AFF 2022| Gajah Perang Dicakar Harimau Berbekal Satu Jaringan.
2 min readFuh! kuning dan hitam mata abang Tom bila melihat di depan mata dipenuhi ribuan penyokong-penyokong Harimau Malaya membanjiri SNBJ malam ini. Malaysia nampak serius dengan aksi perlawanan dengan menurunkan barisan pemain-pemain terbaik mereka seperti Faisal Halim, Safawi Rasid dan Bredan Gan. Pelawanan pertama separuh akhir ni dimulakan dengan Malaysia menjadi tuan rumah dan akan ada timbal balik di Thailand nanti (Bukan di Stadium Rajamangala mengikut pengetahuan kami). Kami juga diberitahu oleh pihak FAM yang away goals dikira untuk kempen AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 kali ini.
Perlawanan separuh masa pertama bermula dengan intensiti tinggi apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan. Malaysia lebih banyak mengawal bola namun Thailand lebih nampak berbahaya dibahagian hadapan mengikut pandangan kami. Untungnya pada kita yang kesemua percubaan daripada pasukan Thailand ini tidak membuahkan hasil. Sebaliknya pada minit ke 10 Malaysia mengambil peluang dengan menjaringkan gol pertama hasil hantaran daripada Ruventhiran dan disudahkan oleh Faisal Halim. Siuuuuu versi Malaysia berkumandang di Bukit Jalil. Sampai tiga kali!
Thailand tidak nampak mengalah dan memulakan serangan sebaik sahaja sepak mula selepas gol pertama. Banyak percubaan tidak berjaya disudahkan ataupun berjaya ditampan oleh Syihan Hazmi dan pertahanan Harimau Malaya. Kedudukan kekal 1-0 hasil jaringan tunggal Faisal Halim sebagai hadiah hari jadi peribadinya. Mungkin banyak boleh diperkatakan oleh Kim Pan Gon pada separuh masa pertama setelah aksi yang agak mengecewakan.
Separuh masa kedua Thailand bermula lebih garang. Mereka nyaris menjaringkan gol cuma ditidakkan oleh palang sahaja. Pemain Malaysia nampak penat dan sering hilang bola apabila cubaan mengatur serangan berlaku. Malaysia membolosi gawang gol Thailand pada minit ke 50 apabila berlaku kekabutan di kotak D Thailand dan bola ditanduk masuk oleh Quentin Cheng . Pengadil daripada Korea, Kim Dae Yong telah membatalkan gol tersebut. Pada pandangan beliau terdapat kekasaran pada pemain nombor 4 Thailand Pamsa Hemviboon. Kami berpendapat gol tersebut patut dikira kerana kekasaran berlaku di antara pemain mereka.
Keputusan kekal Malaysia 1 Thailand 0. Untuk lebih adil, kami rasakan pasukan Thailand mengawal perlawanan. Maka lebih manis jika kita kata pasukan Gajah Perang gagal menawan SNBJ dan Harimau Malaya berjaya mencuri mata. Lantas memberikan pasukan Malaysia bekalan ketika berjumpa perlawanan timbal balik nanti. Mari berharap dan berdoa kita berjaya ‘mencuri’ lagi jaringan dia Bangkok nanti.
-Tom Bombadil-