/Taktikal 501 Bersama Pep Guardiola

Taktikal 501 Bersama Pep Guardiola

Tiada siapa yang layak menceritakan hal bundesliga selain dari Mika Rot yang menetap Jerman. Artikel kali ini, Mika akan bercerita hal taktikal Pep G. yang bakal membimbing Chelsea tidak berapa lama saja lagi.

Guten tag!

Hampir kesemua akhbar cetak dan online di bumi Inggeris memperkatakan bahawasanya Pep G. akan berkelana ke bumi Inggeris bila kontrak kerjanya di salah sebuah kelab ter-power Jerman akan tamat. Manchester United, Manchester City dan juga Chelsea nampaknya berminat dengan lelaki maskulin yang berasal dari Catalonia ini. Engkau sebut saja nama-nama kelab di Liga Perdana Inggeris pastinya berminat nak melamar Pep G. Engkau jangan nak babitkan pula dengan Liverpool dalam cerita ini, naya engkau kena tumbuk oleh J. Kloop!

Membesar dengan falsafah LA MASIA (Bukan Malaysia, walaupun sebutan ala-ala seperti itu, bab keagungan bola sepak tempatan aku kena serahkan pada CEO Ultrajang, dia lebih mahir. Biarkanlah saja aku yang biasa-biasa ini dengan dunia bola Eropah) bukanlah seorang pemain yang separuh masak ketika masih berdarah muda. Seorang juru-ukur bola, mempunyai kawalan bola, individu teknikal skills dan ketepatan hantaran bola yang terbaik, itulah Pep G. ketika masih bergelar pemain. Alah! Dia ni ibarat seperti Michael Carrick di Manchester United, ataupun kalau kau nak lebih true, seperti Paul Scholes. Ibarat seperti Paul Scholes itu aku tipu sedikit, sebab Pep G, tak beberapa garang dan panas baran. Engkau kalau tak percaya boleh cek dekat ‘Utiub’. Nanti engkau kata aku tipu engkau pula.

Pep G. dalam bab menjadi jurulatih bukannya secara tiba-tiba menjadi seorang jurulatih yang power. Dia bermula dari bawa, dari seorang pemain bola, pencen, ambil lesen kejurulatihan, lepak kopi-kopi dengan tutor perlesenan bola dan akhirnya telah lulus lesen ‘L’ untuk menjadi seorang jurulatih yang bakal menggegarkan dunia bola yang fana ini. Dengan ke-power-an melatih pasukan Barcelona B, bos besar pasukan terhandal di planet bumi ini mempelawa Pep G. melatih pasukan utama kelab, tak lain tak bukan berikan tepukan gemuruh yang tak berbelah bagi kepada pasukan B.A.R.C.E.L.O.N.A !!

14 trofi pelbagai kejuaraan dalam masa 4 tahun bersama ‘Leo Messi & the gang’ dikecapi, engkau nak kata apa lagi? Arsene Wenger yang genius dalam pengiraan rumus Algebra itupun bertahun lamanya menanti piala untuk dicium, engkau tak payah ceritalah pasal Liverpool, sebab yang ini lejen tahap kepala kain Levis Vintage 501.
Sebagai seorang poser bola, Barcelona ada sistem tradisi permainan tersendiri begitu juga dengan Bayern Munich ketika era pemerintahan Jupp Heynckes. Engkau bila bertanyakan kepada Bayern Munchen Ultras adakah mereka suka dengan sistem permainan kendalian Pep G. pasti akan mendapat dua jawapan yang berbeza, contoh jawapan yang telah dianalisis berdasarkan umur Bayern Munchen Ultras :

1) Mereka yang lahir sekitar awal 90’an hingga era Y2k.
Antara penyokong terkuat dan rajin datang stadium tengok game bola

2) Mereka yang lahir sekitar 60’an sehingga Jerman menjadi negara pengeluar muzik Thrash Metal terbaik dunia
Sokongan berbelah-bagi, masih datang ke stadium, tak beberapa peduli lagi mengenai sistem tradisi permainan

Kesimpulannya, Pep G. ada sistem permainan tersendiri. Jika dia nak ubah sesuatu kelab itu mengikut sistemnya yang tersendiri petik jari saja. Aku harap ultras Manchester United boleh membayangkan jika Pep G. menjadi jurulatih kelab ini. Semua penduduk dunia juga dah tahu, yang Manchester United sejak azali lagi mempunyai sistem tradisi yang lejen dari era Sir Matt Busby, Sir Alex Ferguson sehinggalah berlaku evolusi sistem tradisi ‘taktikal’ di era rejim pemerintahan ‘King’ Louis Van Gaal (ops! Aku buat-buat lupa pada David Moyes). Jadi bila jurulatih seperti Pep G. yang sedikit keras kepala dan mempunyai sistem tersendiri akan melatih dan bersama sebuah kelab baru, maka proses perubahan akan berlaku. Terkorbannya sistem tradisi lama itu satu hal, dan proses menjadi pasukan paling teragung dan terhandal di muka bumi juga merupakan satu hal.

Engkau fikirkanlah, aku nak berehat.