UltraJang – Buapak Bolasepak Beradat

Malaysia

Wajah dan liga kau takkan berdusta!

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum sepak mula liga Malaysia musim 2017 dilakukan. Liga yang dimainkan oleh anak tempatan, anak Tanjung Karang, anak Ulu Tembeling, anak Borneo, anak Felda Sg. Kelamah, anak Rembau dan anak bangsa Malaysia. Ini liga tempatan, ini liga kita, liga kau dan aku, liga untuk mereka yang hidup bernafaskan udara tempatan, untuk mereka yang menerima BR1M atau tidak, untuk mereka yang sedar diri dan paling penting, liga ini paling dekat di mata, hati, jiwa dan perasaan.

Liga ini adalah wajah kita, jika ianya buruk, maka buruk la wajah kita. Jika ianya penuh dengan penipuan, korupsi, pengambilan/pengubahan wang kerajaan/cukai, penajaan yang penuh muslihat, perjanjian sulit, perebutan kuasa dan cercaan di dada akhbar, maka itulah wajah liga dan secara langsung, wajah kita juga. Wajah kau dan aku, wajah EXCO dan Presiden, wajah anak Tanjung Karang, anak Borneo dan anak Felda. Walaubagaimanapun, inilah liga yang paling menarik sekali didalam dunia kerana selain dari kegembiraan dan passion terhadap bola sepak, kau juga kene berjuang, kau kene melawan segala bentuk pencemaran yang menjadikan wajah kau jelik. Kau kene ubah, jka perlu – bawa berubat, lakukan protes, buat bantahan, berarak bawa memorandum, libatkan Sultan, meroyan di media sosial dan sebagainya demi menjadikan liga dan wajah kita bersih, bercahaya.

Kau faham tak ni? Kau layan Bundesliga dan La Liga tak perlu berjuang kan?

Passion terhadap bola sepak disekalikan dengan perjuangan menentang kezaliman dan penganiayaan – adakah benda yang lebih sedap dari ini dalam liga lain? Kau mungkin melompat kegembiraan bila Zlatan menjaringkan gol untuk United dan esoknya kau berperang di media sosial dengan kawan Liverpool kau dan itu sahaja. Paling malang pun kau akan jumpa penyokong Liverpool yang lahir di felda mana entah tapi mengalir di dalam badannya darah Suarez. Bukan salah pun, cuma ianya bukan wajah kita dan takda apa yang nak diperjuangkan pun. (OhTuhanku!)

Liga kita ini terlalu istimewa dan stadium kita terlalu besar. Arsene Wenger ketika membawa Arsenal bermain di stadium Shah Alam berkata “alangkah bagusnya jika saya dapat membawa balik stadium ini ke Highbury” kerana terlalu kagum dengan ke’gah’an stadium Shah Alam. Memang la meremang bulu tengkuk Arsene bila penuh 90,000 penyokong menyanyi masa itu, cuba dia tengok masa Selangor lawan Felda United, mesti dia bawak getah burung datang stadium sebab burung lagi banyak dari kehadiran 950 penyokong Selangor bersorak. Maksudnya apa?

Maksudnya mana orang kita ketika pasukan sendiri bermain? Adalah lebih baik Jang ambil contoh pasukan Negeri Sembilan dan Paroi kerana ianya dekat di mata, hati dan jiwa Jang. Purata kehadiran setiap perlawanan di stadium Paroi adalah sekitar 3000 umat manusia. Kalau lawan Melaka naik la ke 7000 atau 10000 sedangkan kapasiti stadium Paroi adalah 40000 dengan jumlah parking sekitar 1500 petak. (Jantan mana la buat design ni dulu?) Mana waris semua? Makan cekodok kat Senawang? Lepas game tak boleh ke makan? Ada enam hari lain lagi tak cukup ke makan cekodok?  Maksudnya apa?

Jang tak buat kajian terperinci kenapa peminat bola sepak tidak mahu ke stadium demi pasukan ‘negeri’ atau kelab mereka. Teori bola sepak Jang cukup mudah, jika kau suka sukan bola sepak dari kecil, kau akan rasa tak sedap badan bila tahu ada perlawanan bola di stadium tetapi kau tak dapat pergi. Jika kau cintakan bola sepak, kau tolak cekodok (besok pun boleh makan la!) dan akan pergi ke stadium. Jika kau kenal bola sepak dulu dan kemudian Manchester United, pasti kau tak teragak-agak menyokong liga tempatan.

Kau takkan kata “aku nak berehat dulu la tahun ini” atau “membazir pergi stadium, semua game dah kene atur” atau “main serupa kayu!” dan sebagainya kerana bola sepak kita adalah tentang harapan. Harapan ini satu benda yang kau alami dan rasai. Apabila Malaysia bertemu Thailand, kau BERHARAP Malaysia akan menang walau kau tahu mereka bermain serupa – seperti kau cakap -kayu! Apabila jentera serangan pasukan ‘negeri’ kau membuat percubaan, kau akan bangun, bersedia menjerit gol kerana kau berharap ianya satu percubaan cantik dan gol, tetapi tidak kerana sepakan tersasar jauh walau gol telah terbuka luas dan kemudian kau frust. (Panjang tanpa noktah dan koma ni kau kene baca dalam satu nafas) Maksudnya apa? HARAPAN!

Harapan itu jugalah wajah kita. Wajah anak Tanjung Karang, Rembau, Ulu Kinta, Felda Sg. Kelamah dan anak bangsa Malaysia. Sebab kau takkan nak harap mereka bermain begitu kemas, berkualiti dan sedap bagai anak Spanish, Argentina, anak Liverpool dan anak bangsa Inggeris bermain bola. Itu mungkin boleh tetapi masih jauh dan takkan masa itu kau baru nak turun stadium?

Macam kita semua berharap pemain badminton kita menang pingat emas di olimpik baru-baru ini dan kita akhirnya berpuashati dengan Perak. Itulah momen, harapan dan perjuangan yang kau juga patut rasai dalam bola sepak. Tak adil jika kau nak sepakan Puskas sahaja sepanjang perlawanan.

Ringkas cerita, takkan kau nak tiap minggu Arsene Wenger bawa Arsenal turun baru kau nak penuhkan stadium? Untuk musim baru 2017 ini Jang rekomen kau semua turun la stadium dan beri sokongan kepada pemain dan pasukan. Ingat! ianya tentang harapan, bukan kualiti. Ianya tentang wajah kita yang berkulit sawo matang, berpeluh, makan petai+belacan, malas bersenam, bawa kereta nasional, parking ikut sedap diri sendiri, malas membaca tetapi cintakan bola sepak.

Semua karakter wajah kita tadi tiada dalam jati diri anak inggeris penyokong Liverpool atau United.


One comments on “Wajah dan liga kau takkan berdusta!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: