/TEMUBUAL EKSKLUSIF! : Lee Tuck dedah kisah sebenarnya!

TEMUBUAL EKSKLUSIF! : Lee Tuck dedah kisah sebenarnya!

Jang suka melihat beberapa nama pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan begitu berjaya bersama pasukan lain. Tidak boleh tidak, terbit rasa bangga dan paling utama bagi Jang, ialah, Jang rasa lega kerana mereka membuktikan yang mereka adalah pemain bola sepak sebenar. Maksudnya, mereka bukan sapa-sapa yang entah apa kenaikannya diambil dan disuap oleh agent lalu bermain untuk pasukan kita. Tidak! mereka bermain bagus dan terbukti selepas meninggalkan pasukan kita pun mereka terus bertambah baik. Makno eh kito tak la boli pemain import cokia.

Andrew Nabbout begitu menyerlah selepas kembali semula ke A League. Marco Simic menjadi dewa di Persija Jakarta, Kunanlan, Zaquan, Farizal Marlias dan ramai lagi nama bekas pemain Negeri Sembilan cukup menjadi bersama pasukan masing-masing. Sekadar menyebut beberapa nama kerana bukan sedikit jumlahnya jika nak dikira semenjak zaman semi pro. Bukan juga bermakna ketika bersama Negeri Sembilan, mereka tidak menyerlah cuma adatlah jika mereka terus berkelana dalam memajukan karier.

Lee Andrew Tuck, sebelum bermain bersama Negeri Sembilan telah membuktikan kebolehannya dibanyak pasukan di liga Thailand dan membawa pasukan terakhirnya menjadi juara di liga Bangladesh. Semusim bersama Negeri Sembilan, beliau berjaya memikat hampir keseluruhan peminat Negeri Sembilan dan dicemburui pasukan lawan. Kelincahannya, kerajinan dan stamina luarbiasanya begitu memukau. Apabila dia meninggalkan Negeri Sembilan dan berhijrah ke Terengganu FC, ramai yang sedih dan kecewa. Tetapi itulah, tiada pemain yang kekal dan lebih besar dari pasukan.

Jang berkesempatan menemubual beliau melalui khidmat twitter (sapa suruh kau tak follow akaun Jang!) eksklusif sempena beliau kembali semula ke Paroi untuk perlawanan menarik Jumaat ini. Jika dilihat dari akaun instagram, beliau begitu gembira tinggal di Terengganu. Punyalah happy sampai kawin! Menaik juga cemburu Jang melihatnya. Sesekali beliau memuat naik video beliau melakukan aktiviti kecergasan. perghh! Oklah, kau bacolah apo kata Lee Tuck dalam temubual ni;

Jang: Hello Lee Tuck, bagaimana dengan kehidupan di Terengganu? dengan pantai dan pulaunya, makanannya dan juga paling utama, bagaimana dengan pasukan Terengganu?

Lee Tuck: Hello Jang! Kehidupan di Terengganu sangat baik. Saya jumpa beberapa restoren yang sangat bagus dan makanan yang sangat enak. Disini kehidupan lebih aman dan tenteram dan ianya sangat membantu saya untuk fokus kepada bola sepak. Penduduk disini juga sangat peramah jadi ya! saya sangat suka tinggal disini dan jika berkelapangan saya akan ke pantai dan pulau tapi buat masa sekarang fokus saya adalah kepada pasukan.

Jang: Kenapa tidak memperbaharui kontrak bersama Negeri Sembilan untuk musim 2018?

Lee Tuck: oh! ianya mudah, saya tidak memperbaharui kontrak saya bersama Negeri Sembilan kerana saya tidak diberi kontrak baru dan pasukan melepaskan saya untuk mencari pasukan lain. Itu sahaja. Walaubagaimana pun saya suka ingin mengatakan bahawa saya sangat gembira bermain untuk Negeri Sembilan. Pasukan dan pengurusan telah melayan saya dengan baik dan walaupun saya telah berhijrah tetapi saya pergi dengan meninggalkan banyak kenangan manis dan kawan-kawan yang baik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong saya di Negeri Sembilan, kamu semua telah melayan saya dengan baik dan saya gembira bermain di Paroi. Saya ucapkan selamat berjaya kepada pasukan Negeri Sembilan…hmm..ok, selamat berjaya selepas lawan Terengganu! hahaha.

Jang: Pada pandangan kau, apakah alasan atau sebab utama Negeri Sembilan tidak bernasib baik pada penghujung musim lepas? Adakah kerana ketiadaan Simic? atau bagaimana?

Lee Tuck: Pada pendapat saya, bola sepak tidak pernah dan bukan satu perkara yang ‘straight forward’. Ianya adalah kombinasi beberapa perkara yang membawa kepada satu-satu keputusan. Ya! Simic memang baik dan menjaringkan gol. Pasukan sentiasa menang dan saya gembira beliau berjaya bersama pasukan barunya. Apabila Behe masuk menggantikan Simic, beliau juga seorang pemain yang sama bagus. Malangnya Behe dan Bruno mengalami kecederaan ketika menentang T-Team dalam saingan Piala Malaysia di Paroi. Keadaan menjadi sukar kerana kita ada 10 perlawanan dalam masa 4 minggu tanpa mereka berdua. Dimasa ini saya rasa rotasi pemain juga penting kerana kami merasa tertekan dan kepenatan dan perlukan rehat yang cukup. Semua pemain telah mencuba sehabis baik tapi akhirnya kami belum cukup sempurna lagi.

Jang: Apa nasihat terbaik untuk pemain tempatan, terutama dalam disiplin luar padang yang melibatkan kecergasan?

Lee Tuck: Kecergasan sentiasa boleh diperbaiki sedikit demi sedikit. Nasihat saya,perbaiki lagi diet dan elakkan makan makanan berminyak. Saya percaya pemain tempatan sangat berdisplin. Mereka turun berlatih dengan sikap yang baik, mendengar arahan jurulatih dan berbudi bahasa. Pemain import banyak mendapat perhatian tetapi bagi saya sepatutnya pemain tempatanlah yang mendapat perhatian penyokong dan media.

Jang: Sebagai pemain kelahiran Huddersfield, UK, apa padangan kau tentang bola sepak Malaysia, bagaimana mahu menambahbaikkan lagi mutu bola sepak Malaysia?

Lee Tuck: Terlalu banyak perkara yang perlu dibuat dalam negara ini untuk memperbaiki standard bola sepak. Saya melihat ramai bakat dan keupayaan di Malaysia, jadi ianya lebih kepada konsistensi setiap minggu. Dalam usaha negara mahu memajukan bola sepak, mereka perlu meniru pasukan JDT dalam hal fasiliti dan keprofessionalan. Malaysia juga perlu melihat kepada Jepun dan Korea dan meniru mereka mencipta kejayaan.

Jang: Last, siapa atau pasukan mana yang menjadi lawan terbaik kau setakat ini?

Lee Tuck: Pahang! Saya bermain 4 kali menentang mereka musim lepas dan setiap satu perlawanan adalah satu pertarungan hebat! 

Jang: Terima kasih Lee Tuck dan selamat maju jaya!

Lee Tuck: Kamu juga!

Begitulah! real betul dapat temubual beliau khas untuk perlawanan Jumaat ini. Sekarang tugas kita semua untuk turun Paroi dan pastikan kita bagi sokongan kepada pemain dan pasukan kita dahulu. Kita tidak boleh kalah kepada Terengganu kerana ianya bukan sekadar kalah menang lagi tetapi maruah! Jang tak sanggup dikalahkan oleh pasukan Irfan Bakti. Kita menang tipis 3-2 musim lepas dan kita mesti menang untuk mendapatkan momentum positif semula. Jang bersetuju dengan Abang Tom, Faizal Sepet mesti ditugaskan mengekang Lee Tuck malam esok. Hmm..bila baca balik, apa kisah sebenarnya yang Lee Tuck cuba nak dedahkan? kahkahkah! Itulah kisahnya, takda kontroversi pun. Ingat! bukan semua benda nak kontroversi saja.

Jumpa Jang di stadium Paroi dan jangan lupa beli Majalah Ultrajang isu ke 6. Jago la sikit air muko Jang ni haaa!

Jang,

Buapak Liga Super

Kongsi artikel ini: