April 20, 2024

United memenangi Piala FA atas kebenaran Lembaga Pengarah.

4 min read

Ramai tak tahu, jika United mahukan sesuatu piala itu, mereka hanya perlu mendapatkannya sahaja dengan mudah. Tetapi semua itu boleh dilakukan mengikut strategi pemasaran juga, terutama untuk penjenamaan EPL dan paling penting,  memberi ruang kepada pasukan lain menjadi juara. Semua ini marketing.

Kau bayangkanlah, jika semua piala tiap tahun United yang dapat, sapa nak tengok EPL lagi? Silap-silap ada pasukan lain akan merajuk dan minta keluar dari England.

Baca ulasan Zaim Ramli tentang bagaimana Rooney berjaya mendapat kebenaran khas untuk United berjaya menjadi juara Piala FA.

Saya sedang mengulas tentang perihal bola sepak moden – bola sepak pada abad ini, kurun ini dan masa kini. Bukan tentang bola sepak pada 40, 50 tahun yang lalu.

Tamat sudah 38 perlawanan liga yang paling berpengaruh di Malaysia – English Premier League. Dalam hal ini, saya lebih suka memanggilnya EPL, bukan BPL seperti sesetengah orang yang mudah dipengaruhi dakyah-dakyah jahat penaja utama. Ia adalah jarum-jarum halus dalam merosakkan origaniliti semangat bola sepak itu sendiri. Menyanjungi penaja secara berlebihan sehingga meruntuhkan nilai kesucian cinta terhadap bola sepak adalah satu dosa besar.

Bayangkan jika EPL ditaja oleh Pamoga Qu Puteh. Sanggupkah anda menggelar EPL itu sebagai PQPPL?

Baiklah, lupakan hal itu. Tahniah diucapkan kepada pasukan Leicester City yang muncul sebagai juara EPL. Sememangnya ini adalah satu perkara yang di luar jangkaan dan telah mendapat perhatian ke seluruh dunia. Tidak terkecuali buat penjual jersi-jersi online gred AAA di mana permintaan terhadap jersi Leceister City meningkat secara mendadak.

Bagi seorang peminat bola sepak yang suci, adalah satu dosa sekiranya memakai jersi sesebuah pasukan hanya ketika mereka menjadi juara semata-mata.

Berbalik kepada hal EPL. Sebenarnya keputusan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malah langsung tidak mengujakan. Lihat sahaja aksi-aksi pasukan ‘big four’ yang sebelum ini mendominasi liga (Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Manchester City. Maaf tiada Liverpool dalam senarai ini). Kesemua pasukan yang disebutkan tidak bermain dengan konsisten sepanjang musim ini. Seolah-olah bermain untuk melengkapkan jadual sahaja.

Arsenal masih percaya Arsene Wenger masih mampu memberikan medal kejuaraan kepada mereka. Entah apa saka yang dipakai oleh Wenger sehingga mampu kekal dari Higbury sampailah ke Emirates dengan kejayaan yang kurang separuh daripada dikecapi Sir Alex Ferguson.

Dua pasukan poket tebal – Chelsea dan Manchester City kekal pondan seperti biasa dan membuktikan pembangunan bola sepak dengan duit semata-mata hanyalah sesuatu yang bersifat sementara dan fatamorgana. Ceritakan, siapakah bakat-bakat muda yang boleh dibanggakan berjaya dilahirkan dari akademi kedua-dua kelab ini?

Manchester United. Iya, sebuah pasukan yang terlalu sinonim dengan EPL. Kelab yang menjadikan paksi EPL itu utuh dan teguh sehingga ke hari ini. Selepas persaraan the Godfather of Football, Sir Alex Ferguson, Manchester United mengambil keputusan untuk berehat dari menjulang kejuaraan EPL. Iya, berehat kerana penat.

Bukankah penat menjulang piala sebanyak 13 kali dalam tempoh 21 musim? (Semua pasukan ‘big four’ yang disebutkan di atas pernah menjuarai EPL. Sekali lagi maaf tiada Liverpool dalam senarai juara EPL)

Pemilihan David Moyes dan Louis Van Gaal sebagai pengganti Sir Alex Ferguson adalah perkara yang disengajakan oleh pengurusan kelab. Malah, akar umbi juga bersetuju dengan hal tersebut – berehat daripada menjadi juara untuk seketika. Penyokong kelab pula turut menerimanya dengan hati terbuka walaupun terpaksa berlakon untuk menunjukkan protes terhadap apa yang berlaku.
Kemeruduman yang terancang.

Prestasi Manchester United yang biasa-biasa sahaja dalam tempoh tiga musim terakhir ini menarik perhatian dunia. Seluruh dunia membuat kajian menyeluruh mengapa begitu merudumnya prestasi sebuah pasukan yang telah melonjakkan nama EPL sehingga Ratu Elizabeth menganugerahkan gelaran Sir kepada pengurusnya. Lihatlah betapa pentingnya Manchester United kepada tamadun bola sepak dunia. Tidak ada seorang pun filsuf dalam dunia bola sepak yang mahu menafikannya. Adakah dunia peduli sekiranya Liverpool menamatkan liga di tempat kelapan?

Tidak. Tidak ada sesiapa yang peduli, tidak ada sesiapa yang mahu membuat kajian, malah Ratu Elizabeth enggan memikirkan hal yang membazir masa untuk difikirkan ini.

EPL diperkenalkan pada tahun 1992 dan semenjak itu Manchester United adalah pasukan yang bertanggungjawab untuk menjenamakannya sebagai satu jenama yang gah dan masyhur di mata dunia. Tanpa jasa dan pengorbanan Manchester United, EPL mungkin hanyalah sebuah liga picisan di mana terdengar burung-burung liar berkicauan “Kami adalah pasukan paling sukses. 18 kali juara liga divisyen satu. Kembali ke sini hanya selepas kamu menang liga sebanyak 18 kali!”
Sekali lagi saya tegaskan, kita sedang berbincang tentang bola sepak moden.

Sebagai penutup untuk musim 2015-2016 ini, Kapten Wayne Rooney secara individu telah bertemu dengan lembaga pengurusan tertinggi kelab dan berkata; “Aku telah memenangi semua pingat kejuaraan di England, tapi aku terlupa bahawa aku belum pernah memenangi Piala FA. Bolehkah sekiranya dasar untuk berehat dari memenangi piala itu dipinda sedikit. Supaya aku boleh menjulang FA Cup dengan lilitan kapten ini.”

Ahli lembaga pengarah terus bersetuju dengan permintaan Wayne Rooney tersebut. Lalu, Wayne Rooney dan rakan-rakannya bermain seperti sang juara (kecuali Carrick) untuk membenam Crystal Palace sebelum muncul juara Piala FA – sesuatu yang sedikit bercanggah dari pelan asal untuk berehat dari memenangi sebarang piala.

Begitulah mudahnya menjemput piala dan kejayaan sekiranya bersama Manchester United.
Justeru, layakkah kamu mengakui pasukan kamu sebagai rival Manchester United sekiranya pingat EPL pun tidak pernah dihidu baunya? Atau 3 kejuaraan EPL dalam tempoh 19 tahun? Atau duit banyak tapi masih kekal pondan dan lembam?

Tidak ada pasukan yang selayaknya digelar mahupun diakui sebagai rival Manchester United.
Kesimpulannya mudah, Manchester United tidak perlukan EPL, tapi EPL perlukan Manchester United.

Zaim Ramli,
22 Mei 2016, Shah Alam.

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.