April 19, 2024

WCQ2: Cerita Malaysia ke Piala Dunia

3 min read

Izinkan Jang memulakan artikel ini dengan menceritakan dari awal momen-momen Jang ke Bukit Jalil. Sebenarnya Jang ada majlis ilmu petang semalam, tapi Jang tinggalkan majlis itu tepat jam 5.30 petang. Hari begitu gelap dan berat seperti meminta Jang membatalkan niat ke Bukit Jalil. Tetapi sebagai lelaki budiman, Jang tenangkan diri dan mula memandu keluar dari majlis ilmu.

Sekonyong-konyong, hujan turun dengan lebatnya, kilat memancar-memancar ganas dan guruh berdentum. Itulah petanda Tuhan Maha Kuasa dan kita hanyalah insan kerdil yang tidak punya apa-apa. Hmmmm. Di radio, Jang dengar laporan trafik mengatakan Plus highway dari Seremban menuju Kuala Lumpur berlaku kesesakan kerana ada kemalangan. Jang memandu berhati-hati dalam hujan resah seperti resahnya hati Jang. Mujur Jang sentiasa amalkan 3 Qul dan berselawat memuji Nabi sebagai peneman memandu seorang diri. Kau semua amalkan la, nescaya hidup tidak kekosongan.

Jang jemput Kid di Serdang. Kami mengharungi jem Bukit Jalil selama hampir sejam. Nakharom! (takpa, dah sampai KL, boleh mencarut) tapi bila Jang lihat kawan-kawan lain naik motor dalam hujan, Jang rasa sebak. Inilah pengorbanan penyokong yang bijak. Biar kena hujan, asal tak kena jem. Nak harap LRT sediakan perkhidmatan sampai jam 12? Hmmm benda mudah pun nak kena ajar.

Oklah, itu hal luar padang. Jang cuma nak cakap, walau hujan dan cuaca begitu mendesak tapi hampir 40K penyokong tetap turun ke Bukit Jalil. Semua ada kisah masing-masing dalam mengharungi kesesakan dan penyusunan waktu, namun tidak sekali mengalah! Jang respek semua!

DALAM PADANG

Meletakkan Shafik Ahmad sebagai top man memang satu tindakan tepat. Jang suka kerana beliau tidak mengamalkan permainan ‘suka jatuh’ sebaliknya dia ‘bergasak’ fizikal dengan last man Thailand, walau jelas size pertahanan Thailand lebih solid. Apabila top man kekal berdiri dan bergasak, flow serangan tidak terganggu. Bayangkan jika Sumareh, Brendan dan Safawi sudah berlari masuk kedalam kotak tapi pemain penyerang memilih untuk menjatuhkan diri, kan membazir peluang, masa dan tenaga. Hmmmm maknanya apa? Tapi sayang, Shafik pergi siku bek Thailand dan dapat kad kuning. Miss next game.

20 minit pertama juga menyaksikan pasukan Harimau Malaya struggle. Kita bolos pada minit ke 6 dan bagi Jang, jika pemain tidak bangkit, kita akan bungkus! Jang lihat TCH ditepi garisan padang kerap memberi arahan secara tegas kepada barisan pertahanan. Sesuatu yang Jang suka pada pasukan kita ialah kemampuan Safawi dan Sumareh bertukar kedudukan dari kiri ke kanan. Ini mereka lakukan pada minit ke 20 selepas bek Thailand selesa mengekang double S kita. Selepas pertukaran kedudukan ini, barulah nampak flow game Malaysia dan beberapa percubaan (lemah atau tersasar) dapat diberikan. Ini bagus untuk menaikkan semangat bahawa masa masih panjang dan jangan berhenti mencuba.

Jang lihat beberapa kali Syamer Kutty melakukan turning dengan yakin dan bergaya dibahagian tengah. Jang tak pasti apa punca keyakinan luar biasa ini tiba-tiba datang dalam diri beliau. Jang dan Kid berpandangan, tidak percaya dan masih awal lagi untuk memuji. Pada satu kedudukan, Syamer sedang sheild bola digarisan tepi luar kotak penalti Malaysia. Sharul Saad datang dari dalam kotak penalti untuk membantu. Syamer melihat Shahrul Saad semakin hampir dan beliau berada pada posisi selesa untuk memberikan bola kepada Shahrul untuk dibuang keluar dari kawasan bahaya. Jang yakin 120%, Syamer akan menolak bola kepada Shahrul Saad dan boom! dia backheel ke Corbin Ong. Bloody hell!

Bak kata orang Melaka, merecik hawau! Kebijaksanaan Jang dihina oleh Syamer Kutty! Beauty!

Selain Syamer dan Brendan son of Negeri Sembilan Gan mengemudi bahagian tengah dengan keyakinan. Jang suka nak semua nampak peranan kapten Aidil (another son of Negeri) yang seperti biasa bermain sepenuh jiwa, robust, commanding dan rolling. Kapten Aidil benar-benar melakukan peranan beliau sebagai kapten. Begitu juga Shafik Ahmad, Syahmi Safari, Nor Azam, Corbin Ong dan Khairul Azhan, semua bermain mengikut peranan dan melakukannya dengan penuh jiwa. Kemenangan Malaysia malam tadi adalah hasil kerja semua, termasuk barisan kejurulatihan dan fitness. Semua ada kelebihan dan kekurangan tetapi mereka bersatu menjadi satu unit yang lengkap. Tiada star, besar kepala dan semua kena bergantung diantara satu sama lain. Macam Jang cakap dalam artikel dahulu, harmoni pasukan ini yang menjadi senjata yang tidak dapat dilawan dengan taktikal lawan.

Tapi perjalanan masih berbaki separuh lagi. Kita kena menang menentang Indonesia Selasa depan. Setakat ini, pasukan kita telah menghidangkan satu permainan yang menyelerakan. Peluang kita untuk mara sangat cerah. Jadilah saksi keindahan ini, tak kisah di stadium atau kaca TV, mengikut kemampuan. Ini sejarah kebangkitan.

Tahniah Tan Cheng Hoe, Harimau Malaya, Ultras Malaya dan semua penyokong Malaysia.

Jang,
Misai Harimau Malaya

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.