April 26, 2024

Tendangan (Puskas) Faiz Subri tidak hebat

4 min read

Artikel ini ditulis pada 18 Februari 2016

Tendangan percuma Faiz Subri sebenarnya tepat mengenai sasarannya iaitu memberi kelegaan (sementara) bolasepak tempatan dari kemelut dan kerenah yang setiap hari kita baca didada akhbar. Bola itu melencong lalu membawa penganut bolasepak tempatan keluar (sekejap) dari kepompong ‘unik’ bolasepak kita dan terus menjadi perhatian dan perbualan dunia. Bukankah itu kehendak dan cita-cita kita semua?

Dengan sekali sepakan, kita lupa hal gaji pemain tertunggak, kita lupa hal ranking, kita tinggalkan sekejap hal perjalanan liga yang tidak licin, kita tak peduli lagi tentang cabar-mencabar diakhbar dan hal bookie. Inilah yang kita mahu apabila bolasepak dimainkan dengan berkualiti. Bukan bercakaran sesama sendiri, baling batu apabila pasukan kalah, menghentam persatuan, bergaduh, berebut nak jadi presiden dan sebagainya.

Jang puashati sebab malam itu Jang memilih perlawanan siaran langsung antara Pulau Pinang menentang Pahang. 90 minit permainan, jelas Pulau Pinang bermain lebih baik dan yakin berbanding Pahang yang dibarisi pemain muda. Banyak gol cantik dihasilkan dan apabila tendangan percuma diambil, Jang tergamam sekejap. Tapi setan betul pengulas malam itu langsung  tidak orgasm atau menjerit atau teruja dengan tendangan tersebut, Kau ulang dengar video tu dan kau banding dengan pengulas luar (dari negara Arab, contohnya) bagaimana mereka begitu orgasm dengan jaringan.

Bagi Jang tendangan percuma Faiz Subri memang luarbiasa tetapi bukan hebat. Luarbiasa ini lebih kepada misteri, sampai orang kene kaji teori sains dan fizik, arah angin, El Nino dan garisan lencong orang beratur di Deen Nasi Kandar. Jang tidak minat dengan hal misteri, penampakan dan sains dalam permainan bolasepak. Sebuah tendangan hebat dan berkualiti tidak perlukan kajian sains, fizik atau dipetik nama Sir Isaac Newton atau Alexander Graham Bell. Satu gol cantik, samada melalui tendangan percuma atau gerakan permainan tidak perlukan kajian, cukup dengan ucapan “oh Tuhanku!”

Apabila Marco Van Basten menjaringkan gol volley untuk Belanda pada Euro Final 1988 (kau lahir 90an mana tau) ianya menjadi begitu sensasi. Ketika itu semua orang menyangka Van Basten akan mengawal dulu bola cross yang dihantar kepadanya kerana kedudukannya yang sukar untuk melakukan percubaan, tetapi beliau terus melakukan sepakan volley yang menjunam ke gawang USSR. Ianya satu tendangan yang hebat dan memukau sehingga diberitakan Perdana Menteri USSR ketika itu, Mikhail Gorbachev sendiri teruja dan berkata “oh! my god!” lalu didengari oleh ketua KGB yang turut menonton ketika itu. Bermula dari situ, KGB melancarkan pemberontakan senyap dan pada awal 90an empayar komunis/sosialis USSR pun runtuh. Ini berita benar.

Bagi Jang, tendangan percuma yang hebat mesti melepasi ‘wall’ yang disusun dengan 5,6 orang pemain lawan (Pahang hanya letak 2 pemain sebagai wall) Pemain yang melakukan tendangan pula mesti konsisten melakukannya setiap kali mengambil sepakan. Kita ambil contoh mudah dan klasik, iaitu David Beckham dan Cristiano Ronaldo. Lihat gaya Ronaldo ketika mahu mengambil sepakan percuma, gaya dia berjalan mengundur selepas meletakkan bola, mengangkangkan kaki sedikit, mengambil nafas dan boom! Bola Ronaldo tidak berputar tetapi statik naik ingin menghentam wall (perhatikan muka barisan pemain yang menjadi wall) dan kemudian menjunam ke sudut 90 darjah gawang. (United lawan Portsmouth contoh terbaik. David James hanya mampu terpaku) dan komentator pula akan menjerit dan hilang akal.

Bend it like Beckham? Oh Tuhanku!

Semua tendangan menggunakan outside foot akan berputar, samada ianya tendangan rendah, tinggi, kuat atau perlahan. Ianya bukan misteri. Chun dalam siri TV Jepun Moero Attack dah buktikan dalam sukan bola tampar. Malah 2 minit selepas Chun melakukan akrobatik spike, bola masih berputar didalam gelanggang! (oklah..ini saja je nak habiskan data korang)

Tindakan melelong jersi Faiz Subri adalah bersifat manipulasi. Diberitakan pula hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang akan berjumpa dengan Faiz Subri dan akan memberi sedikit insentif kepada beliau kerana SATU sepakannya.. Mungkin tanah, mungkin duit atau rumah. Tak kisah la, itu biasa bila ahli politik berkot dan tali leher dibawa masuk kedalam sukan. Lembu pun mati kering bila orang berkot dan bertali leher yang memandu Mercedes dan tinggal di Kondo menjadi penternaknya. Ini berita benar!

Terima kasih Faiz Subri kerana tendangannya yang membawa sukan bola kita sebaris dalam berita-berita sukan dunia, walau hanya untuk 1 malam. Buat selalu untuk buktikan ianya bukan luarbiasa tetapi hebat.

UPDATE 10 Januari 2017

Tuuu diaaa habaq mai kat hang! Lepas heboh nak pakai baju melayu bertanjak bagai pejuang bangsa akhirnya Faiz Subri dinobatkan sebagai wira tendangan tercantik Puskas. Tahniah Faiz Subri. Jang tabik dua tangan. Jang bangga dengan pencapaian ini. Meremang bulu tengkuk Jang yang jarang-jarang orgasm dengan bola sepak tempatan. Bukan senang nak buat semua bintang bola sepak dunia keras dikerusi bertepuk tangan untuk anak Malaysia. 

Jang ingat nak buat satu post tribute untuk Faiz Subri tapi Jang yakin pengisiannya nanti lebih kurang sama dengan artikel yang Jang tulis diatas. Lagipun lebih manis jika dikongsikan secara update disini sahaja. Jika ada penambahan pun, mungkin tentang baju melayu sebagai simbolik bangsa. OhTuhanku! lepas jersi dilelong, baju melayu pula di sponsor menjadi bualan. Kenapa miskin idea sangat?

Jang tengok ramai yang memberi komen tentang baju melayu, perjuangan bangsa, jati diri, maruah sampai ada yang bawa turun Nabi dan Tuhan dalam ruangan komen status Jang di FB sebelum ini. Bagi Jang mudah, baju Melayu dan Faiz Subri bukan modal kau untuk menaikkan maruah bangsa, jati diri dan agama. Faiz Subri adalah seorang pemain bola sepak bukan komoditi untuk dijadikan modal kau berdebat.

Dik! kau lawan anak cina minum air kosong pun kau kalah, tau? Dia minum 8 liter sehari, kau bantai air manis dari pagi sampai petang. Itu belum lawan bangun pagi dengan uncle dan ahso yang bertaichi jadi jangan tiba-tiba kau nak jadi pejuang bangsa. faham?

Oklah, itu je Jang nak tambah. Minggu ni Jang balik kampung kat Alma, Bukit Mertajam. Biasalah, anak Penang, nak lepas rindu kat Deen Nasi Kandaq di jalan Guardwara. Kau melayu bangun jam 7 mana tau semua ni.

Sempoi?

0Shares

8 thoughts on “Tendangan (Puskas) Faiz Subri tidak hebat

  1. Terima Kasih Faiz Subri dengan tendangan ber’otak’ yang cun. Semoga konsisten dengan cara sepakan yang pakai akal, semoga liga Malaysia jadi lebih seronok dengan player yang tak sepak arah telur dan pegawai yang cerdik macam ferguson bukan nuor muso.

  2. Gua salute lu Jang….
    Banyak media yg mengulas tentang tendangan Faiz Subri.
    Ulasan dari Jang terbaik.
    #ikhlastelusdanberjiwamurni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.