AFF SuzukiCup: Antara Realiti Dan Fantasi Bola sepak
3 min readRata-rata peminat bola sepak tanahair telah mula menunjukkan reaksi positif kepada corak permainan pasukan Harimau Malaya dibawah bimbingan Tan Cheng Ho. Ianya agak merunsingkan sebenarnya kerana secara ‘football-wise’, pasukan kita tidak menunjukkan kemajuan lagi. Maksud Jang, jika hanya kerana tidak bermain long ball sudah membuatkan kita bahagia…hmmmm. Menentang Laos, kita menurunkan 5 striker dan hanya mencipta gol kemenangan diminit terakhir perlawanan (86 dan 90+2) selepas Zaquan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke 15. Dengan jumlah hantaran tepat beratus-ratus banyaknya, tendangan sudut berbelas-belas jumlahnya, cross melambak dan bola muntah dari penjaga gawang Laos tidak terkira banyaknya, menang masa tambahan sepatutnya melahirkan tanda tanya, bukan untuk diraikan.
Begitu juga kekalahan semasa menentang Vietnam di Hanoi. Kita tewas dengan melepaskan 2 gol hasil serangan mudah pasukan lawan. 2 kali serang, guna 2 pemain sahaja dan 2 gol bolos. Kemudian kita gagal melepasi barisan pertahanan Vietnam yang kelihatan solid dengan marking yang ketat. Dalam kedua perlawanan ini jelas, pertahanan kita mudah dibolosi, tengah kita tidak kreatif membuka ruang dan barisan serangan kita tumpul dan tiada idea. Ini realiti dari segi statistik dan keputusan dan rata-rata pengkritik memberi komen serupa. Jika untuk happy-happy, ya, tak salah untuk happy dengan corak permainan dibawah TCH.
Secara peribadi Jang masih belum dapat menerima kenyataan yang kita masih bermain di AFF Suzuki Cup dengan harapan membuktikan sesuatu selepas menjadi juara pada tahun 2010. Sedangkan pasukan lain mula menjadikan pertandingan ini satu pendedahan kepada pemain muda kerana team senior mereka ada perkara yang lebih besar untuk diuruskan. Mungkin Jang berfikiran negatif tapi realiti tak mungkin menipu kita. Menyediakan satu pasukan kuat untuk kembali menjadi juara adalah satu perjudian. Bagaimana jika kita gagal? Apa impaknya kepada maruah bola sepak kita? Dah hantar first team pun masih tercungap-cungap nak layak semi, kata penjual sayur bangsa Vietnam di pasar Seremban (contoh) Atau, dah masukkan pemain naturalisasi dan bagi IC pun kalah jugak? Maknanya apa?
Jang tidak bermaksud untuk melunturkan semangat dan minat serta kemeriahan bola sepak Malaysia dari diraikan sekarang ini tetapi Jang suka berdiri dibumi yang nyata. Simple!
Oklah, pada pendapat Jang, pasukan kita memang telah bermain dengan disiplin yang ditetapkan oleh TCH tetapi ada satu kekurangan yang sangat jelas dalam pasukan ini; kita tiada Jeneral yang mampu mengemudi pasukan dengan baik. Dalam peperangan, mana boleh kita hantar satu pasukan yang terdiri dari askar-askar yang sama ranking sahaja. Kita mesti ada satu Jeneral yang mampu meremangkan tengkuk askar-askar biasa. Kita perlu seorang Jeneral yang apabila dia bersuara, semua kene dengar dan akur. Kita perlu seorang Jeneral yang apabila berlaku pergolakan (pergeseran dalam padang) dia akan ke depan dan bersedia untuk berperang.
Roy Keane adalah seorang Jeneral yang cukup digeruni pemain United. Dia secara solo membangkitkan semangat kepada pemain United dalam perlawanan separuh akhir Champions League 1999 dimana United hampir kalah. United melangkah ke perlawanan akhir dengan Keane digantung perlawanan kerana kekasaran. Hal ini banyak kali ditulis dalam sejarah keperwiraan bola sepak. Jika dahulu kita ada Chopot menjadi Jeneral dan aksi beliau mampu memberi semangat kepada anak buah untuk bermain bersungguh-sungguh.
Kita pernah ada Shukor Adan sebagai Jeneral Yamashita! Siapa tak kenal kegarangan Shukor dalam padang? Seorang pengadil pernah berbual dengan Jang, dia beritahu semasa dia mengadili satu perlawanan persahabatan pasukan Felda United, Shukor duduk dibangku simpanan. Ketika itu Felda ketinggalan dan Shukor bersedia untuk dimasukkan sebagai pemain gantian. Tahu apa kata seorang pemain pertahanan Felda kepada rakan-rakan lain dalam padang?
“Woi, Abang Long nak masuk tu, main betul-betul! main betul-betul!”
Ya, mereka terus bermain betul-betul dan menang. Maknanya apa? Shukor ada aura Jeneral yang buat askar biasa rela mati dimedan perang dari terima makian beliau. Itulah yang kita tiada dalam pasukan sekarang. Tidak bermaksud menidakkan kredibiliti kapten Zaquan tetapi beliau perlu menaikkan pangkat beliau sendiri kepada level Jeneral.
Sekarang kau bayangkan, Shukor Adan adalah kapten yang pergi mengadap penyokong yang memberi isyarat lucah kepada Safawi. Kau boleh bayang ending dia macamana?
Jang,
Pegawai Waran 1