April 20, 2024

Terlajak perahu boleh diundur, Terlajak sponsor buruk padahnya!

4 min read

Walaupun liga kita banyak bercuti dari bermain tetapi scene bola kita tidak pernah bercuti atau sunyi dari berita, kontroversi, spekulasi dan debat tak jadi. Apalah malang nasib kita sebagai peminat bola sepak tempatan, jumlah masa kita menjerit ‘gol’ di teres stadium bersama kawan-kawan lebih sedikit berbanding masa dan data kita habiskan melihat kerenah ‘tuan-tuan besar’ kita bergaduh tentang duit, gaji, harga tiket, rehatkan jurulatih dan meluaskan kuasa.

Kemelut di Kedah Maju 2010 ini Jang lihat ada 2. Pertama, boleh jadi MB baru menggunakan isu penolakan tajaan Dherbs sebagai ‘political mileage’ untuk menarik sokongan terhadap beliau. Betapa beliau begitu mementingkan dan mengutamakan rakyat sebagaimana fahaman yang dibawa oleh parti junjungannya. Buat masa ini, MB yang juga Presiden Bolasepak Kedah amat-amat memerlukan sokongan peminat Kedah yang ultras hingaq. Tapi, itulah kerja ahli politik..  #2Kerja #BiarJasaJadiKenangan

Kedua,kenapa tokey D’Herbs tidak menggunakan Non Disclosure Agreement (dengan izin) dalam kontrak perjanjian mereka? Tetapi Jang tak anggap mereka bersalah sangat dalam hal ini sebab itulah resmi menjadi penaja dalam bola sepak kita. Kau ingat penaja pasukan bola kau tu suci sangat? Kau ingat pemaju hartanah yang menaja bola persatuan kau tu taja kosong?

Baik kita baca apa Professor Han Oryza dari Kedah yang dipanggil untuk mengulas ‘keindahan’ bola Jelapang Padi kita ini. Ingat! Kedah Maju 2010.

Apakah Kini Giliran Penaja Pula Dianjing-anjingkan FA Kita?- Prof Han Oryza

Masih ingat lagi artikel ‘Bola Sepak Kita Dianjing-anjingkan oleh Penaja’ ( https://www.ultrajang.com/bolasepak-kita-dianjing-anjingkan-oleh-penaja/ ) yang menyebabkan UltraJang mendapat perhatian perisik-perisik FAM dan pernah diugut mahu bertumbuk di padang bola oleh fanatik-fanatik Datuk Vida? Ya, itulah uniknya bola sepak kita kerana tiadalah mana-mana negara di dunia ini yang penaja bola sepaknya mempunyai Ultras seperti di Malaysia. Tetapi itu cerita empat bulan dululah. Mungkin sekarang Ultras Datuk Vida sudah kembali ke jalan yang benar dan melupakan kata-kata keramat mereka, “Sudah itu duit dia, ikut suka dialah nak buat apa!” Janganlah bila dia sudah tak ingin menaja, kita berdolak dalih pula mengatakan dia buruk siku ke apa. Sudah itu duit dia.

Tetapi tup tup, kecoh pula dengan kontroversi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) VS Datuk Aliff D’Herbs yang sebelum itu diuar-uarkan mahu menaja KFA sebanyak RM30 juta untuk 3 musim. Isunya nampak sama dengan kontroversi Datuk Vida dan permintaan ajaibnya, tetapi sebenarnya berbeza.

Kontroversi Datuk Vida lebih kepada permintaan bukan-bukan pemilik Pamoga Qu Puteh itu yang dianggap menghina tradisi dan falsafah bola sepak. Ia ialah konfrontasi jelas antara Datuk Vida (dan Ultrasnya) dengan peminat bola sepak sejati, manakala KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) pula hanyalah sebuah FA yang miskin dan tak tahu menjana pendapatan untuk sekurang-kurangnya membayar gaji pemain. Ya, mereka bagus kerana dapat mencari banyak penaja menghiasi jersi pasukan, tetapi adalah kurang cerdik kalau sesebuah FA itu hanya mengharapkan duit penaja untuk bayar gaji pemain mereka. FA mesti berfikir untuk buat duit!

Jadi, apa pula kes KFA VS D’Herbs? Apa bezaya? Bukankah D’Herbs pun ada minta bukan-bukan juga ke?

Begini, dalam hal kes Datuk Aliff dan KFA pula, ia dicetuskan terlebih dahulu oleh KFA dengan mendakwa abang Terlajak Laris itu buat permintaan bukan-bukan yang kononnya menggadaikan hak rakyat Kedah. Menurut Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, permintaan D’Herbs didapati melebihi bidang kuasa persatuan kerana melibatkan Kerajaan Negeri.

Apa yang peliknya, bukankah Presiden KFA ialah Menteri Besar (MB) atau orang nombor satu Kerajaan Negeri? Kau bayangkan begini, Saad, seorang Guru Besar sekolah yang juga manager pasukan bola sekolahnya, tiba-tiba menolak sponsor jersi daripada Kedai Sukan Najib (sekadar contoh) dengan alasan di luar bidang kuasa sekolah. Walhal dialah manager dan dia jugalah orang nombor satu sekolahnya. Sekarang, nampak tak permainannya macam mana? .

Tapi ingat, D’Herbs tidak semestinya betul, dan jangan pula ketepikan hipotesis bahawa KFA mungkin juga betul. Sebagai penulis tamu kepada laman web polis bola sepak dunia, ini bukan hal main-main. Kita mesti menganalisis data daripada kedua-dua pihak secara tuntas dan rinci serta tawaduk.

D’Herbs bernasib baik kerana pendekatannya yang tidak berkonfrontasi secara terus dengan penyokong Kedah khususnya dan peminat bola sepak Malaysia amnya. Tiada kita dengar atau baca berita mengenai Datuk Aliff meminta bukan-bukan daripada KFA di media massa. Apa yang kita tahu tentang permintaan Datuk Aliff yang bukan-bukan itu hanyalah kenyataan dikeluarkan pihak KFA yang Presidennya pula seorang MB penuh kontroversi.

Dan jangan pula kita lupa, kajian Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) 2006 ada meletakkan ahli politik sebagai individu paling tidak dipercayai rakyat Malaysia. Namun, itu bukanlah bermakna ahli korporat boleh kita percaya sangat kerana kajian sama turut mendedahkan golongan tersebut cuma duduk satu anak tangga di bawah ahli politik sebagai individu paling kuat auta.

Entahlah, siapa yang betul. Tetapi kata bijak pandai, orang meniaga ni jarang menangis melainkan 2 benda; kena ambush DBKL atau kena tikam belakang oleh orang yang depa percaya. Jeng jeng jeng!

– Han Oryza –

0Shares

3 thoughts on “Terlajak perahu boleh diundur, Terlajak sponsor buruk padahnya!

  1. Aku rasa dua2 ada agenda yang menguntungkan diorang(bukan FA). Adat orang berniaga nak untung, resam ahli politik nak sapu semua. Mungkin ada demand yang tak berapa cantik nak puaskan nafsu salah satu pihak. Tapi untuk D’herbs, kita sedia maklum pasaran Liga Malaysia ni cuma tontonan tempatan sahaja. Untuk guna semua pemain sekali dengan staff jurulatih pukul habis sekali dengan MB pun untuk jadi model ubat kuat terlajak laris belum mampu nak tembus pasaran Indonesia, Thailand jauh sekali Tanah tumpahnya darah penyokong Liverpool iaitu bumi keramat England. Jadi, adalah sesuai nilai 30 Juta tu kalau dia mahu jadi pemaju hartanah Kedah negeri ketapi laju serupa lintaq.

    Tapi adakah niat dan cara itu bermoral? itu aku tak tahu, sebab siasatanpun tak habis lagi.
    Oleh itu, siasat kasi habis la wooiiihh!

      1. Pada sudut sukar Jang, apa pandangan tentang 84 bekas pemain yang ‘diampunkan’ FAM tu. Sudut sukar aku dari sudut tepi kaunter tiket, jadi perlu pandangan Jang yang duduk di sudut curva.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.