AFF2022 | Malaysia B untuk Boleh!
2 min readMalaysia adalah Malaysia. Tanah tumpahnya darah kita semua. Tanah untuk kita berpijak dan tersungkur bersama. Tidak ada tanah lain untuk kita serah jiwa dan raga, kudrat dan masa, wang dan airmata. Kita mampu citakan apa sahaja dengan diiringi slogan keramat Malaysia Boleh. Jika ada kemahuan, adalah jalannya. Namun kemahuan dan impian itu mestilah dibaja dengan disiplin tinggi, latihan, keyakinan dan tunjuk ajar.
Kita biasa mendengar jurulatih, bukan hanya di Malaysia malah diseluruh dunia, yang akan mengeluh jika mereka tidak mendapat pemain pilihan mereka. Ramai jurulatih memberi alasan kekalahan apabila pemain utama mereka cedera atau digantung seolah-olah pemain lain yang ada hanya berkaki sebelah sahaja. Kim Pang Gon telah diuji dengan ketiadaan hampir separuh pemain utama. Adakah dia mengeluh atau dia terus berjalan tegak memberi kepercayaan kepada pemain lain untuk menggalas tugas negara? Bagi Jang, Kim Pang Gon telah lulus.
Malam tadi Kim Pang Gon beri kepercayaan kepada semua pemain untuk buktikan bahawa mereka adalah pemain bolasepak sebenar. Bagi Jang, hampir 80% pemain dalam Liga Malaysia mempunyai kualiti lebih kurang sama. Mereka hanya perlu dijentik dan ditampar lembut muka mereka agar semangat Malaysia Boleh meresap kedalam jiwa mereka. Mereka perlu diberi keyakinan dan percaya diri. Apabila mereka yakin dan percaya pada kebolehan mereka sendiri, tugas jurulatih menjadi mudah. Dan semua pemain juga percaya kepada kebolehan rakan lain, jadi segala perancangan boleh direalisasikan. Sepanjang 90 minit, Jang tidak jumpa sebarang aksi yang boleh buat Jang ingin membebel dan menyumpah. Sedikit kesilapan itu normal.
Malaysia Boleh jika ditampar lembut apatah lagi jika kita tampar keras bagaikan menampar bola tampar. Kanvas menutup padang dapat disediakan sebelum hujan turun. Takkanlah kanvas pun nak kena pinjam? Tak manis jika kedudukan dalam board perbadanan stadium sedap, jaga stadium, dia tak nak. Penyokong ultras Malaya pun keluarkan duit sendiri buat tifo, beli tiket kapal terbang demi Ibu pertiwi, janganlah semua benda nak kena perli. Apapun tahniah kerana sudah ada kanvas sendiri. Harap selepas ini stadium lain satu Malaysia pun sediakanlah kanvas tu. Bukak Sebutharga, Jang hantar quotation.
Ada beberapa perkara mustahak lain yang ingin Jang sampaikan tapi biar Jang sebut satu dahulu. Jang lihat ramai penyokong duduk ditangga stadium menonton perlawanan. Ini sangat merbahaya dan tak cantik dipandang mata. Tangga adalah tempat kita turun naik, bukan tempat duduk. Kedudukan teres tingkat atas adalah curam, jadi tangga mestilah sentiasa lapang dan sedia. Harap disediakan marsyal baju oren menjaga setiap lorong tangga stadium kerana KESELAMATAN bukan hanya hak VIP di grandstand tetapi hak semua insan. Serius, hal ini SNBJ kena belajar lagi dari Stadium Sultan Ibrahim.
Ingat! Jang Boleh!