April 20, 2024

Adakah bolasepak ‘dilahirkan semula’ pada tahun 1992?

3 min read

Pertama sekali, kita sedia maklum, bolasepak diberanakkan di England. Mengikut bacaan wiki, dipercayai ianya mula membenih dalam perut England pada awal kurun ke 12 dan dimainkan dijalanan. Tiada siapa mencabar atau mahu membuang masa lakukan ujian DNA terhadap kesahihan dakwaan ini. Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) juga akan menolak sebarang usaha membicarakannya.

Namun, kenapa bolasepak seolah-olah dilahirkan semula pada tahun 1992? Kenapa selepas Liverpool kembali menjuarai liga Inggeris, terdapat bunyi-bunyi dan pertikaian tentang jumlah kejuaraan liga Inggeris Liverpool samada 1 atau 19? Apa berlaku pada bolasepak sehingga terdapat kekeliruan ini (samada disengajakan atau benar-benar tidak faham kerana masih muda) dikalangan peminat liga Inggeris sehingga nampak ada dua era, liga division 1 dan Liga Perdana Inggeris.

Mujur Jang ada untuk membantu kau semua keluar dari kekeliruan dan menyuluh ilmu dalam kegelapan fikiran. Nak harap ke siapa lagi? Takkan nak harap kepada penyokong Arsenal untuk selesaikan kemelut ini? Chelsea? tradisi pun mereka tiada, inikan pula sejarah. Nak harap ke penyokong City? Baru beberapa musim United memberi mereka peluang menjaga Piala Liga, dah terlepas ke tangan pasukan lemah seperti L (Leicester). Tak boleh diharap Pep ni! Buat tugas mudah pun gagal!

Baiklah! Sebenarnya tiada apa luar biasa berlaku kepada permainan bolasepak Inggeris. Pada tahun 1992, kelab-kelab di England yang bermain dalam liga division 1 mengambil keputusan untuk berpisah dengan FA mereka (semenjak 1888) dan menubuhkan English Premier League dalam usaha penswastaan yang dilihat mampu menjana wang berbillion dari hak penyiaran.

Ianya sama seperti pasukan dalam liga tempatan kita berpisah dengan FAM dan bermain dibawah MFL bermula pada tahun 2004. Cuma bezanya kita masih mengemis dan meminta-minta hak penyiaraan dan kecelaruan kemelut gaji dan sponsor yang tiada penghujung. Adakah banyak perubahan atau beza dari zaman semi-pro? Itu kita lihat dan fikir sendiri, tapi kita telah beberapa kali sampai ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai satu pencapaian (?)

Penswastaan, penjenamaan liga dan hak penyiaraan hanyalah pembaharuan diluar padang. Apa berlaku dalam padang sehingga bolasepak seperti dilahirkan semula, menjadi menarik, menghiburkan, mengujakan, kompetitif sehingga dikatakan melahirkan satu era baharu sukan bolasepak dunia yang moden?

Undang-undang backpass! – simple!

Mengikut Michael Cox dalam bukunya, The Mixer – The Story of Premier League Tactics, from Route One to False Nines (rilekssss, tajuk panjang dan nampak kompleks ni biar Jang je baca) pengenalan undang-undang backpass pada tahun yang sama (1992) adalah punca secara tidak sengaja menjadikan bolasepak kembali menarik dan English Premier League dilihat sedap. EPL sebenarnya benar-benar mendapat laba dari undang-undang baru ini.

Bagaimana undang-undang ini bermula?

Undang-undang backpass dicipta selepas peminat dan badan penjaga bolasepak bosan dan kecewa dengan Piala Dunia 1990 yang berlangsung di Itali. Average hanya 2.2 gol dijaringkan sepanjang kejohanan. Tiada aksi ghairah dan permainan begitu membosankan dan menaikkan darah apabila terlalu banyak bola dihantar semula ke penjaga gol untuk membuang masa. Time wasting memang menaikkan darah, terutama ketika pasukan kau sedang ketinggallan dan perlukan gol. Bayangkan, aksi pura-pura cedera saja dah buat kau nak masuk padang dan pijak pemain, inikan pula 14 kali bola dihantar semula ke pelukan penjaga gol dalam masa 5 minit terakhir pemainan.

Apabila undang-undang ini diperkenalkan, flow permainan menjadi lebih laju, mendebarkan dan panik dalam kawasan penalti. Bola tidak boleh lagi ditangkap menggunakan tangan jika ianya datang dari hantaran pemain sendiri. Undang-undang ini terus membunuh kebosanan bolasepak tradisional era 80an. Pasukan mula mencipta strategi dan taktikal lebih menggunakan otak, bukan lagi fizikal dan kekerasan.

Semuanya berpunca dari kebosanan dan kebencian pada Italia 90 dan secara kebetulan undang-undang untuk menjadikan bolasepak kembali menarik digunapakai pada tahun yang sama EPL dilahirkan. Bolasepak terus dikatakan menjadi moden dan Manchester United memikul tanggungjawab besar menjadi pasukan pertama didunia yang fana ini untuk buat kau semua kembali bercakap hal bolasepak.

Nampak?

Menjawap isu 1,13,19,atau 20 kejuaraan Inggeris, jawapannya adalah mesti dikira semua kerana liga masih sama kerana penjenamaan dan penswastaan hanya dikira diatas kertas. Jika diikutkan, pada tahun 2001 EPL bertukar menjadi The Barclaycard Premiership, 2004 menjadi The Barclays Premiership, 2007 menjadi Barclays Premier League dan 2020 menjadi The Pandemic Premier League (ok 2020 tu acah je, ala 30 tahun menunggu, takkan itu pun nak emo)

Jadi diharap, selepas membaca artikel ini, kau semua boleh bertenang. Liverpool menang 19 kejuaraan Inggeris dan dalam 19 itu 18 kali semasa bolasepak begitu membosankan, time wasting dan kasar. Sementara Manchester United menang 20 dan 13 darinya adalah ketika manusia mula berakal, moden dan kaya raya.

Tahniah Manchester United kerana layak ke separuh akhir Piala FA. Satu kejohanan tertua dan berprestij dalam dunia ini. Bebas dari sebarang perubahan walau menempuh beberapa kali pandemik, depression, recession, Brexit dan Moyes.

Jang,

Sekadar berkongsi maklumat sahih tanpa prejudis dan berat sebelah.

Kredit gambar: PAUL ELLIS | AFP | Getty Images

Tet

0Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © Ultrajang 2023.