaya yang sudah lama hilang. Jika kau seorang pengkritik membuta tuli, kau lakukanlah tugas mengkritik membuta tuli itu dengan baik. Bola sepak kita mungkin perlukan kritikan membuta tuli untuk bangkit. Jika kau seorang pencinta haiwan dan kedamaian, kau duduk diam-diam dan berdoa pada kebangkitan, jika kau ultras yang akan kemana saja bersama pasukan, kau bernyanyilah disemua teres stadium kau pergi. Semua itu adalah peranan dan peranan Jang hanyalah menulis secara kecil-kecilan dan Jang ingin lakukannya dengan baik.

Bukan semua orang pandai menyanyi, bukan semua mampu menulis (apatah lagi menulis dengan penuh bijaksana seperti Jang) dan bukan semua orang larat nak mengkritik secara membuta tuli jadi biarkan masing-masing dengan peranan mereka. Jangan ada siapa-siapa nak jadi polis moral sebab belang Harimau Malaya tidak akan digeruni dengan moral. Bak kata Jorg Steinebrunner ” menjadi baik tidak akan menjanjikan kemenangan kepada pasukan”. Ada kau faham tu?

Jika peminat marah atau kecewa, tentulah sebab kerana mereka mengharapkan satu permainan yang penuh bergaya dan jiwa tetapi pasukan mempamerkan mutu sebaliknya. Mustahillah penyokong mahu memuji atau diam sahaja apabila pemain bermain seperti tidak pernah bersekolah (sukan). Bayangkan jika ada yang memuji back pass Wan Zack semasa menentang DPRK hari itu sebagai back pass Puskas? Tak ke gila penyokong macam tu? Bola sepak adalah tentang perasaan. Marah, suka, gembira, sedih, kecewa – semua itu PERASAAN.

Harimau Malaya sedang sakit teruk dan sudah lama sakit. Entah Pak dukun mana yang ada penawarnya – masih misteri. Mungkin penawarnya ada dalam penulisan berbagai media, mungkin ada dalam cacian dan kritikan penyokong lalang yang hanya datang waktu senang dan menang atau mungkin penawarnya ada dalam nyanyian ultras. Entah-entah penawarnya ada pada si kaki bangku yang pakai 5 telefon bimbit di teres stadium. Tak siapa tahu jadi biarkan semua orang jadi Pak dukun dengan jampi masing-masing. Tetapi berdiam diri dan membiarkan Harimau Malaya terus sakit adalah lebih kejam dari jadi kaki hentam mengkritik secara buta tuli.

Kritikan adalah ubat paling terbaik setakat ini . Kritikanlah yang menukar tampuk pemerintahan FAM, jika tidak kerana kritikan hebat, ahli gabungan masih lagi merafak sembah minta dikekalkan presiden lama. Kritikanlah yang membangunkan ramai penyokong dari mimpi. Kritikan dan perhatian menjadikan FMLLP bekerja dengan lebih berhati-hati. Kritikan mengkucar kacirkan persatuan bola yang selama ini sedap kemain songlap peruntukan tiket. Semua itu datang dari kritikan, tak kisah kritikan secara membuta tuli, bijaksana, garang atau positif.

Kerana membiarkan bola sepak kita selesa tanpa tekanan adalah satu kesilapan.

Jang

Dukun Keyboard.

Kongsi artikel ini: