April 24, 2024

Siapa layak jadi presiden FAM?

3 min read

Pemilihan bakal presiden FAM Mac ini dijangka menarik kerana buat pertama kali dalam ‘sejarah ingatan’ bola sepak negara, inilah kali pertama ianya benar-benar dipertandingkan. Sebelum itu, sepanjang ingatan Jang, Sultan Ahmad Shah telah naik menggantikan Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah pada tahun 1984 sehingga tahun 2014. 30 tahun bola sepak kita bernafaskan udara istana dan kemudian disambung pula oleh anakanda Tuanku, Tengku Mahkota Pahang sebelum beliau mengundurkan diri secara sukarela tidak mahu bertanding.

Apabila Tengku Mahkota Pahang tidak mahu bertanding lagi, maka wujud beberapa kem dan individu, yang teringin duduk di kerusi panas bola sepak negara itu. Ada yang secara terang-terang mahu bertanding, seperti Tan Sri Annuar Musa, ada yang terang-terang tidak mahu jawatan itu, seperti TMJ, ada yang diam-diam mengidam dan ada pula yang dicalonkan tetapi mengelak seperti Menteri Besar Negeri Sembilan, Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, pengerusi Air Asia, Tony Fernandes dan Datuk Idris Jala.

Apabila tarikh pencalonan ditutup, 4 nama telah disahkan untuk bertanding.

  1. Khairy Jamaluddin
  2. TMJ
  3. Annuor Musa, dan
  4. Tan Sri Aseh Che Mat.

Semua nama ini dicalonkan oleh ahli gabungan yang bernaung dibawah FAM. Adakah semua ahli gabungan menghantar nama calon? Adakah kempen secara senyap telah dijalankan untuk memastikan nama calon ini tersenarai? Kenapa masih ada yang mencalonkan TMJ walau Tuanku sudah berkali-kali mengatakan yang beliau tidak mahu jawatan itu?

Dalam bola sepak Malaysia yang penuh drama dan kerja belakang tadbir/tangan ghaib/proksi/boneka/main wayang dan kejutan ini, tak mustahil semua ini berlaku mengikut skrip yang telah ditulis cantik. Undian yang lebih besar dalam menentukan pemimpin yang bakal mencorakkan hala tuju negara pun diragui, inikan pula satu organisasi bangunan 4 tingkat. Bukan cuba menidakkan atau meragui kehebatan dan kredibiliti calon, tetapi beberapa langkah penting perlu diambil untuk memastikan calon-calon ini benar-benar bersedia memimpin bola sepak kita keluar dari kepompong usang dan buruk untuk menjadi Rama-rama yang indah dan penuh warna warni.

Jang berharap kesemua calon ini berkempen sehingga ke hari pengundian dilakukan pada Mac nanti. Setiap calon juga mesti mempunya ideologi atau falsafah perjuangan yang akan mereka bawa jika menang. Setiap calon mesti mempunyai pelan cadangan jangka pendek dan panjang untuk bola sepak Malaysia dan paling sedap, calon juga mesti berdebat sesama sendiri secara live dikaca TV mengapa mereka dan ideologi bola sepak mereka lebih bagus dan wajib dipilih.

Amacam?

Nampak sedikit ketelusan dan wibawa memimpin jika kempen begini dijalankan. Jika semua pakat senyap, mengelak dan masih berkata tidak mahu bertanding, tak seronok la. Tan Sri Aseh Che Mat sendiri susah untuk berkata apa-apa apabila dia dikatakan calon proksi kepada TMJ. Tetapi jika ada platform untuk berdebat, membentangkan ideologi (semestinya semua calon mempunyai ideologi berbeza) kesemua calon, terutama Aseh Che Mat boleh bermula semula dari kosong dan mendapat peluang yang adil.

Inilah masanya jika mahu perubahan dalam FAM seterusnya dalam bola sepak negara. Dahulu bukan main bersungguh mahu Sultan Ahmad Shah mengundurkan diri kerana kononnya 30 tahun bola sepak sengsara dibawah pimpinan beliau. Diadakan kempen, dijalankan anasir subversif dan dibaling bom asap kedalam stadium sehingga memalukan negara, demi melihat perubahan dalam pucuk pimpinan FAM. Nah! Sultan dan anaknya dah lepaskan jawatan, takkan kita nak berhenti disitu saja?  Ingat! yang kuat di FAM bukan presiden tetapi EXCO dan mereka masih kekal!

Antara kepercayaan kempen PFSLJ (Presiden FAM Sila Letak Jawatan) adalah melakukan pembersihan di FAM dan pembersihan paling optimum dapat dilakukan dari atas – iaitu singkirkan presiden dan ianya telah pun berjaya. Soalnya, sanggupkah kita nak berkempen lagi 30 tahun jika jawatan presiden FAM yang baru selepas Mac nanti jatuh ke tangan yang salah?

Siapa calon anda?

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.