April 20, 2024

Sukan Asia: Malaysia libas Emas, Indon gulung net

5 min read

Apa-apa perlawanan yang melibatkan Malaysia dan Indonesia mesti hebat dan panas. Hatta perlawanan merebut siapa makan Tempe paling banyak pun pasti akan berlaku kekecohan. Persoalan ini ada ditanyakan oleh seorang kenalan kepada Jang;

“Kenapa kita dan Indonesia yang serumpun, satu bahasa, satu agama dan sangat rapat tetapi mesti panas dan bergaduh apabila berlaku persaingan?”

Bagi Jang, jawapannya ada dalam soalan tadi, iaitu kerana kita terlalu banyak persamaan. Itulah yang membuatkan kita begitu sensitif dengan persaingan. Kira macam adik-beradik la, tidak senang melihat kakak atau adik dapat sesuatu dan kita tak dapat, mesti kita meragam. Kita tidak begitu sensitif dengan Singapura, Vietnam atau Thailand kerana kita tidak sama bahasa dan agama. Walaubagaimanapun, ini hanyalah pandangan Jang sahaja dan ianya bersifat luaran. Kerana kalau kita lihat lebih jauh dan mendalam, terutama dalam hal sejarah dan ekonomi, pasti ianya lebih kompleks. Tetapi kita hanya mahu bersukan dalam pertandingan dan bertanding dalam suasana serumpun, maka tidak manis kalau kita begitu sensitif dong!

Dalam Malaysia ada Indonesia dan dalam mereka ada kita. Jang sendiri susur galurnya berketurunan Minang dan makan nasi Padang.

Apapun, perlawanan akhir Sepak Takraw antara regu semalam betul-betul epik dan tidak mungkin Jang akan membiarkannnya berlalu tanpa memberi sedikit ulasan bagai nasi tambah. Namun, Jang hanya ingin menyentuh tentang kekuatan psikologi/mental pemain sepak takraw kita sahaja. Kerana kekuatan itulah yang memberikan Malaysia pingat emas yang dah berjoman tak merasa.

Setuju tak kalau Jang kata kekuatan kedua pasukan adalah sama sahaja. Mereka libas, kita blok, ada yang mengena, ada yang gagal. Mereka juga melakukan aksi yang sama apabila kita melibas. Kedua-dua mata begitu dekat dan saling kejar mengejar tetapi dimanakah ‘turning point’ pasukan Malaysia sehinggakan tidak ada siapa lagi, walau wasit yang curang, mampu menahan libasan demi libasan sehingga menjadi emas?

Sebelum itu, Sepak Takraw, walau dimainkan dimana sahaja pasti akan ada adegan ‘menganjing’ pasukan lawan. Ini dibenarkan untuk mensaiko pasukan lawan supaya mereka jadi lemah mental. Kau pernah lihat bagaimana pemain badminton lagenda Razif dan Jailani Sidek disaiko oleh beregu Indonesia Eddy Hartono dan Rudy Gunawan semasa kalah dalam pertandingan Piala Thomas 1992? (namun Malaysia jadi juara) Masa tu Jang rasa nak masuk dalam TV dan riot!

Sebenarnya regu kita hampir tewas pada set kedua dan jika tewas, maka pingat Peraklah jawapannya. Pada ketika itu mereka ketinggalan agak jauh dan regu Indonesia, terutama pemain killer mereka begitu seronok menari didepan net menganjing regu kita. Tetapi entah kenapa mereka begitu liat untuk menyerah dan mula mengutip mata demi mata sehingga berkedudukan sama 19-19. Sangat intense masa ini. Hanya mental yang benar-benar bersedia sahaja mampu mengawal diri. Semasa ini tekong Malaysia telah ditukar kerana beliau dilihat gagal mengawal diri terutama dalam menyerap sorakan dari penyokong tuan rumah.

Malaysia mendapat game point dan ketika membuat libasan dan blocking, bola dilihat jatuh semula ke kawasan Malaysia tetapi jelas berada diluar garisan. Semua bersorak gembira dan puashati kerana dapat membawa perlawanan ke set penentuan. Siaran TV kembali semula ke studio RTM dan Jang pun dapat pergi kencing kejap sebab dari tadi menahan. Usai kencing,Jang mengadap TV semula dan Jang terperanjat, amboi! kejap betul rehat dah sambung set ke 3? Tapi rupa-rupanya, game point set ke 2 tadi terpaksa dimainkan semula kerana wasit kata bola blocking dari regu Indonesia tadi masuk. Haram jadah maknaling kudu! Terpinga-pinga Jang dibuatnya, Jang pergi kencing ke Jang kene kencing ni?

Tapi dari riak muka killer Malaysia Jang dah boleh baca, dia dah naik hantu! Spirit misai tebal Adnan Saidin dah meresap dalam jiwa dia. Komentator RTM pula mengatakan jurulatih Malaysia telah diberikan kad merah dan diminta meninggalkan gelanggang. Wah! begitu hebat dugaan regu Malaysia kali ini. Memang menaik hantu regu Malaysia. Mereka memulakan game point sekali lagi dan dengan sekali libas sahaja, mereka memenangi set tersebut, untuk kali kedua!

Set ke 3 pula hanyalah sekadar melengkapkan perlawanan sahaja kerana walau apa jenis libasan, halangan, trik dan sorakan dari Indonesia, regu Malaysia tenang dan sempurna membalasnya. Mata demi mata dikutip meninggalkan jauh regu Indonesia. Mereka terkemama! Killer Indonesia yang tadi menari-nari dihadapan net kini hilang punca. Beliau seakan tidak percaya gulungannya tadi telah diblok oleh tekong Malaysia! Matanya buntang! Jurulatih Indonesia (seperti Jang kenal wajah ini, tetapi dimana ya? hmmmmm) segera melakukan penukaran dengan memasukkan killer baru. Regu Indonesia juga menukar tekong mereka kerana segala helah mereka kini tidak berjaya melemahkan regu Malaysia.

Bagi Jang, masa itu, semangat dan mental Malaysia telah benar-benar kebal. Mereka tidak lagi hirau dengan sorakan penyokong Indonesia malah mereka tidak hirau lagi bola yang masuk tetapi dikatakan keluar oleh wasit. Buatlah apa sahaja, tidak ada apa lagi yang boleh menghalang kemaraan dan kemarahan mereka. Jika Indonesia memasukkan sekali jurulatih dan wasit kedalam gelanggang, nescaya regu Malaysia pasti akan melibas untuk emas!

Ternyata jika sudah rejeki, ngak lari kemana dong! Malaysia terlalu gagah untuk dikalahkan dan terus meraih emas antara regu buat julung kalinya selepas 24 tahun!

Ada beberapa perkara yang Jang suka nak highlightkan disini. Antaranya, ternyata regu Malaysia bejiwa kental dan bermental waja. Turning point mereka ialah apabila kemenangan set ke 2 mereka dibatalkan dan jurulatih pula diberikan kad merah. Kemudian mereka tetap meneruskan permainan walau mendapat dugaan dari wasit yang diragui. Mereka tidak merajuk atau menarik diri kerana tiada istilah merajuk dalam psikologi sukan. Mereka menukar halangan menjadi batu loncatan dan ini sangat-sangat klasik! Simple!

Jang tidak pasti dan tidak melihat perlawanan silat dimana peserta Malaysia menarik diri tetapi Jang bersyukur kerana regu takraw memilih untuk meneruskan perlawanan sehingga ke penghabisan. Merajuk bukan pilihan disini. Hmmm..bila sebut merajuk ini baru Jang teringat kepada jurulatih Indonesia ini. Beliau la yang merajuk pada Sukan SEA lepas apabila regu wanita mereka dibatalkan kerana servis mengangkat kaki. Merajuk terus dan menarik diri.

Jika mengikut kaca TV ULTRA-HD4K Jang, banyak kali betul tekong Indonesia mengangkat kaki semasa melakukan tekongan tapi tak apalah. Itu hal kecil. Merajuk bukan pilihan tepat. Menariknya selepas perlawanan berakhir, kesemua pemain bersalaman, tidak pula bergaduh. Maknanya walau apa pun terjadi, biarlah ianya semasa dalam permainan dan berakhir selepas pertandingan tamat sahaja. Selepas itu, kita kembali jadi manusia bertamadun semula. Tetapi jangan sekali-kali kita lupa adat bermain takraw, siapa kalah, dia gulung net. Simple!

Tahniah Malaysia!

 

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.