1989 – Klasik Stadium Perbandaran Seremban – Part 2
4 min readAku merapatkan diri ke pagar yang memisahkan penonton dan padang dan berjaya meloloskan diri untuk aku betul- betul melekapkan diri ke pagar tersebut. Lebih tepat, aku berdiri kira-kira 3 meter dari tempat tendangan sudut di ambil.
Betul-betul dihadapan aku juga, kelihatan 3 pemain import yang baru menandatangai kontrak bersama pasukan negeri juga sedang menonton perlawanan sambil memanaskan badan. Mereka tidak disenaraikan dalam pasukan pada petang itu. Mereka adalah adik beradik Bozik, Miroslav dan Robert serta Gus Cerro (dimusim berikutnya, ketiga-tiga pemain import ini menjadi lagenda negeri)
Aku terus menumpukan perhatian kepada perlawanan yang sedang berlangsung. Kedudukan masih terikat kosong sama dengan pasukan pelawat, Kedah. Bahagian tengah dan pertahanan Kedah cukup kental di bawah pengawasan pemain terbaik mereka, Lee Kin Hong, namun pasukan Negeri tenang menyusun gerakan demi gerakan.
Satu perebutan bola berlaku ketika pasukan negeri mengasak kubu lawan dan Lee Kin Hong, bagaikan Franco Baresi, menahan terjahan keras pemain negeri. Sepakan liar pemain negeri tersebut terus masuk ke celah kangkang Lee Kin Hong dan ‘praaakkk’ mengoyakkan seluar Lee Kin Hong.
Oleh kerana stadium kecil dan kedudukan padang dan penonton tidak jauh, serta bunyi ‘praaakk’ yang agak kuat, satu stadium mendengar dan terperanjat sebelum semuanya ketawa kuat. Aku turut serta ketawa dan ianya adalah satu hiburan tambahan pada petang itu.
Lee Kin Hong meneruskan permainan dengan seluar yang koyak sehingga tamat separuh masa.
Sesuatu yang menarik juga tentang Stadium Perbandaran Seremban ini ialah kekerapan bola melepasi kawasan stadium hasil tendangan liar pemain. Ini juga kerana kedudukan teres stadium yang agak rendah di tambah dengan skil luarbiasa pemain bolasepak Malaysia yang menendang ikut skala kegeraman dan sekuat hati (agaknya sambil mengetap gigi, konon mahu membuat jaringan sampai mengoyakkan jaring gol, tetapi…)
Kemampuan pengutip bola pula terhad di dalam kawasan stadium sahaja, jadi apabila bola keluar stadium, mereka hanya mampu berharap bola akan melayang semula ke dalam padang. Selalunya bola tersebut dikira ‘selamat’. Setiap kali bola terlepas ke luar stadium, penonton akan bersorak. Satu lagi hiburan tambahan.
Jadi setiap musim bolasepak dan perlawanan diadakan disini, berpuluh bola terlepas ke jalanraya, sampai ke parking A&W, ke dalam pagar Pejabat Pos, ke padang sekolah KGV, masuk dalam tasik, masuk ke pinggan rojak Farouk, ke Kuil Hindu, ke kolam renang, ke stesen bas dan teksi dan ke dalam koc keretapi.
Direkodkan, tidak kurang 300 biji bola telah terlepas dan dikira ‘selamat’. Adidas Tango tu!
Di hikayatkan oleh sahibul hikayat, ketika mula-mula stadium ini di bina, sukan bolasepak masih baru lagi di Malaysia ini. Perlawanan pertama adalah di antara Kelab Melayu negeri menentang Kelab Sungei Ujong. Ketika perlawanan berlangsung (yang berkesudahan seri 3-3) teres stadium masih dalam pembinaan, jadi banyak bola yang terlepas keluar stadium. Di percayai bola yang melayang masuk ke Pejabat Pos Besar Seremban ada yang secara sengaja atau bergurau telah di pos ke Sabah dan Sarawak, sesampai di Kucing lalu penduduk di sana tahu bermain bola. Beberapa biji bola yang melayang masuk ke dalam koc Keretapi pula di bawa berjalan kesetiap negeri yang lalu maka ada yang terjatuh di Tapah Road, maka tahulah orang Perak mengejor bola, yang lalu di Kelantan jatuh ke rumah Hashim Mustapha yang ketika itu masih belum di lahirkan ke dunia ini, maka awe Kelate pun cuba-cuba la belajar menendang bola. Keretapi lalu Alor Star, bola jatuh ke dalam bendang lalu orang utara pakat tendang. Masuk ke dalam teksi, bas ekspres dan kenderaan persendirian maka budaya bermain bola pun di perkenalkan ke serata pelusuk Malaya.
Semuanya bermula dari Stadium Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan!
Separuh masa kedua bermula dan aku kini telah duduk di grandstand setelah terserempak rakan sekolah yang lebih awal sampai. Tidak berapa lama kemudian kedudukan berubah menjadi 2 kepada Negeri Sembilan dan 1 kepada Kedah. Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Semua penonton keluar dan berpuashati dengan kemenangan pasukan Negeri. Aku pula berlari ke arah Terminal bas dan berharap masih ada bas untuk aku pulang ke Kuala Pilah. Nasib aku baik, bas United yang terakhir baru saja mahu mengundur untuk keluar dari parking Terminal.
Wisel penamat.
Kini Stadium Perbandaran Seremban telah lama tiada. Ianya tinggal memori kepada sesiapa yang pernah menonton perlawanan bolasepak pasukan Negeri beraksi. Stadium terpaksa diruntuhkan kerana memberi laluan kepada pembangunan yang lebih menguntungkan. Kawasan dimana stadium tersebut berada kini telah bertukar menjadi Seremban Parade dan Parkson. Walaubagaimanapun, kesemua jiran stadium ini masih kekal, kecuali Sekolah Menengah Convent yang terletak di Tenggara Stadium. Sekolah berusia lebih 100 tahun itu kini telah bertukar menjadi kolam buatan manusia bernama ISA S atau singkatan kepada ‘International Swimming Akuatik Seremban’
Pasukan Negeri Sembilan berpindah ke Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi yang dibuka pada tahun 1992. Stadium baru yang lebih besar dan moden tersebut boleh memuatkan 20,000 penonton. Pada tahun 2004, di naiktaraf untuk menampung 40,000 penonton. Perlawanan juga telah diubah kepada waktu malam kerana lampu limpah yang lebih terang dan menepati piawaian.
Negeri Sembilan terus unggul dan menjadi juara Piala Malaysia di tahun 1948,2009 dan 2011. Naib juara pada tahun 2000,2006 dan 2010. Juara FA di tahun 2003 dan 2010 dan naib juara 1995. Menjulang Piala Sumbangsih di tahun 2012 dan tewas di tahun 2004 dan 2010. Juara liga divison 1 2006 dan naib juara 2008 serta juara liga division 2 di tahun 1991 dan naib juara di tahun 2005.
Aku terus setia menyaksikan perlawanan demi perlawanan pasukan Negeri dan berbangga dengan pencapaiannya. Tanpa orang Negeri Sembilan mula bermain bola, berkemungkinan besar semua negeri di dalam Malaysia ini masih lagi bermain guli.
Hobin Jang Hobin!
Musuhnya Habis Binasa!
*************************************************************************************************************************
*Cerita ini di tulis pada bulan Disember 2011 asalnya untuk di muatkan ke dalam buku ‘Cerita Bolasepak Malaysia, yang di terbitkan oleh Dubook Press pada tahun 2012. Walaubagaimanapun ianya disiarkan dalam buku Jang bertajuk Karya Agong (2015) sebuah koleksi cerita pendek yang power nak mampus!