April 20, 2024

SIMPOSIUM | Satu kuliah ilmu paling lengkap dekad ini.

4 min read

Real!

Masa mula-mula berita tentang satu simposium bola sepak akan diadakan di Seremban, Jang agak sangsi. Betul ke semua nama besar ini mampu dan boleh dikumpulkan dalam satu usrah di SEREMBAN? Kami main liga Perdana je kot? —(walaupun tak kena mengena dengan saingan liga) Tetapi sebagai lelaki budiman, Jang tetap support dan sebarkan berita simposium ini keseluruh alam, biar alam tahu dan cemburu. Bagi Jang, ini satu peluang yang jarang-jarang berlaku. Jang kira-kira, gerhana bulan pun berlaku lagi banyak dari peluang ini muncul di Seremban.

Jang menjangkakan mestilah peluang ini akan disambut dan ditatang bagaikan minyak yang mahal dari penggiat akademi, aktivis bola, pengamal dan pencinta bola sepak NEGERI SEMBILAN, namun ternyata jangkaan Jang meleset. 80% yang hadir dari 109 delegasi yang mendaftar adalah dari luar Negeri Sembilan. Kenapa?

Kenapa mereka yang terlibat dalam bola sepak secara langsung, terutama dalam pembangunan, tidak dapat menghadirkan diri adalah satu teka-teki yang menganggu mental Jang. Mungkin mereka ada tournament, kenduri dan mungkn telah keluar bercuti. Boleh jadi, tapi bagi Jang, ianya satu kerugian yang maha dahsyat.

Jang bertemu dan berbual dengan delegasi dari Pulau Pinang, Johor Bahru, Pahang dan Jang berkenalan dengan Encik Ahmad yang turun dari Kuala Terengganu. Encik Ahmad naik bas malam dari Kuala Terengganu, sampai Seremban jam 5 pagi dan akan balik semula ke Terengganu tiket bas jam 8.30 malam. Bila Encik Ahmad beritahu, terus Jang rasa, inilah keindahan bola sepak yang Jang rasa, Jang sendiri belum mampu lakukan. Ye la, untuk pergi KL pun Jang akan cipta banyak alasan untuk mengelak. Salute ‘Jambatang’ Encik Ahmad!

Antara perkara menarik yang menjadikan sesi simposium ini berjalan dengan mudah, santai, tiada wall barrier ialah kerana tiada VIP, Datuk-Datuk dan kenamaan yang perlukan protokol serta layanan mesra. Di simposium ini, yang ada hanyalah murid-murid dan tenaga pengajar, bagaikan didalam sebuah kelas. Penyampaian ilmu dan perkongsian pendapat menjadi mudah. Memang ada EXCO Belia dan Sukan, Tuan Haji Taufek datang merasmikan majlis, tapi beliau masuk, bersalam dan terus naik ke pentas, berucap 5 minit dan turun pentas, bersalam dan tinggalkan dewan tanpa duduk pun! Klasik! Jang rasa semua VIP patut buat macam ini.

Kuliah dimulakan oleh Peter De Roo, Pengarah Teknikal FAM yang bercakap tentang DNA Bola sepak Malaysia. Hal DNA dan FAM30 telah dibicarakan secara galak di media sosial, terutama hal taktikal. Jang secara ilmiah, memang ingin tahu secara lebih mendalam hal DNA ini dan dalam masa yang sama, Jang ingin ‘membaca’ karekter seorang Teknikal Director, terutama jika ianya seorang Mat Saleh. Maksud Jang, adakah Peter Roo benar-benar faham situasi kita di Malaysia, atau sekadar bawa idea luar untuk kita ikut secara membabi buta.

Ternyata, Jang ringkaskan disini, beliau faham dan sedar keupayaan bola sepak kita dan Jang juga semakin faham 4-3-3 atau 4×4 semua itu hanyalah satu permainan pendapat. DNA dan falsafah bola sepak itulah yang paling utama.

Saad Ichalalene, Pengarah Teknikal baru NFDP, menyusul dengan kelas pembangunan pemain diperingkat akar umbi. Saad Ichalalene sedarkan Jang, bahawa negara kita ini tidak pernah ada budaya bola sepak seperti negara lain (Brazil contohnya) jadi kita kena sedar akan hal itu. KITA BUKAN NEGARA BOLA SEPAK!

Saad kata, di Paris sahaja ada lebih 1000 buah kelab. Luar kota Paris lagilah banyak. Jumlah pemain juga sangat ramai. Berbanding kita adalah sangat jauh. Tetapi suatu yang Saad sangat yakin ialah PEMAIN KITA BOLEH LAKUKAN. Saad juga tunjukkan beberapa video latihan dan bagaimana mahu membentuk pemain yang berfikir dan bla bla bla. Panjang dan banyak! Tak kuasa Jang nak cerita semua. Sapa suruh kau tak datang.

Kemudian, Doktor Pekan Rambli bercakap hal bola sepak Universiti, hal UITM, UKM dan penubuhan MUFA.

Disusuli pula lepas makan tengahari sedap dalam sejuk hujan yang tidak mahu berhenti, Safirul Abu Bakar bercakap pasal penjanaan wang dalam pembangunan sukan. Sangat-sangat membuka mata bagaimana pasukan mampu menjana kewangan dengan seorang pemain dari peringkat akar umbi lagi. Juga bagaimana penting satu agensi memikirkan hal yang persatuan malas mahu fikirkan, iaitu menjana wang dan menggunakan wang dengan lebih memberi impak.

Akhir kuliah ditutup dengan hal kontrak oleh saudara Izham Ismail dari PFAM. Juga sangat-sangat bagus untuk pemain mengenal pasti jenis perlindungan yang mereka ada sebagai pemain, jenis kesilapan dan helah kontrak yang kerap berlaku dalam bola sepak kita. Tahniah Jang ucapkan kepada PFAM yang telah berjaya menjunamkan graf masalah kontrak pemain ke satu tahap yang sangat sedikit berbanding sebelum ini.

Keseluruhannya, bagi Jang, kesemua panelist dan tajuk perbincangan begitu dekat dan saling perlu memerlukan diantara satu sama lain dalam usaha menentukan hala tuju bola sepak kita kearah yang mampan (Euw!) Maksud Jang, semenjak 1982 Jang terlibat dalam bola sepak, sebagai akar umbi, pemain, peminat, pendokong, aktivis dan kembali semula ke akar umbi sebagai peminat, inilah kali pertama Jang rasa bola sepak kita mampu meletup pada dekad akan datang.

Dengan syarat, kita semua kena faham asas dan hala tuju ini dahulu. Bagaimana? Dengan hadir ke majlis ilmu pembentangan ini dan dengar sendiri dan kemudian sedar kekurangan dan kesilapan kita dan kemudian baru kita ubah.
Terima kasih kepada penganjur, Negeri Sembilan United. Harap mereka bawa simposium ini tour satu Malaysia. Gerenti sold out!

Jang,
Sejuk!

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.