/WCQ | UAE terlepas dari dibaham Harimau Malaya!

WCQ | UAE terlepas dari dibaham Harimau Malaya!

Dihikayatkan dalam sejarah bola sepak Malaysia, International break adalah sesuatu yang membosankan jiwa penggemar bola sepak moden EPL dan liga tempatan. Bagi mereka, tiada apa yang menarik hendak ditunggu, apatah lagi dilihat dan dibincangkan. Adapun jika terdapat perlawanan peringkat antarabangsa, tumpuan hanya kepada perlawanan pasukan besar dan untuk kelayakan kejohanan. Malaysia? Ya, kita pun terlibat menyusun perlawanan persahabatan. Mungkin dengan Bhutan atau Timor Leste – itupun sekadar memenuhi jadual FIFA dalam strategi menaikkan ranking yang kadang-kala memakan diri.

Adapun mari kita sama-sama lipat sejarah ini dan buangkan ia ke dalam laut yang ganas, dimalam yang gulita, biar ditelan ombak yang tidak mengenal simpati. Nah! mati kau sejarah kebosanan!

Selepas kita berdebar dan orgasm membenam gah Sang Garuda di Gelora Bung Karno, kita menanti penuh teruja aksi seterusnya menentang UAE di laman sendiri. Pelbagai andaian dan analisis bermain dalam kepala pemikir pencinta bola sepak tanahair. Jang dan rakan-rakan (Kid, Yat dan Frank Hafiz) siap buat video analisis tentang peluang Harimau Malaya dan kami siarkan di FB (dengan kata lain, Jang promo FB Ultrajang ni, kau LIKE lah sikit sebagai tanda budi bahasa)

Adapun, semua analisis dan pandangan juga Jang lipat bersama sejarah dan buang kedalam lautan hitam yang Jang tahu, pasti kita tak jumpa.

Adakah Jang bermimpi? Jang cubit peha kiri Kid yang duduk disebelah Jang untuk pastikan yang semua ini adalah realiti. Jang yakin 100% bahawa jurulatih UAE bangsa Belanda, Lambertus Marwijk juga beberapa kali menampar dirinya sendiri apabila Shafiq Ahmad menanduk masuk gol pertama Malaysia pada minit (hello?) pada saat ke 40! Jang berdiri dan melakukan tumbukan ke udara. Mujur tak jatuh laptop wartawan yang duduk di belakang Jang.

Adapun, tandukan Shafiq Ahmad memberi petanda jelas bahawa saiz tidak pernah menjadi penghalang kepada mana-mana pemain atau pasukan untuk berjaya. Justeru, mari kita sama-sama lipat alasan sizing sebagai punca sejarah kegagalan pasukan kebangsaan dan buang ia kedalam Sungai Kim Kim.

Masalah sizing kita selesaikan dengan hantaran tepat dan bermain bola rendah. Inilah keindahan corak permainan pasukan kebangsaan malam tadi. Mereka tahu, bermain bola tinggi tidak memberi mereka advantage, lalu mereka membuat hantaran pendek yang deras. Bukan setakat membuat hantaran tepat dan pendek dan bernas dan bermaruah tetapi mereka lakukan dalam keadaan bergerak. Mereka tidak statik! Mereka lakukan bagaikan pejuang jet fighter dalam V formation. (Untuk rekod, Jang selalu tengok pemain buat hantaran pendek, tetapi statik)

Berapa banyak hantaran cantik dan tepat lalu menghasilkan cross yang indah? Berapa banyak hanya tap simple dilakukan untuk menghantar bola ke depan? Apa lagi yang menarik malam tadi? Brendan Gan? Tidak syak lagi, kekuatan beliau datang dari belah ibunya yang berasal dari Negeri Sembilan. Beliau turun naik, kiri kanan sehinggakan Jang pun naik risau, biar betul budak ini? Itulah sifat anak kacukan Negeri Sembilan yang kau semua perlu tahu. Passion dan hard work.

UAE hanya berjaya membuat percubaan pada minit ke 28 dan kemudian Jang syak, mereka sengaja menimbulkan kekecohan untuk menganggu rentak atau momentum pasukan kita. Ini taktik jahat WWE. Apabila mereka gagal menyekat gerakan pasukan kita, mereka kacau emosi dan cuba sejukkan semangat pemain. Brendan Gan mengutip kad kuning pada minit ke 32 kerana didakwa menyiku pemain UAE. Gangguan ini dikira berjaya kerana UAE berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan yang tidak dicabar (faktor sizing?)

Tekanan

Pasukan Malaysia diduga untuk bermain dibawah tekanan bermula pada minit ke 75. Jang memang nak lihat aksi Malaysia ketika dalam tertekan, adakah mereka masih mampu mengekalkan corak atau mula membuat hantaran panjang. Ternyata, mereka masih kekal dengan DNA yang diterapkan TCH. Tidak perlu tergesa-gesa, terus membuat passing, menukar arah dan hanya membuat percubaan apabila sesuai. DNA ini penting untuk memastikan mereka kekal konsisten walau di stadium mana mereka bermain dan pasukan mana mereka hadapi.

Bagi Jang, gol kedua UAE hanyalah kesilapan biasa hasil dari bola yang tidak disangka. Ketika itu, samada Shahrul Saad membuat bentesan keras dari belakang dan menerima kad merah atau Farizal Marlias keluar lebih awal untuk menutup ruang. Tetapi mungkin itu terlalu oldskool. Kita baru diperlawanan kedua, masih jauh dan banyak lagi perlawanan penting jadi pengantungan kerana kad adalah tidak berbaloi.

Beberapa pemain gantian juga tidak menepati standard yang ditunjukkan oleh rakan sepasukan namun Jang percaya TCH lebih tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Ramai kecewa dengan persembahan beberapa pemain gantian kerana mereka diharapkan membantu pasukan yang sedang keletihan tetapi kelihatan mereka pula yang dibantu oleh pemain sediada. Faktor keletihan selepas GBK juga memberi impak, walau telah 5 hari berlalu. Ini normal. UAE pula dalam keadaan cergas 100%, jadi umpama Harimau Malaya telah berjaya menggigit tengkuk mangsa untuk dipatahkan namun mangsa berjaya melepaskan diri.

Lain padang, lain Belalang.

Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, jurulatih UAE, Lambertus Marwijk,  memuji penyokong kita yang begitu gah dan bersemangat memberi sokongan. Beliau mengakui mengalami kesukaran memberi arahan kepada pemainnya kerana keadaan stadium begitu bising. Beliau juga berkata keadaan padang kita yang tidak begitu baik menyukarkan pergerakan bola mereka. Bagi Jang ini semua alasan! Alasan yang biasa seorang jurulatih akan berikan bagi menutup kelemahan pasukan latihan mereka. Takkan semua padang kena standard? Kita pun boleh pergi ke UAE atau Old Trafford dan kata kualiti rumput mereka tidak bagus. Bak kata pepatah, kalau tak tahu menari, jangan salahkan lantai tidak rata.

Geram je Jang tengok muka angkuh Belanda ni. Menaik spirit Jang nak memberontak. Mujur kita dah merdeka.

Tahniah untuk semua pemain Harimau Malaya, TCH dan semua penyokong yang hadir memberi sokongan. Kita telah saksikan sejarah baru bola sepak kita. Harapan kita ianya dapat dikekalkan dan ditambah baik. Janganlah merudum dan kecewakan kita lagi. Bawalah kami ke pentas Piala Dunia. (Tapi fikir semula, perlawanan semalam pun memang dah feel World Cup dah)

Jang,
Misai Harimau Malaya

kredit kepada tuan punya gambar.

Buapak Bolasepak Beradat