December 11, 2024

Menjawab Gol-Gol Kontroversi Brazil Melawan Venezuela

4 min read

Tenang penyokong-penyokong pasukan Samba sekalian. Jangan terlalu cepat menuduh ini semua kontroversi. Brazil bukan kuat sangat pun orang perlu mencipta kontroversi untuk sabotaj pasukan negara penuh hidupan liar ini. Sebenarnya bila abang Tom dengar tiga gol daripada Brazil dibatalkan oleh pihak pengadil dengan menggunakan VAR terus abang Tom beranggapan kesemua keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan itu tepat. Walaupun terpahat dengan kontroversi, abang Tom belum jumpa satu keputusan yang betul-betul salah yang datang dari VAR ini.

Jika pembaca semua mempunyai otak geliga seperti Jurgen Klopp, pasti kalian masih ingat abang Tom pernah  menulis tentang kesan daripada VAR ini. Sekarang semuanya sudah nampak. Dengan adanya VAR ini, bola sepak nampak terkesan sedikit seninya. Jadi macam mana ketiga-tiga gol Brazil boleh tak dikira? Jangan risau anak muda. Abang Tom akan merungkai permasalahan ini dengan pencerahan kata-kata manis abang Tom.

Gol Pertama Oleh Roberto Firmino

Roberto Firmino atau nama manjanya Bobby daripada kumpulan New Boyz nampak gayanya mendapat mandat sebagai penyerang utama pasukan Brazil pada kali ini. To be clear, beliau berhak mendapat tempat tersebut bukan kerana kecederaan Neymar. Selain hebat menari dan bergaya selepas menjaringkan gol, beliau juga sangat berbakat bermain sebagai false number 9. Selain itu beliau agak versatile dalam cara menjaringkan gol. Kepala boleh, rembat boleh dan tap in seperti Ronaldo pun boleh.

Walaubagaimanapun, kehebatan beliau tidak dikira jika menjaringkan gol dengan menolak pemain lain. Gol pertama Brazil terbatal disebabkan Firmino menolak pemain nombor dua Venezuela Mikel Villanueva dengan sengaja sebelum menjaringkan gol. Yang ni tiada siapa boleh argue sebab memang tersangat jelas. So keputusan perbincangan pertama kita berakhir dengan VAR 1 Brazil 0.

Gol Kedua Oleh Gabriel Jesus

Gabriel Jesus (Bukan anak tuhan dan juga bukan malaikat Jibril) memang terkenal dengan bakat supersub nya. Jika siapa yang rajin menonton perlawanan Manchester City (Terutamanya penyokong-penyokong Liverpool tahun lalu) kita akan lihat apabila Jesus menggantikan Sergio Aguero, pasti barisan pertahanan pihak lawan akan kucar kacir. Selain itu beliau boleh menjaringkan gol pada bila-bila masa tanpa rasa kasihan terhadap pihak lawan. Perlawanan kali ini juga tidak terkecuali.

Pada mulanya abang Tom tak nampak dekat mana silap gol nombor dua ini. Linesman pun tak angkat bendera menunjukkan pemain Brazil (Pada waktu itu abang Tom ingatkan Coutinho yang offside) memang tidak nampak berada di kawasan offside. Tetapi apabila abang Tom melihat di apps Live Score, nama yang tersenarai sebagai offside ialah Roberto Firmino. Jika Philippe Coutinho yang dikatakan offside oleh pengadil perlawanan maka keputusan tersebut memang boleh membawa kepada kontroversi. Abang Tom yakin linesman pun sedar yang Philippe Coutinho tidak offside, jika tidak beliau pasti akan memberitahu pengadil perlawanan.

Namun jika kita lihat beberapa saat sebelum gol itu terjadi. Sejurus selepas Jesus merembat ke arah gawang gol, dua pemain Brazil pada waktu itu telah aktif. Philippe Coutinho dan Roberto Firmino (Sila rujuk gambar rajah di atas). Tampanan sekali lagi oleh pemain Venezuela yang bernombor dua telah menjadikan Roberto Firmino dan Philippe Coutinho  berada di kedudukan offside. Merujuk undang-undang bola, Law 11 – Offside: 2. Offside Offence yang mengatakan apa jua bentuk rebound atau tampanan dari pihak lawan, goalpost ataupun crossbar maka pemain tersebut akan offside. Setelah Roberto Firmino mengambil bola tersebut, terus beliau menjadi aktif dan dianggap offside. Jadi sekali lagi VAR menang. VAR 2 Brazil 0.

Gol Ketiga Oleh Philippe Coutinho

Jika dua gol sebelum ini kontroversi, abang Tom pasti tidak setanding gol ketiga ini. Macam-macam jawapan abang Tom dengar di internet. Ada yang kata terkena tangan Roberto Firmino ada yang kata Philippe Coutinho kentut busuk dan pengadil tak jadi bagi gol. Tetapi sebab yang sebenar adalah disebabkan rembatan Philippe Coutinho terkena Roberto Firmino yang berada DALAM KEDUDUKAN OFFSIDE.

Gambar rajah video ni diambil sejurus selepas bola terkena paha Roberto Firmino. Mesti ada yang akan katakan “Eh, ada seorang pemain lagi mana boleh offside”. Hah, di sini kekeliruan akan timbul. Selalunya kita tengok offside ni terjadi sebabkan penjaga gol berada di kedudukan last man. Tetapi offside ini dikira selepas second last defender bukan orang yang terakhir sebelum gawang gol. Betul tuan-tuan dan puan-puan, penjaga gol dikira sebagai last defender dan last man (selalunya Center Back) dikira second last defender. Untuk senang nampak kita tengok linesman selalu ikut siapa di tepi padang. Beliau akan mengikut second last defender. Jika penjaga gol pergi ke depan mendahului pemain last man, maka penjaga gol tersebut akan menjadi second last defender.

Contohnya gambar rajah di atas ini. Penjaga gol tersebut sudah mendahului pemain pertahanan yang dibulatkan. Maka beliau menjadi second last defender dan di mana garis offside dibuat. Jika pemain bernombor tujuh tersebut menghantar ke mana-mana pemain di dalam gambar rajah ini. Kedua-duanya akan offside. Benda ini memang senang keliru. Pemain bola yang professional pun akan keliru. Malah video dari gambar rajah ini pun berakhir dengan pemain dihujung sekali menanduk dan menjaringkan gol tanpa sedar gol tersebut tidak sah. Nevertheless, undang-undang tetap undang-undang. Maka gol ketiga Philippe Coutinho tidak dikira. VAR 3 Brazil 0.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah ilmiah yang abang Tom berikan, abang Tom membuat kesimpulan seperti berikut. Neymar menjadi punca kepada gol-gol dari Brazil ditarik balik. Jika beliau bermain, pasti tiada satu pun bola akan masuk ke gawang gol. Kita akan asyik melihat aksi berguling-guling  seperti tenggiling yang selalu dinyanyikan oleh Shin Chan dalam komik Dik Cerdas. Dalam masa sama abang Tom memaafkan Roberto Firmino walaupun beliau terlibat dalam ketiga-tiga gol kontroversi ini kerana beliau bermain cemerlang di setiap perlawanan. And for the record, keputusan pengadil terhadap tiga-tiga gol tersebut adalah betul. Alah tak payah takutlah penyokong Brazil. Pada firasat abang Tom Brazil antara pasukan yang boleh menang Copa America kali ini. As long as Neymar tak main.

P/S: Kadang-kadang terlalu robot pun tak best juga tengok bola ni

-Tom ‘Bobby’ Bombadil-

 

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2024.